Halaman

29 September 2009

T'Team Atur Perlawanan Persahabatan Di Jedah

KUALA TERENGGANU, 24 Sept (Bernama) -- Sebagai persediaan menghadapi Liga Super tahun depan, T'Team akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Jedah awal bulan depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Rosdi Awang berkata pemain dan pegawai T'Team akan mengadakan ziarah tanah suci selama kira-kira 10 hari pada awal bulan depan, juga sempena hadiah kejayaan mereka muncul naib juara Liga Perdana musim ini.

"Kita bukan sahaja akan membuat ziarah, tetapi kita juga akan mengambil peluang mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan di Jedah dalam kunjungan ini," katanya kepada Bernama.

Rosdi yang juga penolong pengurus pasukan T'Team berkata, dengan adanya perlawanan persahabatan itu, ia tidak akan menghentikan latihan untuk pasukan itu sepanjang lawatan itu diadakan di Jedah.

Katanya, beberapa aktiviti lain juga akan diadakan kepada pemain-pemain sepanjang lawatan seperti motivasi bagi menguatkan semangat jati diri pemain-pemain.

Beliau berkata sebagai pandatang baru dalam kejohanan Liga Super tahun depan, sudah tentu pemain-pemain pasukan T'Team perlu dilengkapi pelbagai persediaan diri dan mental.

"Kita harap program ziarah ke tanah suci ini akan menjadi penyuntik semangat pemain-pemain untuk muncul sebagai juara baru liga," katanya.

Rosdi berkata kesemua 25 pemain, termasuk tujuh pemain yang dipinjamkan untuk mewakili negeri-negeri dalam pertandingan Piala Malaysia turut ditawarkan untuk mengikuti rombongan itu.

Pemain-pemain berkenaan ialah Haris Safwan Kamal, Rosdi Talib, Muhd Fakhrurazi Musa (KL Plus), Hairuddin Omar (Negeri Sembilan), Azrul Hazran Amiludin Baki, Shafuan Adli Shaari (Perak) dan Norhisham Hassan (Kelantan).

-- BERNAMA

Peruntukan RM675,000 Untuk Tingkat Hasil Padi Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 24 Sept (Bernama) -- Jabatan Pertanian negeri membelanjakan hampir RM675,000 untuk program meningkatkan hasil pengeluaran padi di Terengganu tahun ini.

Pengarah Pertanian negeri Yusof Maidin berkata peruntukan itu adalah untuk kos meratakan sawah dan pengurusan pengairan yang baik bagi membolehkan pengeluaran padi di negeri ini dapat ditingkatkan.

"Kalau sawah tinggi rendah, menyebabkan air tidak sama rata dan hasil padi kelak tidak banyak," katanya kepada ketika dihubungi di sini Khamis.

Yusof berkata seluas 450 hektar sawah telah diratakan tahun ini dan program itu akan diteruskan dari semasa kesemasa bagi membantu meningkatkan pendapatan petani.

Kawasan sawah yang telah diratakan ialah di Kemaman (38 hektar), Besut (139 hektar), Marang (68 hektar), Hulu Terengganu (94 hektar), Kuala Terengganu (40 hektar) dan Setiu (71 hektar), katanya.

Yusof berkata pada masa ini Terengganu belum mampu menampung keperluan padinya sendiri dan masih mengimport kira-kira 50 peratus beras untuk keperluan dalam negeri.

Beliau berkata pengeluaran beras di Terengganu dijangka meningkat kepada 85 peratus menjelang 2011 apabila kawasan baru seluas 735 hektar dibuka. Pengeluaran beras pada masa ini ialah 46 peratus.

Pada tahun 2013, anggaran kawasan sawah di Terengganu dijangka mencapai 26,279 hektar dengan hasil 113,490 metrik tan.



-- BERNAMA

Terengganu Beli Produk Usahawan IKS Untuk Tambah KDNK

KEMAMAN, 27 Sept (Bernama)-- Kerajaan negeri Terengganu mengambil langkah membeli produk-produk yang dikeluarkan oleh usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi meningkatkan sumbangan mereka dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera berkata, melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), kerajaan negeri membeli kesemua produk yang dihasilkan oleh lebih 2,000 usahawan IKS untuk dipasarkan di rangkaian kedai T'shoppe di negeri ini serta beberapa buah negeri lain.

"Untuk itu, kita mewujudkan Pusat Pengumpulan Dan Pemasaran Produk Usahawan di setiap daerah di negeri ini yang mana setiap produk yang dibeli akan dikumpul untuk ditambah nilai termasuk dari segi pembungkusan dan penjenamaan semula.

"Produk-produk seperti batik, kerepek, kraftangan inilah yang akan kita pasarkan di kedai rangkaian francais T'shoppe dan pasaraya yang terpilih," katanya kepada Bernama ketika ditemui di majlis rumah terbuka beliau di sini pada Ahad.

Katanya, setakat ini tiga cawangan T'Shoppe telah dibuka iaitu dua di Kuala Terengganu dan satu di Kuala Berang.

Mohamed berkata, lebih banyak rangkaian kedai itu akan dibuka tidak lama lagi termasuk sebuah di Kemaman, Paka, Melaka dan masing-masing lima di Lembah Klang dan Johor.

Katanya, dengan cara itu ia akan menggalakkan lagi para usahawan IKS ini untuk menghasilkan lebih banyak produk sekaligus akan dapat membantu mereka meningkatkan lagi taraf ekonomi keluarga serta meningkatkan KDNK negeri.

-- BERNAMA

19 September 2009

Sambutan Hari Raya Perantau di Taman Tamadun Islam

Majlis Hari Raya YAB Dato’ Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu Bersama Perantau akan diadakan pada Hari Raya Aidilfitri Ketiga iaitu 3 Syawal 1430H, seawal jam 9 pagi bertempat di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Dijangka seramai 3,000 orang perantau anak Terengganu termasuk pelajar di luar Terengganu yang pulang berhari raya akan bersama YAB Menteri Besar dalam suasana mesra Hari Raya, sesuai dengan pendekatan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan yang menjadi fokus Kerajaan Negeri.

Selain Menteri Besar, barisan exco Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dijangka akan hadir sama meraikan perantau yang terdiri dari pelbagai lapisan, termasuk ahli akademik, petugas media dan tokoh serta personaliti anak Terengganu yang mencipta nama di luar Terengganu.

Selain menikmati hidangan hari raya, para hadirin juga akan dihiburkan persembahan bercorak budaya Terengganu, melihat tayangan video tentang Terengganu.

YAB Dato’ Ahmad Said, Menteri Besar juga akan menyampaikan ucapan bagi memberi maklumat kepada perantau tentang pembangunan dan hala tuju pembangunan Terengganu masa kini.

Ia merupakan program tahunan Kerajaan Negeri bagi meraikan dan menghargai perantau sempena kembali berhari raya.

Majlis Hari Raya yang bertemakan Rakyat Di Hatiku ini dijangka berakhir pada jam 3.00 petang.

Bahagian Perhubungan Awam dan Seranta,
Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

16 September 2009

Institut Jantung Terengganu Beroperasi Tahun Depan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Nasib rakyat Terengganu yang miskin dan kurang bernasib baik khususnya yang menghidap penyakit jantung, kanser dan strok lebih terjamin apabila Institut Jantung Terengganu bakal beroperasi pertengahan tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata lokasi pusat perubatan yang bakal dibina menggunakan peruntukan penuh kerajaan negeri itu sudah dikenalpasti dan kerja menyediakan kelengkapan yang sesuai akan dijalankan secepat mungkin memandangkan projek itu di peringkat perundingan terakhir.


Dato' Ahmad beramah mesra dengan pelajar IPT yang hadir pada majlis Berbuka Puasa Bersama Siswa dan Siswi Anak Terengganu di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur. -Foto KAMARUDDIN AKIB

Katanya, caj rawatan yang dikenakan kepada pesakit yang memerlukan khidmat di institut jantung itu nanti bergantung kepada taraf hidup dan pendapatan pesakit berkenaan.

“Kalau mereka yang berkemampuan mungkin akan kena caj seratus peratus. Kalau kurang mampu mungkin 50-50, bayar sendiri separuh dan kerajaan akan tanggung separuh. Ia bergantung kepada taraf hidup masing-masing,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Siswa dan Siswi serta Anak Terengganu di Kuala Lumpur, di Seri Pacific Ballroom, Kuala Lumpur, semalam (12 September).


Dato' Ahmad menyampaikan sumbangan pentadbiran Permata kepada wakil universiti.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Encik Ahmad Razif Abd Rahman.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri dan Asas Tani, Encik Rozi Mamat; Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Kamaru al-Amin Ismail dan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Beliau berkata, idea mewujudkan kemudahan untuk membantu rakyat Terengganu dibuat selaras dengan konsep `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’, selepas melihat ramai orang kampung yang mendapat penyakit strok umpamanya hanya terbaring di rumah dan membiarkan penyakit itu makin melarat tanpa mendapatkan rawatan yang sewajarnya di pusat rawatan.

Selain kurang kesedaran, ramai juga penghidap penyakit berbahaya itu enggan mendapatkan rawatan lanjut kerana kemiskinan dan tiada sumber kewangan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan sepanjang rawatan.

Sebelum itu, Dato’ Ahmad begitu teruja dapat meluangkan masa beramah mesra di majlis berbuka puasa, selain berterawih dengan perantau yang hadir ke majlis berkenaan.

Program itu berjaya menghimpunkan lebih 1,000 anak Terengganu melibatkan penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, wartawan serta ahli Persatuan Anak Terengganu Wilayah Persekutuan & Selangor (Pesat).

Dalam usaha kerajaan merakyatkan pendidikan, Dato’ Ahmad juga telah menyampaikan sumbangan bantuan untuk pentadbiran Persatuan Mahasiswa Terengganu (Permata) bagi setiap pusat pengajian tinggi untuk menggerakkan aktiviti dan kebajikan pelajar di IPTA berkenaan.

Program berkenaan dianjurkan Pejabat Menteri Besar, Yayasan Terengganu dan Unit Komunikasi Negeri dengan kerjasama Badan Perhubungan Umno Negeri.

UKOM

Usah Burukkan Imej Malaysia Di Luar Negara

Oleh : Mohd Shuhaimi bin Ahmad

Masyarakat tempatan disaran supaya menitikberatkan soal perpaduan dan mengelakkan diri mereka daripada melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan imej rakyat Malaysia di Arab Saudi.

Seorang ahli perniagaan, Sheikh Abdul Halim Al-Kathiri, yang sudah 30 tahun menetap di Kota Mekah, berkata nama Malaysia kini terkenal di Arab Saudi dan terdapat ramai pakar dan pelabur berada di negara berkenaan kerana terbabit dalam pelbagai bidang.

Beliau yang berasal dari Terengganu dan masih mampu bercakap dalam pelat tempatan, berkata kini terdapat lebih 50 pakar dalam pelbagai bidang bekerja di negara Teluk itu dan ramai tenaga kerja dari Malaysia sedang bertugas di situ.


Dato' Ahmad bersama Sheikh Abdul Halim Al-Kathiri pada sesi pertemuan di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman. -Foto SHUHAIMI AHMAD

“Pemimpin kerajaan Arab Saudi dan rakyat mereka begitu hormat dan memandang tinggi kepada rakyat Malaysia, khususnya pakar dan pelabur yang sedang bertugas di sana.

“Malah, jemaah haji kita mendapat layanan baik kerajaan dan pegawai mereka yang bertugas mengendalikan jemaah haji,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar di Wisma Darul Iman, petang semalam (14 September).

Bagaimanapun, Sheikh Abdul Halim melahirkan kebimbangan beliau terhadap keadaan politik semasa yang berlaku di negara ini di mana terdapat bibit-bibit perpecahan antara masyarakat Islam dan rakyat pelbagai kaum.

“Kita lihat dulu masyarakat Melayu terkenal kaya dengan budi bahasa dan mereka tidak melakukan perbuatan seperti mencaci pemimpin dan mengadakan demonstrasi jalanan.

“Kebelakangan ini ada segelintir masyarakat Melayu sudah terlibat dengan perbuatan yang boleh mencemarkan imej mereka dan keadaan ini akan menjejaskan kedudukan rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata, jika keadaan itu berterusan sudah tentu pemimpin dan rakyat Arab Saudi hilang rasa hormat mereka terhadap rakyat Malaysia dan penduduk Negara ini akan sukar untuk mendapatkan pelbagai pekerjaan dan pelaburan di negara tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk negara ini, khususnya Terengganu menjaga tata susila mereka dan mengekalkan keharmonian negara ini agar rakyat Malaysia terus mudah ‘mencari makan’ di luar Negara.

UKOM

13 September 2009

MB meraikan anak-anak Terengganu di Kuala Lumpur

MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA SISWA/SISWI SERTA ANAK TERENGGANU DI KUALA LUMPUR

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said begitu gembira kerana dapat meluangkan beramah-mesra dengan mahasiswa dan mahasiswi serta anak perantau dari Terengganu yang menetap di Kuala Lumpur dan sekitar Selangor pada Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Besar Bersama Pelajar IPTA di Ballroom Seri Pacific, Jalan Putra, Kuala Lumpur petang ini. (12 September 2009)

Pertemuan mesra ini telah berjaya menghimpunkan lebih 1000 anak Terengganu daripada kalangan warga Institusi Pengajian Tinggi Awam di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, wartawan serta ahli Persatuan Anak Terengganu Wilayah Persekutuan & Selangor (Pesat).

Dalam usaha kerajaan merakyatkan pendidikan, YAB Dato’ Ahmad Said juga telah menyampaikan sumbangan bantuan untuk pentadbiran Permata bagi setiap institut pengajian tinggi awam berkaitan bagi memastikan pelbagai aktiviti berfaedah untuk kebajikan pelajar dapat dijalankan dengan jayanya.

Program ini dianjurkan oleh Pejabat Menteri Besar dan Unit Komunikasi Negeri dengan kerjasama Yayasan Terengganu serta Badan Perhubungan Umno Negeri.

Kerajaan negeri sanggup mengorbankan wang ringgit menambah peruntukan sebanyak RM30 juta bagi memastikan kecemerlangan pendidikan demi kejayaan anak-anak Terengganu bagi. melahirkan lebih ramai profesional dalam pelbagai bidang.


Dato' Ahmad dan Haji Kamaru al-Amin sempat bergambar bersama pelajar IPT yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Siswa dan Siswi Anak Terengganu di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur.

Katanya, pendidikan cemerlang dapat memastikan peluang pekerjaan lebih terjamin. Terengganu mencatatkan kejayaan menduduki tempat pertama bagi peperiksaan UPSR selama lapan tahun berturut-turut. Tahun lalu, seramai 3,170 pelajar mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR.

Pelbagai usaha seperti program pemberian e-book, kemudahan pinjaman kepada lebih ramai pelajar, mengadakan perjanjian persefahaman (MoU), untuk melatih jurutera dan juruteknik bidang penerbangan, bidang perubatan.

Menurut Pengarah Yayasan Terengganu, Tuan Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail, Yayasan Terengganu akan menaja seramai 70 pelajar untuk melanjutkan pelajaran di beberapa buah universiti di Mesir, Jordan, Russia dan United Kingdom melibatkan bidang perubatan, pengajian Islam, Kejuruteraan dan Animasi yang membabitkan peruntukan hampir RM1 juta tahun ini.

Menurutnya, Yayasan Terengganu akan menghantar pelajar ke Mesir(20), Russia (16) untuk mengikuti kursus dalam bidang perubatan/pergigian, bidang pengajian Islam di Mesir (17) dan Jordan (9) yang akan bertolak pada 24 Sept ini

Selebihnya, empat orang akan mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia, tiga orang mengikuti kursus bioteknologi/farmasi/sains aktuari dan seorang dalam bidang animasi akan dihantar ke United Kingdom pada penghujung tahun nanti, katanya.

06 September 2009

Umno Terengganu Masih Mampu Pertahan Negeri : Hishammuddin

SETIU, 4 Sept (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Barisan Nasional (BN) masih berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan kerajaan Terengganu walaupun Umno negeri menghadapi masalah dalaman.

Hishammuddin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata keyakinannya itu bersandarkan kepada kedudukan Umno negeri itu yang bertambah baik berbanding sebelum ini disebabkan sekumpulan wakil rakyat BN tidak sehaluan dengan Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

"Memang tidak dinafikan ada satu, dua perkara yang perlu ditangani. Namun kedudukan Umno Terengganu kini jauh lebih baik berbanding sebelum (kemelut politik) ini," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis gotong royong membina wakaf di pantai Kampung Penarik di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua Umno Bahagian Besut.

Hishammuddin berkata di negeri lain, Umno turut menghadapi beberapa masalah namun dengan bantuan daripada pucuk pimpinan parti, kemelut yang timbul dapat diselesaikan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersedia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah dalaman Umno Terengganu.

"Saya berterima kasih sangat jika Timbalan Perdana Menteri sendiri boleh membantu menyelesaikan satu, dua perkara (dalam Umno Terengganu) manakala yang lain, saya dan Menteri Besar boleh selesaikan.

"Ini kita akan buat cara kitalah...senyap-senyap dan berhubung terus dengan personaliti pemimpin tertentu," katanya.

Semalam, selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin empat peringkat Umno Terengganu di Hulu Terengganu, Muhyiddin menawarkan diri membantu Hishammuddin bagi menyelesaikan kemelut membabitkan sekumpulan wakil rakyat BN yang tidak sehaluan dengan Menteri Besar itu.

Ditanya mengenai sebahagian besar wakil rakyat BN yang tidak hadir pada perjumpaan dengan Muhyiddin, Hishammuddin berkata perkara itu berlaku disebabkan terdapat tiga acara berasingan yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri di negeri itu, semalam.

"Semalam ada tiga program iatu mesyuarat dengan empat peringkat Umno Terengganu, majlis berbuka puasa serta solat Isyak dan terawih. Saya dapat laporan, hampir kesemua mereka hadir pada setiap satu program yang diadakan itu.

"Memang kita lihat begitu ketara pada mesyuarat empat peringkat Umno apabila ramai daripada mereka tidak hadir. Tetapi program kedua dan ketiga mereka ada, jadi itu bukan menjadi petanda (Umno Terengganu berpecah)," katanya.

Hishammuddin bersama ahmad dan pemimpin Umno negeri yang lain mengambil inisiatif untuk turun padang menyelami dan bermesra dengan rakyat dengan menyertai program "Semarak Tganun Kite" di Kampung Penarik, bermula malam semalam.

Pada program yang berakhir hari ini, pemimpin-pemimpin Umno menjadi anak angkat kepada beberapa penduduk kampung dan mereka bersahur di rumah keluarga angkat masing-masing selain terlibat dengan aktiviti membina wakaf.

"Saya sangat seronok dan tak boleh lupa apabila menjadi anak angkat kepada Mak Teh di Kampung Penarik. Banyak cerita menarik yang mereka lalui.

"Walaupun kehidupan Mak Teh tidak selesa seperti orang biasa, dia dalam keadaan yang cukup gembira, jauh lebih senang daripada orang kaya," kata Hishammuddin.

-- BERNAMA

Maidam Mula Agih Bantuan Zakat

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Kira-kira 40,000 golongan fakir dan miskin di negeri ini mula menerima bantuan zakat membabitkan peruntukan hampir RM10 juta, sempena Ramadan ini.

Sumbangan itu disempurnakan Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam) secara berperingkat mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda, Dato’ Haji Mazlan Hashim, berkata sejumlah RM36.5 juta sudah diagihkan kepada kira-kira 45,000 penerima yang berlayakan termasuk mualaf, sehingga Ogos lalu.

Katanya, dalam tempoh sama, kutipan wang zakat yang dibayar pelbagai agensi termasuk anak syarikat kerajaan serta swasta berjumlah RM30juta.

“Bagi tahun ini iaitu berakhir Disember, Maidam mensasarkan kutipan zakat berjumlah RM60 juta iaitu kurang RM6 juta berbanding pungutan tahun lepas.


Yang Dipertua Maidam, Dato' Senara Muda, Dato' Haji Mazlan menghantar SMS gimik kepada Pelancaran Zakat Fitrah Melalui SMS di Pejabat Maidam, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Pihak kami mengambil keputusan mengurangkan sasaran kutipan itu kerana menyedari faktor kelembapan ekonomi, jika ianya pulih, pungutan dijangka kembali stabil,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pembayaran Zakat Fitrah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS), di pejabat Maidam, Kuala Terengganu, hari ini (3 September).

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman dan Naib Presiden Kawasan Timur, Celcom (Malaysia) Berhad, Dato’ Sulaiman Ahmad.

Melalui kaedah itu pengguna tidak perlu ragu kerana sistem itu menyediakan akad sama seperti pembayaran di kaunter zakat dan mendapat pengiktirafan serta kebenaran Pusat Zakat Negeri.

Dato’ Mazlan berkata, dengan wujudnya kemudahan ini, pihaknya tidak mahu lagi mendengar pelbagai alasan untuk tidak melunaskan tuntutan wajib itu.

Katanya, perkhidmatan inovatif ini diperkenalkan kepada umat Islam semata-mata untuk memudahkan pembayaran zakat.


Seorang pelanggan membayar zakat melalui telefon bimbit dengan menghantar SMS.

“Apa yang menarik, mereka termasuk perantau tidak perlu singgah di mana-mana kaunter pembayaran sebaliknya hanya menggunakan sms.

“Syarat dan aturan pembayaran akan dihantar dalam tempoh beberapa saat sekiranya individu itu bersetuju membayarnya,” katanya.

Terengganu adalah negeri kelima menggunakan kaedah percuma ini dan bakal mendapat sambutan menggalakan daripada pengguna.

UKOM

Serikandi Agih Kuih Raya Kepada Pasukan Keselamatan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Pemberian ini tidak seberapa berbanding pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh pasukan keselamatan yang menjaga keamanan negara daripada ancaman musuh dan dilihat sentiasa bersiap sedia memberi khidmat kepada rakyat jelata.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), To’ Puan Norliza Mahmud berkata demikian di majlis Penyerahan Bungkusan Raya Untuk Pasukan Keselamatan Negeri Terengganu di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini (3 September).

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negeri Terengganu, SAC II Hamzah Md. Jamil; Pegawai Pemerintah 18 RAMD, Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Lt. Kol Mohd Sobirin Mohd Yusof; Pegawai Rejimen 512 AW, Kem Padang Midin, Lt Kol. Khairuddin Mohd Ali; Penguasa Kanan II Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Md Ridzuan Hasan dan wakil Pegawai Pemerintah Batalion 9, PGA Gong Badak, ASP Tuan Yusof Ujang.

Dalam majlis tersebut sebanyak 2,950 bungkusan kuih raya telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) (1,000 bungkus), Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Pantai (1,000), Rejimen 512 Askar Wataniah (AW), Kem Padang Midin (250), Bomba dan Penyelamat (500) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6, Gong Badak, Kuala Terengganu 200 bungkus.


To` Puan Norliza bersama wakil pasukan keselamatan pada majlis penyerahan bungkusan kuih Raya di Kediaman Seri Iman. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

“Sumbangan ini sebagai penghormatan dan tanda kasih Serikandi di atas pengorbanan pasukan keselamatan menjaga keamanan tanpa mengira masa dan waktu,” kata To’ Puan Norliza yang juga isteri Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Katanya, di samping mengagihkan kuih raya kepada pasukan keselamatan, Serikandi turut aktif membantu golongan miskin, warga emas dan kurang upaya melalui ahli Serikandi yang berada di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sempena bulan baik (Ramadan) ini kita telah membelanjakan lebih kurang RM90,000 untuk sumbangan hari raya termasuk menyediakan rendang dan beberapa jenis biskut raya kepada pasukan keselamatan,” katanya.

To’ Puan Norliza seterusnya berharap dengan pemberian ini terjalinnya ikatan silaturrahim antara pasukan keselamatan dan Serikandi serta dapat berganding dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan pada masa-masa akan datang.

UKOM