Dato Ahmad melihat kerusi roda yang akan digunakan pihak Tabung Haji untuk jemaah yang uzur. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Seramai 1,775 bakal jemaah Haji dari Terengganu, Pahang dan Kelantan dijangka berlepas ke Mekah menaiki penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menerusi lima siri penerbangan bermula petang esok (22 Oktober).
Kumpulan pertama 355 jemaah dijadualkan berlepas 7.15 malam (waktu Malaysia) dan diminta melapor diri pada jam 3.15 petang atau selewat-lewatnya dua jam sebelum berlepas.
Penerbangan kedua pula dijadualkan berlepas pada 23 Oktober (Jumaat), jam 7.50 malam dan waktu melaporkan diri empat jam sebelum itu.
Manakala penerbangan ketiga pula pada keesokan harinya, Sabtu (24 Oktober) jam 7.15 malam dan jemaah perlu melaporkan diri pada jam 3.15 petang hari yang sama.
Menteri Besar bersama pihak Tabung Haji ketika membuat kenyataan akhbar.
Penerbangan keempat pada 3 November (Selasa) jam 11.05 pagi dan waktu melapor diri pada 7.05 pagi.
Sementara penerbangan terakhir dijadualkan pada 4 November (Rabu) pada jam 11.15 pagi dan melaporkan diri pada jam 7.15 pagi.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, Lembaga Tabung Haji mengesahkan lima penerbangan dijangka beroperasi di LTSM menjelang musim Haji 2009 (1430H).
Selain LTSM, keseluruhan 4,101 jemaah haji dari zon timur turut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sementara jumlah bakal Haji dari seluruh Terengganu sehingga 13 Oktober melibatkan 791 orang dari Kuala Terengganu, 219 orang dari Kemaman, Dungun (224 orang), Hulu Terengganu (88 orang), Setiu (48 orang) dan Dungun seramai 240 orang.
Manakala 1,461 jumlah bakal jemaah Haji yang disahkan dapat berlepas menunaikan rukun Islam ke itu, diikuti dari Kelantan 2,225 orang dan Pahang 259 orang.
Pada masa yang sama, pihak Malaysian Airport Sdn Bhd LTSM mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penyakit berjangkit di kalangan jemaah Haji.
Untuk itu, pihak Malaysia Airport Sdn Bhd akan memastikan orang ramai yang datang ke lapangan terbang tidak bertemu dengan jemaah Haji yang sudah menjalani pemeriksaan di dewan timbang dan berlepas.
“Saya berharap semua jemaah haji dapat menunaikan Haji dengan lancar dan selamat, selain perlu menitikberatkan penjagaan kesihatan sepanjang menjalani ibadat di tanah suci nanti,” kata Menteri Besar.
UKOM