Halaman

27 May 2010

Qari dan qariah termuda Terengganu ke peringkat kebangsaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Dua qari dan qariah termuda, Ahmad Tarmizi Abd Rahman, 27, dari Kuala Terengganu dan Nur Hidayah Abdul Rahman, 19, dari Setiu berjaya mewakili Terengganu ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu, Sabah pada 29 Jun hingga 3 Julai ini.

Kemenangan qari dan qariah berkenaan diumumkan pada malam ketiga yang juga malam penutup Tilawah al-Quran Kali ke-53, Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1431 Hijrah / 2010 Masihi, di Padang Astaka, Kuala Berang, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Ahmad Tarmizi, tutor Universiti Pendidikan Sains Islam Malaysia, Selangor mengalahkan enam peserta yang lebih berusia dengan memperolehi 86.67 mata meninggalkan Tuan Haji Mazlan Ibrahim yang mewakili Setiu, di tempat kedua dengan beza 3.01 mata, manakala tempat ketiga qari dari Marang, Zainal Adam dengan pungutan mata 81.42.

Sementara Nur Hidayah, pelajar Tingkatan Enam Atas Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tong, Setiu pula berjaya mengutip markah keseluruhan 82.67 mata, diikuti Hajjah Nasirah Ibrahim mewakili Hulu Terengganu di tempat kedua dengan 81.75 dan ketiga Hajjah Raziati Mohd Ali (Marang) yang memperolehi 81.67 mata.

Kemenangan di tempat pertama membolehkan Ahmad Tarmizi dan Nur Hidayah membawa pulang wang tunai RM7,000 beserta sijil, piala iringan, piala pusingan dan pakej menunaikan haji. Manakala pemenang kedua dan ketiga masing-masing berjaya memperolehi RM5,000 dan RM4,000 berserta sijil dan piala iringan.

Pemenang saguhati pula membawa pulang RM1,000 beserta sijil dan piala iringan. Kesemua pemenang menerima hadiah yang disampaikan Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

TEGANUKITA