Halaman

Showing posts with label maidam. Show all posts
Showing posts with label maidam. Show all posts

17 June 2009

Bantuan Maidam Ubah Kehidupan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Haji Wan Harujan menyampaikan bantuan enjin bot kepada Kasim Ismail. -Foto SHUHAIMI AHMAD

“Saya memang nelayan tulen dan bantuan enjin bot dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hari ini mampu mengubah hidup saya ke arah lebih baik.

“Terima kasih kerajaan. Saya gembira sangat hajat saya sejak beberapa tahun lalu memiliki enjin bot baru tercapai jugak hari ini,” kata seorang nelayan, Kasim Ismail, 59, dari Kampung Pantai Batu Buruk, Jalan Haji Busu, Kuala Terengganu, ketika ditemui wartawan TeganuKita, hari ini (16 Jun).


Kasim merupakan seorang daripada enam penerima bantuan modal berdikari yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman di Majlis Penyerahan Bantuan Modal Berdikari Maidam 2009, di Perkarangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Kuala Terengganu.

Seorang remaja, Nor Shahida Ramli, 20, dari Kampung Tok Jembal, Kuala Terengganu, berkata dia memohon bantuan mesin jahit daripada Maidam sejak setahun lalu bagi memudahkan kerjanya sebagai tukang jahit sepenuh masa.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat mesin jahit yang sudah lama saya pohon dan selepas ini pasti saya dapat menjahit dengan lancar dan tidak perlu ke tempat lain bagi mendapatkan khidmat jahit tepi baju pelanggan saya,” katanya yang pernah mendapat latihan jahitan di Yayasan Pembangunan Keluarga selama enam bulan.

Manakala seorang surirumah, Suzilawati @ Suhaila Abdullah, 25, dari Kampung Baloh, Manir pula mahu membantu suaminya meningkatkan pendapatan keluarga dengan mengambil upah menjahit pakaian di rumah sambil menguruskan keluarga.

“Saya ada anak kecil, jadi apabila ada mesin jahit, saya dapat ambil upah menjahit sambil menjaga anak. Sekurang-kurangnya saya dapat membantu suami dengan menggunakan kemahiran belajar menjahit yang ditimba dari Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) pada 2003 dan Kolej Komuniti pada tahun lalu, untuk tingkat pendapatan kami sekeluarga,” katanya.

Selain enam penerima bantuan modal, seramai 113 lagi melibatkan penerima bantuan bulanan (60 penerima), bantuan persekolahan (27 penerima) dan bantuan sara hidup 26 penerima.

Menurut Haji Wan Harujan, majlis penyerahan wang bantuan dan modal berupa enjin bot, mesin jahit serta basikal untuk sesi keempat kali ini melibatkan 119 penerima dengan peruntukan berjumlah RM76,690.

Katanya, bantuan enjin bot berharga antara RM5,000 hingga RM6,000, manakala empat mesin jahit untuk pelbagai fungsi jahitan berharga RM2,000 hingga RM3,000 setiap unit.

Beliau berkata, bantuan yang diperolehi itu diharap tidak disalahguna oleh penerima dengan menjual semula barangan atau menggunakan wang bantuan membeli sesuatu yang tidak sepatutnya untuk kepentingan peribadi.

“Kalau kita dapat mengesan penerima bantuan didapati menyalahguna bantuan, kita akan tarik balik bantuan yang diberi. Kalau beri mesin jahit, mereka tidak menggunakannya dengan betul, sekadar disimpan tanpa mengusahakannya, Maidam akan bertindak mengambil semula mesin berkenaan.

“Bagaimanapun, jika dalam tempoh tiga tahun sebagaimana dalam surat perjanjian mereka dapat menggunakan modal yang diberi untuk menjana pendapatan dan meningkatkan taraf kehidupan, Maidam akan memberikan barangan berkenaan sebagai hak milik mereka,” katanya.

Malah, beliau juga mahu memastikan hasil penerima bantuan modal berkenaan dapat memajukan diri mereka serta keluarga, selain berupaya pula menjadi pembayar zakat bagi membantu mereka yang miskin satu masa nanti.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)