Halaman

19 October 2009

PMINT Rai Anak Yatim

Oleh : SURIATI BINTI ALI

“Seronok dan terima kasih kerana sudi menjemput saya dan kawan-kawan di majlis penuh bermakna ini.

“Ibu kurang berkemampuan untuk membawa saya dan adik-beradik untuk makan di restoran seperti ini, oleh itu kenangan hari ini tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” kata murid Tahun 5 Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Losong, Mohd Fitri Syawal Abdullah ketika ditemubual TeganuKita.


Anak yatim menerima duit raya daripada pengurus besar PMINT, Dato' Hj Zakaria Awang pada sambutan Aidilfitri jabatan itu di Taman Tamadun Islam. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Mohd Fitri antara 50 anak yatim dari tiga buah sekolah sekitar Kampung Losong, Kuala Terengganu menjadi tetamu istimewa Majlis Hari Raya Perbadananan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di Bbenteng Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini (12 Oktober).

Selain anak yatim, tetamu pelbagai agensi kerajaan dan swasta turut hadir bagi memeriahkan majlis yang dianjurkan secara tahunan itu.

Murid Tahun 2 Sekolah Kebangsaan Paloh, Madiana Alia, 8, berkata hari ini paling seronok, kerana kami bukan sahaja dijamu pelbagai makanan istimewa malah turut dapat duit raya dan melawat sekitar Taman Monumen, TTI.

Katanya, sebelum ini, saya bersama keluarga pernah datang, tetapi tidak pernah berkunjung dan masuk di dalam taman dan makan di restoran milik TTI ini.

“Saya berasa bangga kerasa terpilih untuk hadir majlis hari raya ini dan jika berpeluang, ingin datang lagi,” katanya yang ditemani guru sekolah.

UKOM

12 October 2009

Larian 1Malaysia – Majlis Belia Negeri Terengganu 2009

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

KUALA TERENGGANU – 12 Oktober --- Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) dengan kerjasama Jabatan Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan menganjurkan Larian 1Malaysia – MBNT 2009 pada 14 November 2009.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dijangka bakal menyertai larian bersama lebih 7,000 orang termasuk badan dan agensi kerajaan, swasta, belia, NGO dan juga orang awam.

Larian yang berkonsepkan larian ria sejauh tiga kilometer ini bermula bermula dan berakhir di Dataran Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu.

Pada masa yang sama, peserta berpeluang memenangi hadiah larian sumbangan penaja serta kupon cabutan nombor bertuah akan diberikan kepada peserta yang dapat menamatkan larian dalam tempoh waktu yang ditetapkan.

Setiausaha MBNT, Encik Salleh Othman, berkata program itu bertujuan menggerakkan dan mengaktifkan para belia di negeri ini, sekaligus dapat melahirkan masyarakat yang seimbang dan mantap.

Pada masa yang sama, penglibatan dalam program itu juga sebagai tanda sokongan dan komitmen terhadap gagasan dan kepimpinan negeri dan negara khasnya.

“Adalah diharapkan agar program ini akan dapat menghindarkan belia daripada mendekati perkara-perkara yang tidak diingini dan menyalahi undang-undang.

“Di samping itu juga, ianya dapat melahirkan kesediaan belia untuk melakukan sebarang aktiviti bersukan adalah digerakkan daripada kehendak dan sikap aktif belia itu sendiri. Malah, apa yang lebih penting dapat membentuk keperibadian dan disiplin diri,” katanya.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Setiausaha MBNT, di talian 09-6242200.

UKOM

Bukti Rakyat Masih Percaya Dengan Pucuk Pimpinan BN

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Para pemimpin parti komponen Barisan Nasional(BN) menyifatkan kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang merupakan bukti rakyat masih percaya dengan pucuk pimpinan parti.


Datuk Wong Foon Meng
Gambar Fail: TEGANUKITA


Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng berkata walaupun pada pilihan raya sebelum ini BN seolah-olah kehilangan sokongan rakyat, kejayaan di Bagan Pinang menjadi titik permulaan bagi parti itu mengorak langkahnya semula.

"Saya menganggap kemenangan ini sebagai satu petanda kemenangan BN kepada rakyat. BN masih diterima dan dikehendaki oleh rakyat untuk membawa kemenangan kepada mereka.

"Kemenangan ini juga menunjukkan rakyat telah mula memberi keyakian kepada BN untuk mewakili kawasan itu sekaligus menunjukkan ia merupakan parti yang mampu memberi kebahagian dan keamanan kepada rakyat secara amnya," katanya.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berkata keputusan di empat saluran yang mempunyai majoriti pengundi India menunjukkan masyarakat India telah mengundi BN pada pilihan raya kecil itu.

"Kami (MIC) telah menunaikan janji kami kepada Perdana Menteri dengan memberikan undi masyarakat India kepada BN. Ini adalah KPI beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) kepada MIC," katanya kepada Bernama di sini.

Samy Vellu mengucapkan terima kasih kepada pengundi India atas sokongan mereka kepada BN dan menyatakan komitmen MIC untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha membawa lebih banyak pembangunan kepada masyarakat India.

"Kami akan tunaikan janji kami kepada masyarakat India," katanya.

Menteri Sumber Manusia yang juga naib presiden MIC Datuk Dr S.Subramaniam berkata kerajaan perlu terus meningkatkan kehidupan masyarakat India agar keputusan pilihan raya ini akan tersebar ke kawasan lain dan membawa kepada kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pada pilihan raya kecil itu BN mempertahankan kerusi Bagan Pinang menerusi calonnya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang mengalahkan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi.

Mohd Isa memperoleh 8,013 undi manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi.

-- BERNAMA


11 October 2009

Azizulhasni 'anak emas' Malaysia


'Dia ikon anak muda, prestasi konsisten, mampu penuhi impian pada 2012'




GAPAIAN gelaran terbaru di Medellin, Colombia, menyaksikan jaguh pecut berbasikal negara, Azizulhasni Awang kini digelar Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, sebagai 'anak emas' Malaysia.

Lantas, Azizulhasni kini dilihat sebagai antara calon berkeupayaan untuk memastikan penantian sekian lama negara buat bermegah dengan kilauan emas temasya Sukan Olimpik, mampu dinoktahkan.

“Azizulhasni adalah ikon anak muda negara dan kini menjadi ‘anak emas’ Malaysia. Kejayaannya yang dihasilkan secara konsisten meyakinkan kementerian untuk mendapatkan satu emas daripada Sukan Olimpik London (nanti),” katanya.

Untuk ke arah itu, Ahmad Shabery menjanjikan segala bantuan yang diperlukan jaguh dari Dungun itu supaya kayuhannya mampu lebih mantap dan kejayaan terus berjaya dijelmakan.

“Kita akan pastikan dia mendapat segala bantuan yang diperlukan. Setakat ini, prestasinya memang konsisten di peringkat perlumbaan tertinggi dan ini amat membanggakan,” katanya.


John Beasley

Azizulhasni mencipta kejutan apabila memenangi acara pecut kejohanan Grand Prix Medellin, Colombia, kelmarin, selepas menundukkan juara dunia, Gregory Bauge dari Perancis di perlumbaan akhir.

Kejayaan itu tambah manis kerana ia memperbaiki pencapaian pingat perak acara sama yang diraih pada Kejohanan Trek Dunia di Poland, Mac lalu, kebetulan ketika dia kecundang kepada pelumba sama.

Ahmad Shabery juga memuji komitmen Azizulhasni - pelajar Universiti Deakin di Melbourne - yang bersendirian ke Medellin tanpa jurulatihnya, John Beasley yang kekal melatih rakan sepasukan lain di pangkalan skuad negara di Australia itu.

Azizulhasni pilih 'laluan berbeza' di Piala Dunia

Terpaksa lupakan rakan senegara kerana mewakili pasukan dari Australia

SESUDAH gah mengibar Jalur Gemilang melakar nama Malaysia di Medellin, Colombia, baru-baru ini, jaguh trek Azizulhasni Awang kini memilih laluan berbeza pada saingan Piala Dunia bermula di Manchester, England, bulan ini.

Dia kini terpaksa melupakan rakan sepasukan negara kerana akan mewakili pasukan profesional, Bike Technologies (BT) dari Australia walaupun sasarannya tetap sama - untuk mengumpul mata ke Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark Mac tahun depan.

Apapun, itu adalah perancangan terbaik disusun ketua jurulatih, John Beasley yang mahu memastikan lebih ramai pelumba negara mampu meraih mata ke Copenhagen selain mencuba gandingan muka baru dalam acara pecut.



Walaupun Azizulhasni mewakili pasukan profesional, misinya tetap sama bagi mengumpul mata untuk pasukan negara, kata Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Naim Mohamad, semalam.

Tidak kira pasukan apa diwakilinya, apa yang penting pada akhirnya dia dapat mengharumkan nama negara.

Naim menjelaskan, langkah itu bersifat sementara dan dapat membuka ruang buat Beasley mencuba gandingan baru dalam acara pecut terutama membabitkan pelumba muda yang kini sudah beberapa bulan menjalani latihan di Melbourne, Australia.

Ketika ini, seramai 12 pelumba menjalani latihan di Australia dengan sebahagian besar terdiri daripada pelumba pelapis yang diharapkan mampu menandingi skuad elit negara.

Selepas kejohanan di Manchester itu, siri Piala Dunia akan diadakan pula pada 19 November di Melbourne sebelum beralih ke Cali, Colombia pada Disember dan diakhiri di Beijing pada Januari 2010.

Dipetik daripada Berita Harian Online

PTB Catat Keuntungan Lebih RM12 Juta Enam Bulan Tahun 2009

KUALA TERENGGANU, 11 Okt (Bernama) -- PTB Unit Trust Berhad (PUTB), pengurus Tabung Amanah Saham Darul Iman (ASDI) yang berteraskan syariah, mencatat keuntungan RM12.72 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi PTB Datuk Muhatar Abdullah berkata jumlah keuntungan itu meningkat berganda berbanding keuntungan rendah yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lepas, iaitu sebanyak RM0.381 juta berikutan keadaan pasaran saham yang tidak memberangsangkan dalam tempoh itu.

"Kita akan membayar dividen kepada para pemegang saham dalam masa terdekat setelah pihak lembaga amanah PTB bermesyuarat bagi menentukan kadar dividen berkenaan. Insya-Allah, kita harap kita akan dapat membayar pulangan yang lebih baik berbanding jumlah yang dibayar pada masa lalu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di sini, pada Ahad.

Muhatar, bekas Setiausaha Kerajaan Terengganu, berkata PTB Unit Trust Berhad kini mempunyai 25,000 pemegang saham individu dan juga institusi dengan nilai saham RM56.51 juta.

Beliau berkata PUTB, syarikat milik penuh Permodalan Terengganu Berhad, mulai beroperasi dan melabur dalam bidang saham pada tahun 1994. Ia mempunyai modal berbayar RM2.50 juta dan sehingga 30 Sept 2009, dana pemegang sahamnya telah meningkat kepada RM8.60 juta.

Muhatar berkata PTB hari ini membayar zakat perniagaan sebanyak RM178,620.40 untuk tahun 2008 kepada Maidam.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Maidam Wan Harujan Sulaiman berkata kutipan zakat keseluruhan di Terengganu sehingga September tahun ini meningkat kepada RM49.67 juta, berbanding kutipan pada tempoh yang sama tahun lepas RM42.2 juta.

Beliau berkata peningkatan berlaku dalam zakat pendapatan, zakat wang simpanan dan zakat harta dengan purata kenaikan lebih 20 peratus.

Wan Harujan berkata bilangan pembayar zakat juga telah meningkat 14.7 peratus iaitu dari hanya 19,727 kepada 22,625 orang, bertambah 2,898 orang dari Januari hingga Sept 2009.

-- BERNAMA

Pencuri Prihatin Tidak Usik Tabung Derma Mangsa Gempa Bumi Padang

KUALA TERENGGANU, 10 Okt (Bernama) -- Sebuah pasar raya di sini kecurian wang tunai lebih RM25,000, namun wang kutipan derma untuk mangsa gempa bumi Padang, Indonesia, dalam sebuah tabung lutsinar yang diletakkan dalam bilik juruwang, tidak dilarikan.

Pengurus pasar raya berkenaan M Shanmuganathan berkata kehilangan wang tunai itu disedari semasa pasar raya itu hendak memulakan urusniaga pada pagi.

Katanya tabung berkenaan, diletakkan di pasar raya berkenaan sejak dua hari lepas untuk disalurkan kepada mangsa bencana gempa bumi di Padang, 30 Sept lalu.

"Kita tidak dapat pastikan berapa jumlah wang dalam tabung berkenaan kerana masih belum dikira, bagaimanapun, wang tunai dalam 14 kotak yang dikunci dalam bilik juruwang hilang dan bilik itu turut berselerak digeledah pencuri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Shanmuganathan berkata beliau sudah memastikan semua pintu pasar raya ditutup sebelum meninggalkan premis berkenaan pukul 10.30 malam.

Katanya kejadian itu dilaporkan kepada polis sejurus selepas kejadian disedari.

-- BERNAMA

Nelayan Raih Rezeki Berganda Hasil Tangkapan Meningkat

KUALA TERENGGANU, 10 Okt (Bernama) -- Nelayan pantai di Terengganu mendapat rezeki berganda berbanding biasa apabila hasil tangkapan meningkat dalam seminggu dua ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan, Abdullah @ Hamzah Jusoh berkata ia satu fenomena yang jarang berlaku sebelum ini.

"Nelayan-nelayan pantai kini memperolehi hasil antara 200 hingga 300 kilogram atau hasil jualan lebih RM1,000 sehari," katanya kepada Bernama Pada Sabtu.

Abdullah berkata sejak seminggu lalu, boleh dikatakan nelayan-nelayan pantai, terutamanya di kawasan Batu Rakit mendaratkan ikan kembung begitu banyak.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman, kemungkinan ia berlaku disebabkan peralihan musim biasa ke musim tengkujuh.

Abdullah berkata lambakan ikan kembung yang begitu banyak bagaimanapun menyebabkan harga ikan itu jatuh berbanding sebelum ini.

"Saya difahamkan, nelayan-nelayan menjual ikan sebanyak RM4 sekilogram kepada peraih manakala harga di pasar antara RM8 hingga RM10 sekilogram," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata nelayan-nelayan bersyukur kerana hasil jualan masih lagi dikategorikan sebagai lumayan dan dapat meringankan beban apabila tidak keluar pada musim tengkujuh nanti, yang di jangka bermula November ini hingga Mac tahun depan.

-- BERNAMA

UDA Mahu Bina Dua Terminal Bas Di Lembah Klang

KUALA TERENGGANU, 8 Okt (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA Holdings) telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk membina dua terminal bas utama di Lembah Klang bagi laluan Pantai Timur di Gombak dan laluan Utara di Jalan Ipoh.

Pengarah Urusannya Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, pihaknya telah membuat permohonan bertulis menyatakan hasrat untuk membina kedua-dua kompleks berkenaan yang dianggarkan menelan kos antara RM50 juta dan RM60 juta itu.

"Jadi secara bertulisnya UDA Holdings telah memohon dengan menyatakan hasrat di mana surat mengenainya telah dihantar pada September lepas," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya UDA Land (Timur) di sini, Khamis.

Jaafar berkata syarikat itu berhasrat untuk terlibat dari peringkat awal bagi memudahkan perancangan infrastruktur dibuat, termasuk penyediaan ruang niaga dan kemudahan lain yang diperlukan.

Katanya, pembinaan terminal berkenaan bukan hanya berfungsi setakat terminal bas semata-mata, malah turut ditekankan penyediaan peluang perniagaan untuk semua kaum.

"Mengambil contoh terminal di Puduraya, di situ kita wujudkan lebih kurang 104 ruang niaga atau vendor seperti tempat menjual akhbar dan sebagainya dan ini satu peluang perniagaan.

"Walaupun ia dilihat kecil-kecilan, tetapi ia boleh menghasilkan pendapatan lebih RM10,000 sebulan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata UDA Holdings juga ingin merebut peluang dalam bidang hartanah di Terengganu yang memperlihatkan kemajuan dan pembangunan yang semakin pesat dan mampan.

Katanya, syarikat itu pernah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri beberapa kali bagi mendapatkan tanah-tanah untuk dimajukan dengan ruang-ruang perniagaan terutama untuk kaum bumiputera di negeri itu.

"Yang menjadi masalah sedikit ialah tanah terutama di Kuala Terengganu agak terhad selain mempunyai nilai yang sangat tinggi," katanya.

-- BERNAMA

Melaka Tuan Rumah Kejohanan Terbesar Asia

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menjadi tuan rumah Kejohanan Lumba Basikal Gunung Asia Ke-15 dan Kejohanan Lumba Basikal Gunung Junior Asia pertama di Melaka pada 5 hingga 8 Nov ini. Dalam kenyataan Isnin, presidennya Abu Samah Abdul Wahab berkata ini merupakan kali kedua PKBM menjadi tuan rumah acara yang dianjurkan Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) itu.

Hutan Rekreasi Ayer Keroh, yang dahulunya dikenali sebagai Taman Botani Ayer Keroh, dikenal pasti sebagai venue bagi acara merentas desa, manakala acara menuruni bukit akan berlangsung di Bukit Beruang.

Kejohanan itu dijangka disertai pelumba dari 20 negara dan setakat ini, sembilan negara -- Jepun, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Iran dan Malaysia -- telah mengesahkan penyertaan.

"Kejohanan ini penting kerana ia bukan saja akan menentukan siapakah yang menjadi juara Asia, tetapi juga merupakan sebahagian daripada kejohanan peringkat benua di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang memberi peluang kepada penunggang mengumpul mata ranking," kata Abu Samah.

Beliau berkata kejohanan itu juga akan memberi pendedahan kepada penunggang basikal gunung tempatan berlumba dengan pelumba terbaik Asia.

"Melalui pendedahan yang secukupnya, kami boleh meningkatkan kesedaran tentang acara berbasikal gunung, yang belum banyak mendapat sokongan, walaupun ia mempunyai banyak peminat di seluruh negara," kata Abu Samah.

Kejohanan itu akan menjadi medan latihan bagi skuad kebangsaan yang akan mewakili Malaysia dalam kejohanan berbasikal gunung pada Sukan SEA Laos Disember ini.

"Kami harap para pelumba kebangsaan akan mempamerkan prestasi membanggakan pada kejohanan ini. Kami ada juara Asia dan pelumba trek seperti Azizulhasni Awang dan Rizal Tisin, yang telah memenangi pingat pada Kejohanan Dunia. Oleh itu, bukan sesuatu yang mustahil bagi penunggang basikal gunung mencapai kejayaan serupa," katanya.

-- BERNAMA