Halaman

02 July 2014

MENTERI BESAR SARANKAN PUSAT TAHFIZ DI FELDA BELARA DAN BERSETUJU DIBINA MASJID BARU


Di mana sahaja ada kesempatan dan ruang Menteri Besar Dato’ Hj Ahmad Razif Abdul Rahman akan hadir menemui penduduk dan jemaah di masjid dan surau.



Dua hari lepas, beliau dan isteri To’ Puan Halina Zakaria hadir menunaikan solat sunat terawih bersama-sama dengan penduduk di Felda Belara.

Kebetulan Belara terletak dalam Parlimen Kuala Nerus dan Dato’ Hj Ahmad Razif adalah ketua Umno Bahagian. Turut sama mengiringi beliau Timbalan Ketua Bahagian yang juga Pegawai Pembangunan Kuala Nerus,  Dato’ Basir Ismail.

Pemimpin veteran Felda Haji Abdul Rashid yang amat menngenali  Ahmad Razif  teramat gembira dan terharu di atas kesudian pemimpin nombor satu negeri itu datang berterawih di Masjid Felda Belara.
Sebaik selepas menunaikan solat terawih, Dato’ Hj Ahmad Razif dijemput untuk menyampaikan ucapan kepada makmum.

Dato’ Ahmad Razif menyarankan agar pusat tahfiz al Quran  diwujudkan di Felda Belara untuk memberi peluang kepada anak anak muda mempelajari al Quran dan sekaligus memahaminya bagi mewujudkan masyarakat Quranik.

Beliau juga bersetuju untuk membina masjid baru di rancangan felda berkenaan sesuai dengan kedudukannya sebagai felda dalam Bandaraya Kuala Terengganu dengan sebahagian kosnya ditanggung oleh pihak Felda dan selebihnya oleh Kerajaan Negeri.

Dato’ Hj Ahmad Razif dan isteri kemudiannya menikmati hidangan ‘moreh’ bersama-sama jemaah masjid tersebut iaitu kuih tradisional, ‘onde-onde’ dan ‘lepat tikam”.