Halaman

22 October 2009

RM6 Juta Elak Banjir Berulang

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Kerajaan negeri memperuntukkan RM6 juta untuk kerja pembinaan sistem perparitan sementara di kawasan perumahan Pusu Tiga dan Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu yang dilanda banjir tahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan telah melantik kontraktor untuk menjalankan kerja membina sistem perparitan sementara bagi mengelak banjir dan masalah air bertakung di dua kawasan berkenaan secepat mungkin.


Penduduk dalam kawasan DUN Tepoh menyambut ketibaan Dato' Ahmad.

“Saya percaya dengan altenatif yang diambil ini dapat mengatasi sebahagian masalah penduduk di kawasan terbabit,” katanya di Majlis Jamuan Hari Raya Dewan Undangan Negeri (DUN ) Tepoh dan penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya, di Dewan Sivik Padang Nenas, Kuala Nerus, hari ini ini (19 Oktober).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh.


YB Ramli Noh membantu Menteri Besar memasak nasi minyak di majlis jamuan Hari Raya DUN Tepoh dan penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya di Dewan Sivik Padang Nenas, Kuala Nerus. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Beliau seterusnya berharap kerja-kerja pembinaan parit dan ban di kawasan terbabit berjalan lancar serta disiapkan secepat mungkin bagi mengelak banjir berulang.

Sementara itu, Kampung Padang Hangus telah diumumkan sebagai johan dalam pertandingan pelita raya DUN Tepoh yang membawa hadiah wang tunai RM700, manakala tempat kedua Kampung Raja Tepoh (RM500) dan ketiga dimenangi Kampung Pagar Ubi (RM300).


Wakil penduduk Kampung Padang Hangus menerima replika cek daripada Menteri Besar selepas diumumkan pemenang Pertandingan Pelita Raya.

Seramai 188 peserta dari lima kampung yang menyertai pertandingan seperti Kampung Tokeng dan Kampung Baru Tepoh di mana pertandingan ini diadakan untuk mengembalikan tradisi memasang pelita setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Menteri Besar kemudiannya menyarankan aktiviti pertandingan pelita raya ini turut diadakan di kawasan lain yang memperlihatkan semangat bergotong royong dan kerjasama kalangan penduduk kampung yang terbabit di samping menjadikan suasana kampung ceria dan meriah sepanjang bulan Ramadan.

UKOM