Halaman

24 October 2009

Menteri Besar ‘pulang’ ke USM

Oleh: Kamarudin Mat Akib, Zulkipli bin CW. Putera dan Harun Hassan.



Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said bersama isteri menerbitkan semula kenangan silam ketika belajar di USM dengan beberapa kenalan sepelajaran. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Selepas 26 tahun meninggalkan kampus Universiti Sains Malaysia (USM), Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ‘pulang’ semula ke kampus tersebut bagi menghadiri Program Alumni USM malam ini (24 Oktober).




Wajah Dato’ Ahmad Said jelas keriangan apabila beliau berkesempatan bertemu semula rakan-rakan lama yang turut hadir pada majlis berkenaan yang diadakan khusus bagi mengeratkan silaturahim di kalangan bekas pelajar USM.


Pelawak terkenal Zaibo juga adalah bekas penuntut USM.

Malam sebelumnya, Dato’ Ahmad menghadiri majlis ramah mesra mahasiswa/i dan pensyarah USM dari Terengganu dengan Menteri Besar di kampus berkenaan di mana beliau banyak mengimbau sejarahnya ketika menuntut di USM.


Bertanya khabar kenalan lama ketika sama-sama menuntut di USM.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud turut hadir pada kedua-dua majlis berkenaan.

Sewaktu menuntut di USM, Dato’ Ahmad mengambil bidang Sains Politik dan turut memegang pelbagai jawatan penting dalam persatuan anak Terengganu dan perwakilan pelajar USM.

UKOM

Utara: USM kumpul bekas penuntut sejak 1969
dipetik dari Berita Harian Online
GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) sedang menghimpunkan lebih 100,000 alumninya bagi memeriahkan lagi program Balik Kampus Alumni 2009 yang akan diadakan di kampus induknya pada 23 hingga 25 Oktober ini.

Program sempena sambutan 40 tahun USM itu bakal diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang juga alumni universiti berkenaan.

Pengurus Pejabat Perhubungan Alumni USM, Sharifah Munirah Syed Mohamed, berkata kedua-duanya sudah menyatakan komitmen mereka bagi bersama-sama memeriahkan program berkenaan.

"Usaha menghimpunkan semua alumni USM sejak 1969 adalah bagi mengukuhkan hubungan alumni dengan universiti kerana pembangunan sesebuah institusi ilmu turut disumbangkan oleh aspek hubungan serta sumbangan alumni.

"Masih banyak yang boleh dilakukan oleh seseorang alumni dalam membina imej dan keupayaan intelek sesebuah universiti. Inilah kekuatan institusi ternama seperti Oxford University dan University Of Cambridge.

"Selain itu, Balik Kampus akan menjadi platform pertemuan dan pembentukan jaringan selepas sekian lama terpisah. Program ini juga membolehkan pelajar sedia ada mengetahui rahsia alumni yang berjaya dalam bidang diceburi,” katanya.

Sharifah Munirah berkata, antara program bakal diadakan adalah pertandingan golf alumni, Malam Menyambung Kasih, sesi mencari harta karun 'Suka Cari', Majlis Makan Malam Curahan Kasih dan Projek Kelestarian Kampus.

"Menerusi Projek Kelestarian Kampus, alumni USM akan menanam lebih 100 pokok pelbagai spesies di kampus sebagai langkah mewujudkan persekitaran sihat buat warganya," katanya.

Beliau berkata, alumni USM yang inginkan maklumat lanjut berhubung program Balik Kampus boleh menghubungi Pejabat Pemajuan dan Perhubungan Alumni USM di talian 04-6534791/4792/4796.

"Mereka juga boleh menghubungi kami melalui e-mel alo@notes.usm.my atau laman web http://alo.usm.my," katanya.