Kitab suci al-Quran adalah pengubat dan penawar hati, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an itu sesuatu yang menjadi ubat (penawar hati) bagi orang-orang yang beriman”. (Q.S. Al-Isra’, ayat 82)
Hazrat Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda,“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah swt maka untuknya diberi satu hasanah (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. (Riwayat Tirmizi)
Banyak lagi kalau hendak dipaparkan tentang kelebihan al-Quran. Tidak kurang juga berita tentang kejayaan anak Terengganu di bidang hafazan dan penghayatan al-Quran.
Kerajaan Terengganu secara berterusan berusaha untuk menjadikan negeri ini terhimpun para hafazan al-Quran, generasi al-Quran dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan mereka, sekalipun telah mencapai kelulusan akademik lain. Ini bertepatan dengan warisan sejarah dan budaya Terengganu sejak dahulu berteraskan al-Quran.
Ia bukan suatu retorik dan penyedap kata, seperti dilakukan oleh sesetengah pihak yang melaung-laungkan Islam, tetapi apa yang kerajaan Barisan Nasional(BN) Terengganu usahakan adalah secara praktikal dan direalisasikan.
Semua ini perlu bermula di peringkat seawal usia kanak-kanak, barulah mencapai tahap kecemerlangan itu .
Bahkan di Terengganu kini seramai 4,622 kanak-kanak Tadika berusia lima dan enam tahun yang berjaya khatam Al-Quran tahun 2009, suatu peningkatan yang ketara berbanding tahun 937 orang pada masa program ini diperkenalkan empat tahun dulu.
Terbaru, Menteri Besar Dato’ Haji Ahmad Said memberitahu negeri Terengganu akan membelanjakan RM800,000 untuk membuka 10 lagi kelas mengaji al-Quran secara intensif untuk kanak-kanak tabika di Terengganu tahun ini.
Sebelum ini kerajaan negeri membelanjakan RM3.2 juta untuk 300 kelas mengaji al-Quran di negeri ini. Ia sebagai komitmen kerajaan negeri dalam usaha melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga celik al-Quran, jelas Dato’ Ahmad baru-baru ini.
Kerajaan negeri berhasrat menambah 100 kelas mengaji setiap tahun sehingga menjadi 800 kelas dalam masa empat tahun lagi.
Beliau berkata kerajaan negeri dijangka membelanjakan RM6.4 juta setahun apabila keseluruhan 800 kelas mengaji itu wujud menjelang tahun 2015.
Semua ini diusahakan semata-mata untuk melihat anak-anak Terengganu yang belajar di tadika akan khatam al-Quran sebelum melangkah ke sekolah rendah dansebelum ini seramai 2,000 murid berjaya khatam al-Quran sebelum melangkah ke sekolah rendah.
Menteri Besar rakyat ini juga menyatakan kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk melihat 20,000 murid tabika khatam al-Quran dalam tempoh empat tahun akan datang.
Sebagaimana Dato’ Ahmad memperkenalkan e-book, dalam hal ini juga Kerajaan BN Terengganu memperkenalkan buku elektronik i-iqra bagi memudahkan dan memupuk budaya membaca al-Quran di kalangan masyarakat .
Dato’ Ahmad yang cukup responsif terhadap dunia teknologi maklumat (IT) masa kini berharap i-iqra’ dapat digunakan oleh pelbagai lapisan bermula dari kanak-kanak hingga ke warga emas untuk mendalami al-Quran.
Alat elektronik yang menyamai komputer riba itu mengandungi 30 juzuk Al-Quran di samping surah lazim untuk memudahkan kanak-kanak mahupun orang dewasa mempelajari tajwid dan hukum secara tepat.
Difahamkan sebagai permulaan, Yayasan Islam Terengganu (YIT) telah memperkenalkan i-Iqraq ini kepada murid-murid kelas bimbingan kanak-kanak (Tadika) YIT di negeri ini sejak tiga bulan lepas.
Setiap kelas dibekalkan dengan seunit alat ini dan melalui kaedah itu
pembelajaran Al Quran akan lebih mudah untuk dipelajari kerana ia turut dilengkapi suara.
Sesungguhnya sikap terbuka pimpinan Dato’ Ahmad di Terengganu yang terus-menerus menjanakan program terbaik sama ada yang dilaksanakan di zamannya atau sebelumnya asalkan baik untuk rakyat dan negeri amatlah disanjung tinggi.
Sudah tentu apabila meletakkan program keagamaan dan berkaitan kita suci al-Quran di tempat yang sewajarnya, Insya Allah Terengganu akan diberkati Illahi.
TEGANUKITA