Halaman

14 May 2019

RM16 Juta Dana Raya Terengganu Tahun Ini




KEMAMAN, 14 Mei - Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM16 juta untuk Dana Raya menjelang Aidilfitri, Jun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat berkata, peruntukan itu dikira berdasarkan jumlah keseluruhan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

Katanya, setiap DUN diperuntukkan sebanyak RM500,000 dengan jumlah penerima maksima adalah seramai 2,500 orang.

Katanya, setiap pemohon pula diberi RM200 seorang, bergantung kepada arahan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan dana berkenaan dijangka akan dimasukkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 28 dan 29 Mei ini.



Justeru beliau meminta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di setiap DUN segera mengumpulkan maklumat penerima dana berkenaan untuk proses permohonan mulai hari ini.

Ketika dihubungi hari ini, Haji Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, syarat penerima dana tersebut ialah pemohon mesti berpendapatan RM1,100 atau ke bawah manakala orang kelainan upaya (OKU) turut berhak memohon dana tersebut tanpa syarat pendapatan.

"Kerajaan negeri akan membekalkan senarai iDana tahun lalu untuk rujukan dan memilih mereka yang berkelayakan sahaja untuk diproses bagi mendapatkan dana tersebut," katanya.

Katanya, maklumat yang diperlukan ialah nama, nombor kad pengenalan, alamat tempat tinggal dan nombor akaun BSN.

"Setelah diperoleh dengan lengkap, nama-nama berkenaan akan dimasukkan ke dalam pengkalan data portal iDana Kerajaan Terengganu oleh MPKK dan i-MiTS," jelasnya.

Beliau berkata, pihak SUK yang menguruskan portal itu akan memproses untuk membayar dana tersebut kepada pemohon yang layak sebanyak RM200 seorang melalui akaun bank masing-masing.