Halaman

27 October 2010

Perbicaraan kes SMS ugutan bunuh

Ketua Bahagian Siasatan Digi Telecomunication Berhad, Shah Alam, Mohd Faiz Ong Abdullah, 47, memberitahu mahkamah kandungan mesej yang dihantar pelanggan melalui sistem yang diaplikasikan syarikatnya, hanya disimpan selama tujuh hari dan dimusnahkan selepas tempoh tersebut.

Mohd Faiz yang berbaju kemeja kelabu, tampil sebagai saksi kes ugutan bunuh menerusi SMS membabitkan tertuduh, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas Setiausaha Politik Dato’ Seri Idris Jusoh, di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu, hari ini (27 Oktober).

Beliau memberitahu mahkamah mulai 13 April hingga 21 April 2009, terdapat mesej yang dihantar melalui sistem yang diaplikasikan syarikatnya digunakan oleh pelanggan berdaftar dengan nama Ahmad Ramzi Mohamad Zubir menerusi nombor 016-9388800.

Ditanya mengenai sistem waktu yang diaplikasikan syarikatnya, dia menjelaskan sistem yang digunapakai adalah berdasarkan `standard’ waktu Malaysia.

Jelasnya lagi, pelanggan menggunakan nama pendaftaran , Ahmad Ramzi turut mengirim beberapa SMS kepada nombor 019 kepunyaan Celcom pada 20 April 2009. Bagaimanapun berdasarkan sistem Digi, tiada sebarang nombor penerima SMS dicatatkan tetapi hanya terdapat catatan unit per SMS yang dihantar di mana caj 10 sen dikenakan bagi setiap SMS.

Pada tarikh yang sama pada jam 4.39 petang, pelanggan yang sama turut mengirim satu SMS ke nombor Celcom. Kemudiannya satu SMS lagi dihantar juga ke nombor Celcom pada jam 7.05 petang, diikuti satu lagi SMS ke nombor Celcom pada jam 10.37 malam.

Ketika menjawab sama ada terdapat gangguan atau kerosakan pada sistem itu sepanjang 13 April 2009 hingga 14 Mei 2009, Mohd Faiz menjelaskan bahawa tiada sebarang gangguan dan tidak menerima sebarang aduan pelanggan mengenai kerosakan pada sistemnya sepanjang tempoh itu.

Menjawab soalan peguambela sama ada dia boleh mengesahkan bahawa SMS itu dihantar oleh tertuduh, Mohd Faiz memberitahu dia dapat mengesahkan SMS itu dihantar Ahmad Ramzi sebagai pelanggan yang berdaftar dengan syarikatnya berdasarkan beberapa rujukan termasuk sistem rekod, preview dan bil.

Tertuduh, Datuk Dr Ahmad Ramzi didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April 2009 lalu, di E 726 Kampung Kubang Parit., Kuala Terengganu.

Datuk Dr Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Adun Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Adun Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Ahmad Ramzi mengancam untuk mendatangkan kematian kepada ketiga-tiga Adun berkenaan.

Dia turut didakwa memfitnah bekas setiausaha sulit Menteri Besar Terengganu, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, yang kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, dengan menghantar SMS ugutan itu melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Dato’ Wan Ahamad.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid, sementara Datuk Dr Ahmad Ramzi diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz.

Sejurus kemudian, mahkamah berhenti rehat dan bersambung pada sebelah petang kerana telefon bimbit yang digunakan sebagai bahan bukti kes dan mengandungi SMS itu perlu dicaj semula selepas peguambela mengemukakan kepada mahkamah untuk memeriksa kandungan SMS dalam telefon itu.


Perbicaraan yang bersambung petang ini saksi Nor Irwan Zainal Abidin memberitahu, ketiga-tiga telefon yang dirampas tidak mempunyai kandungan SMS yang dihantar.

Peguambela: Adakah kamu ingat nombor mana yang dihantar.
Nor Irwan: Saya tidak ingat nombor mana yang dihantar kepada Dr Ramzi.

Peguambela: Adakah kamu menghubungi Inspektor Hazwan untuk mendapat nombor password
Nor Irwan: Saya tidak ingat.

Peguambela: Beberapa kali kamu menghantar SMS blast?
Nor Irwan: SMS blast dihantar sebanyak empat kali, dua diterima dan dua lagi gagal diterima.

Peguambela: Adakah kamu bertanya sama ada terima atau tidak kepada Dr. Ramzi tentang SMS yang dihantar.
Nor Irwan: Dr. Ramzi memberitahu tidak terima.

Peguambela: Saya cadangkan setuju atau tidak, saya cadangkan SMS tersebut tidak boleh diterima kepada handphone penerima sekiranya tidak dimasukkan angka 6 di hadapan.
Nor Irwan: Setuju, penerima tidak dapat terima SMS jika tidak dimasukkan angka 6 di hadapan.

Peguambela: Berapa kandungan kredit yang terdapat dalam akaun SMS.
Nor Irwan: Tidak ingat kandungan kreadit, tetapi lebih 5 ribu SMS yang masih boleh dihantar.

Peguambela: Selain kepada empat nombor itu, ada nombor lain yang dihantar?
Nor Irwan: Tidak ada

Peguambela: Apakah kandungan SMS itu dan sila baca
Nor Irwan: Penghantar, `Calon MT nombor 5, kandungan Gelombang Biru! Dato’ Seri Idris Jusoh, Penghantar, `Calon MT nombor 5, kandungan Gelombang Biru! Dato’ Seri Idris’ dan dihantar pada 26 Mac 2009 jam 11.56 pagi

Peguambela: Ia dihantar melalui SMS blast?
Nor Irwan: Setuju

Peguambela: Berapa jumlah setiap kali dihantar.
Nor Irwan: 2 ribu SMS melalui blast.

Peguambela: Apakah tugas kamu ketika MT
Nor Irwan: Membantu kempen MT menggunakan sistem SMS blast.

Peguam bela: Sila baca kandungan SMS ini (sambil menghulur telefon)
Nor Irwan: Penghantar, Penjuang UMNO, kandungannya, `Wahai para pewakilan yang budiman, tarikh pada 24 Mac 2009 jam 2.20 pagi.

Peguam bela: SMS satu lagi?
Nor Irwan: Penghantar, Penjuang UMNO. Kandungannya, `Ada yang bakar bendera dan tidak setia ok’

Peguam bela: Ada berhubung dengan Hazwan.
Nor Irwan: Inspektor Hazwan cadang nak berjumpa dengan saya dan bukannya saya yang nak jumpa dia. Saya tidak tahu tujuan itu untuk menahan saya.

Peguam bela: Ada orang temankan
Nor Irwan: Saya cari orang untuk temankan.

Peguam bela: berapa hari kamu kena tahan
Nor Irwan: enam hari

Peguam bela: Setuju atau tidak, saya cadang bahawa kamu memberitahu maklumat hanya untuk dibebaskan.
Nor Irwan: Tidak setuju, saya bagi maklumat untuk melengkapkan siasatan pihak berkuasa.


TEGANUKITA