Halaman

08 November 2009

Tuanku Mizan Ketuai Cabaran 120 Kilometer

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (Jersi No. 111) menunggang Jakim Murphy mengetuai 12 peserta pasukan Royal Terengganu Endurance pada acara 120 kilometer kejohanan Sultan Cup Terengganu Endurance Challenge 2009 di Terengganu International Endurance Park Lembah Bidong, Setiu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kuda Jakim Murphy menjadi taruhan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam acara 120 kilometer kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu 2009, di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, bermula petang kelmarin (7 November).

Baginda yang mengenakan jersi 111 mengetuai pasukan Royal Terengganu Endurance bersaing dengan 59 lagi peserta yang mewakili 21 pasukan dari seluruh negara.

Lapan negara menyertai kejohanan kali ini termasuk Uruguay, Australia, New Zealand, Chile, Thailand, Amerika Syarikat dan tuan rumah, Malaysia.


Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkenan merasmikan pelepasan peserta diringi Menteri Besar, Dato' Ahmad Said dan Datuk Abdul Rahin.

Perasmian pelepasan peserta disempurnakan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, di pentas hadapan TIEP, jam 5 petang.

Berkenan hadir, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan tiga lagi anakanda baginda.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri , To’ Puan Nurliza Mahmud, exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan turut hadir menyaksikan majlis pelepasan itu.

Selain Tuanku Mizan, pasukan Royal Terengganu Endurance turut diwakili lapan peserta lain. Manakala tujuh penunggang mewakili pasukan Terengganu atau Stable Terengganu Endurance Team (STET).


Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika berhenti di `Water Point' ketika menyertai acara 120 kilometer kejohanan Sultan Cup Terengganu Endurance Challenge 2009.

Pihak penganjur menaikkan jumlah hadiah kejohanan kali ini daripada RM18,000 kepada RM34,000, manakala hadiah tempat kedua RM25,000 dan ketiga RM18,000. Hadiah keempat dan kelima masing-masing RM13,000 dan RM6,800.

Persaingan melibatkan empat `loop’ dengan jarak 120 kilometer dan dijangka perlumbaan tamat kira-kira jam 7 pagi hari ini (8 November).

Sementara itu, peserta yang menamatkan perlumbaan mengikut masa ditetapkan bakal menerima hadiah bonus berjumlah RM3,400 seorang.

UKOM