Halaman

05 February 2019

Suasana Harmoni Antara Kaum Hiasi Sambutan Tahun Baharu Cina Di Terengganu


KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Kerajaan Negeri Terengganu akan memastikan suasana aman dan harmoni yang dinikmati di negeri itu akan terus dipertahankan meskipun berbeza agama, kaum dan fahaman politik.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri bersyukur dengan nikmat keharmonian antara kaum yang dikurniakan di Terengganu.


Ujarnya, kerajaan berjanji untuk memberikan kerjasama yang penuh kepada seluruh masyarakat sama ada Melayu, Cina ataupun India untuk terus mempertahankan keharmonian yang ada.


Hanafiah Mat berkata kerajaan akan terus berkhidmat pada rakyat tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan politik."Kami akan memberi kerjasama kepada seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa, agama apatah lagi fahaman politik.

"Kami akan jadikan seluruh rakyat Terengganu sama ada Melayu, Cina mahupun India adalah rakyat negeri Terengganu bersama (tanpa ada dikriminasi kaum), ini falsafah perjuangan kami," katanya sambil disambut sorakan dan tepukan gemuruh oleh hadirin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Perayaan Pesta Karnival sempena sambutan Tahun Baru Cina di Kampung Cina, Kuala Terengganu semalam.


Antara pengunjung yang hadir memeriahkan majlis.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran G Krishnan, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Cina, Jefri Chua serta Pengerusi Dewan Perhimpunan Tiong Hua Terengganu, Tan Beng San.

Terdahulu, Hanafiah Mat yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai dipersembahkan dengan persembahan seruling dan mercun oleh komuniti Cina di kampung itu.

Pesta karnival yang berlangsung selama empat hari tersebut bertujuan untuk menghangatkan dan memeriahkan lagi suasana sambutan Tahun Baharu Cina di sini.

Pesta karnival yang dianjurkan oleh Dewan Perhimpunan Tiong Hua Terengganu turut dihiasi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan tarian singa serta nyanyian dan tarian kebudayaan oleh warga emas dan kanak-kanak.

Suasana harmoni antara masyarakat berbeza kaum di Terengganu ini boleh dilihat dengan kehadiran masyarakat Melayu dan India semasa pesta karnival ini berlangsung.