MENGIKUT sejarah, Terengganu dipercayai menjadi antara negeri terawal di Malaysia menerima kemasukan Islam pada sekitar kurun ke-14. Ini diperkukuhkan dengan penemuan Batu Bersurat yang tercatat tarikh Hijrah 702. Batu bersurat ini menjadi saksi kewujudan Islam di negeri ini.
Tidak lama kemudian, disebut pula penemuan kupang emas yang tertulis beberapa kalimah dalam huruf jawi dengan tarikh Hijrah 1120 terukir pada bahagian belakang duit itu. Pada bahagian depan kupang emas yang dikeluarkan sempena pertabalan Sultan Zainal Abidin Shah itu pula, tercatat nama baginda sebagai Sultan Terengganu yang pertama.
Kalimah itu jelas membuktikan kehadiran Sultan Zainal Abidin Shah sebagai Sultan yang membuka negeri di Tanjung Baru, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Dengan penemuan itu, pengkaji mencapai ketetapan bahawa Kesultanan Terengganu bermula dengan Sultan Zainal Abidin Shah, selewat-lewatnya pada 1708 Masehi dan memerintah Terengganu dari 1708 hingga 1733.
Sedar atau tidak, kegemilangan kesultanan Terengganu sudah memasuki usia tiga abad. Ini bukan saja memberi makna tersendiri buat rakyat Terengganu, malah mencatat sejarah manis kerana waris kesultanan negeri ini, Tuanku Mizan Zainal Abidin dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-13, sekali gus menjadi Raja Melayu termuda memegang tampuk pemerintahan negara pada usia 41 tahun.
Bagi berkongsi kegemilangan kesultanan Terengganu dengan rakyat tempatan, Jabatan Muzium Negeri menganjurkan Pameran Tiga Abad Kesultanan Terengganu bertujuan mengetengahkan kronologi sistem pemerintahan beraja negeri di Kompleks Muzium Negeri, Bukit Losong, Kuala Terengganu hingga akhir bulan ini.
Kronologi pameran bermula dengan pelantikan dan pertabalan Tun Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu pertama di Kampung Tanjung Baru, Hulu Terengganu. Ini diikuti siri pemerintahan silih berganti disulami pelbagai peristiwa penting sepanjang pemerintahan sultan.
Pengisian pameran juga lebih bertumpu kepada artifak diraja termasuk semua hadiah yang diterima Sultan Terengganu daripada Sultan atau pemerintah negeri dan negara luar, replika serta gambar dan ilustrasi yang setiap satunya mempunyai kaitan dengan sejarah kesultanan Melayu negeri.
Pengarah Muzium negeri, Mohd Yusof Abdullah, berkata Pameran Tiga Abad Kesultanan Terengganu diharap dapat menarik minat ramai pelawat dan pengkaji bagi melihat lebih dekat koleksi barangan milik Sultan Terengganu yang amat sukar dilihat masyarakat sebelum ini.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa lima bulan untuk mengumpul semua koleksi bahan pameran yang diperoleh daripada pelbagai pihak, termasuk Jabatan Muzium Negara; koleksi perseorangan dan tidak terkecuali koleksi istana sendiri untuk dipaparkan.
Katanya, simbolik pameran sempena sambutan tiga abad kesultanan Melayu di Terengganu bukan saja memaparkan kepentingan dan peranan institusi diraja Terengganu sebagai teras kepada kedaulatan, kesejahteraan, kemakmuran dan pembangunan negeri, malah merapatkan jurang antara masyarakat kebanyakan dengan golongan Istana.
"Walaupun pengunjung tidak dapat bersua muka secara langsung dengan waris kesultanan Terengganu ini, bahan pameran yang diketengahkan mampu meningkatkan pengetahuan dan mendekatkan masyarakat dengan institusi diraja. Selain itu, ia juga dapat memupuk semangat dan kesedaran ramai terutama generasi muda terhadap taat setia kepada raja dan negara.
"Pameran ini juga diharap dapat memartabatkan kedudukan institusi diraja yang sudah bertapak di negeri ini sejak lebih 300 tahun lalu. Paling tidak, kita harap masyarakat khususnya generasi zaman baru dapat mengenang kembali semangat patriotik dan perjuangan raja-raja Melayu mempertahankan kedaulatan negeri dan ketuanan Melayu di Terengganu," katanya.
Ia juga diharap dapat memberi inspirasi kepada generasi muda dalam menyemai semangat kecintaan terhadap susur galur kesultanan negara yang masih utuh dipelihara dan memayungi rakyat pelbagai lapisan di Malaysia.
Pameran ini menonjolkan beberapa segmen merangkumi semua perkara yang berlaku membabitkan kesultanan Melayu di Terengganu bermula seawal tahun 1708 hingga 2008.
Mengunjungi pameran ini, pengunjung boleh menyelami pengenalan sejarah awal Terengganu, sejarah dan budaya masyarakat semenjak zaman pra sejarah hingga ke zaman logam; riwayat hidup dan aktiviti Permaisuri Terengganu serta pelantikan Pemangku Raja dan aktiviti dilakukan baginda.
Tidak sekadar fakta dan gambar memaparkan peristiwa sejarah serta perkembangan Kesultanan Melayu Terengganu, pameran ini juga meletakkan alat kebesaran diraja seperti keris panjang dan nobat diraja selain mahkota bertanjak yang digunakan pada majlis pertabalan Sultan Terengganu untuk tontonan umum.
Turut diselitkan, pameran bintang dan darjat kebesaran, karya dan khazanah istana dan tentunya paling menarik upacara perkahwinan dan pertabalan Tuanku Mizan sebagai Sultan Terengganu yang penuh adat istiadat diraja. Malah, pengunjung juga boleh melihat transformasi wajah Tuanku Mizan sedari kecil hinggalah menginjak dewasa.
Justeru, jangan berlengah lagi. Sempena cuti sekolah ini, bawalah anak-anak anda mengunjungi Pameran Tiga Abad Kesultanan Melayu Terengganu ini sebelum ia berakhir pada 31 Disember. Bukan mudah untuk mendapat peluang mengenali dengan lebih mendalam kehidupan dan susur galur Kesultanan Melayu negeri ini.
Dipetik daripada Berita Harian Online