Oleh Noor Aznida Alias
bhkt@bharian.com.my
ANDAI mahu dicari kelebihan Terengganu sebagai destinasi pelancongan popular, faktor keindahan pulau peranginan di negeri ini harus menduduki tangga pertama.
Terengganu bertuah kerana memiliki pulau peranginan eksotik yang tidak putus-putus dikunjungi pelancong. Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Lang Tengah dan Pulau Kapas misalnya, tidak pernah pudar tarikannya kepada insan pencinta.
Selain menjadi lokasi romantik pasangan berkasih, Pulau Perhentian misalnya, dikagumi pencinta alam dek keindahan landskap, air membiru dan kehidupan dasar laut yang penuh warna-warni.
Baru-baru ini, penulis berpeluang memijak pasir putih di Pulau Perhentian apabila diundang penganjur pertandingan fotografi, Cabaran Dasar Laut Pulau Perhentian mendekati pulau peranginan ini serta menyaksikan gelagat peserta bersaing merakamkan foto tercantik.
Pertandingan Cabaran Dasar Laut Pulau Perhentian yang dianjurkan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPTN) dan Coral Malaysia berlangsung meriah dengan kategori tambahan diperkenalkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai pencinta alam mengambil bahagian.
LAUT membiru di perairan Pulau Perhentian bagai terapi jiwa kepada pengunjung.
Nyata program ini bukan sekadar membongkar rahsia keindahan Pulau Perhentian yang mendapat jolokan Pulau Zamrud, malah setiap gambar yang dirakamkan punya 1,001 cerita.
Ikuti catatan ini...
Jumaat
10.30 pagi: Semua wakil media dan peserta Pertandingan Cabaran Dasar Laut Pulau Perhentian berkumpul di jeti Kuala Besut untuk menaiki bot ke Perhentian Island Resort yang menjadi lokasi penginapan.
Masing-masing tidak sabar menjejakkan kaki di pasir putih di pulau istimewa ini. Kami bergilir-gilir menaiki bot kerana jumlah peserta ramai dan bilangan bot yang disediakan terhad.
11.30 pagi : Selepas hampir sejam menaiki bot, kami tiba di Perhentian Island Resort. Kami diberi taklimat ringkas dan diminta memperkenalkan diri masing-masing. Kami juga diperkenalkan kepada krew Coral Malaysia yang menjadi buddy kepada jurugambar dasar laut.
Jelas dilihat, peserta mula teruja dan tidak sabar-sabar meneroka keindahan dasar laut yang kaya dengan pelbagai spesies hidupan marin dan terumbu karang.
12.30 tengah hari : Perut mula berbunyi minta diisi. Kami menikmati makan tengah hari yang sungguh menyelerakan berteman angin dan pemandangan pantai memukau.
Pelbagai juadah ‘panas-panas’ menjadikan kami bertambah selera. Selesai makan, kami menuju ke bilik masing-masing untuk bersiap-siap mengikuti acara seterusnya.
2.30 petang : Kami berkumpul dan mengikuti majlis perasmian Cabaran Dasar Laut Pulau Perhentian oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib.
3 petang : Semua penyelam skuba dan jurugambar dasar laut dibawa ke lokasi ditetapkan untuk merakam gambar manakala wakil media dan peserta fotografi darat dibawa ke pantai peranginan popular, Long Beach.
Mengikut maklumat pemandu pelancong, Long Beach popular di kalangan pelancong asing yang suka berbaring di bawah terik mentari.
Kali pertama tiba di Long Beach, penulis terpukau dengan kejernihan air laut membiru sehingga nampak jelas dasarnya. Geram melihat gelagat ikan jinak berenang-renang seolah tidak menghiraukan manusia.
Tanpa membuang masa, penulis mengambil kesempatan berendam dalam laut bersama rakan-rakan yang cukup sporting. Ketika ini, peserta pertandingan berpecah bagi mencari sudut terbaik merakamkan gambar.
Selesai mandi, kami bersantai di Bubu Resort sambil menikmati keenakan kuih-muih tradisional dan jus tembikai yang sejuknya meresap hingga kepala.
Kami juga dibawa mengelilingi Pulau Perhentian Kecil bersebelahan Pulau Perhentian Besar. Pemandangan sungguh mempesona dengan deretan calet dan panorama pulau-pulau kecil.
6.30 petang : Badan mula letih, kami pulang ke bilik penginapan dan menikmati makan malam.
8.30 malam : Peserta mengikuti sesi dialog alam sekitar yang dikendalikan penganjur. Sesi ini pengerusikan Pengurus Besar MTPTN, Ahmad Fathil Ghani. Beberapa jemputan seperti Pengarah Jabatan Taman Laut Terengganu, Bahrina Bahrin dan Penolong Pegawai Daerah Besut, Saidi Salleh serta wakil dari Fakulti Sains Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) juga hadir.
Sesi berlangsung hangat kerana banyak soalan terutama membabitkan isu pemuliharaan penyu dan alam sekitar dibangkitkan peserta. Pelbagai idea berhubung usaha meningkatkan mutu pelancongan di Terengganu juga dilontarkan pada sesi ini
11 malam : Sebelum pulang ke bilik penginapan, penulis dan beberapa rakan ‘mengambil angin’ di tepi laut sambil menghirup udara malam. Damainya dirasakan...
Sabtu
9 pagi : Semua wakil media dan jurugambar darat dibawa ke Kampung Perhentian Kecil untuk meninjau kegiatan penduduk serta merakam foto aksi penduduk.
Terlintas pula di fikiran, bertuahnya hidup mereka. Biarpun jauh dari pembangunan kota, namun suasananya sungguh tenang dan bebas daripada hiruk pikuk. Dilihat, kanak-kanak riang bermain di tepi laut sambil menanti ayah pulang dari menangkap ikan.
10 pagi : Kami menuju ke Teluk Aur untuk melakukan aktiviti snorkeling. Perasaan penulis bercampur baur antara takut dan teruja kerana pertama kali mencuba aktiviti ini, apatah lagi penulis tidak pandai berenang.
Bagaimanapun, selepas ditenangkan rakan, perasaan takut beransur hilang malah bertukar seronok apabila anak ikan berkerumun dan berebut roti yang dipegang penulis di tangan.
1 petang : Selepas hampir tiga jam berendam dalam air, kami bertolak balik ke resort untuk menikmati makan tengah hari.
2.30 petang : Selepas makan dan berehat, kami berkumpul di pusat selam Skuba East Marine untuk mencuba aktiviti skuba. Aktiviti ini biarpun agak sukar dilakukan, namun berbaloi kerana dapat melihat keindahan dasar laut di depan mata.
6.30 petang : Kami pulang ke bilik penginapan dan bersiap-siap untuk menikmati makan malam.
8 malam : Tidak lengkap bermalam di pulau tanpa sesi barbeku. Selepas seharian penat bermain air, kami menikmati makan malam menyelerakan di tepi pantai dengan ditemani desiran ombak dan angin malam.
8.30 malam : Acara penyampaian hadiah bagi pertandingan Cabaran Dasar Laut Pulau Perhentian dan Melukis Di Dasar Laut diadakan. Selesai majlis, kami mengambil kesempatan berborak, bertukar emel dan melihat koleksi gambar dirakamkan.
Jurugambar pula menghabiskan masa hingga larut malam, berdiskusi dan meneliti semula gambar yang dirakam.
11.30 malam : Mata mula mengantuk. Kami pulang ke bilik penginapan dan 1,001 kenangan indah di Pulau Perhentian.
Info
# Terletak 21 kilometer dari pinggir pantai Terengganu.
# Terbahagi kepada Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil.
# Dilitupi hutan bersih, pepohon kelapa, pantai yang putih dengan pasir yang halus serta dikelilingi air laut yang biru dan jernih.
# Menjadi tempat persinggahan nelayan, burung hijrah dan pelancong yang bercuti di pulau peranginan ini.
# Terletak di pinggiran Taman Laut Pulau Redang.
# Ideal untuk aktiviti selam skuba, snorkling, luncur papan air, kenu dan memancing laut dalam.
# Lawatan bot ke pulau kecil boleh diatur dan bot boleh disewa jika pelancong mahu meneroka teluk terlindung.
# Pulau Perhentian Kecil lebih sesuai untuk aktiviti lasak.
# Pulau Perhentian Besar lebih membangun dan menawarkan kemudahan yang selesa dan sempurna.
# Kemudahan calet, asrama dan tapak perkhemahan boleh didapati di pulau berkembar ini.
# Jika mahu melihat pemandangan matahari terbenam paling indah, pergi ke Coral View Island Resort.
Bagaimana ke sana?
Jalan Darat
Dari Kuala Terengganu, naik teksi atau bas ke pelabuhan Kuala Besut. Pelabuhan ini terletak kira-kira sejam perjalanan di utara bandar Kuala Terengganu. Jeti untuk ke Pulau Perhentian terletak di sini.
Jalan Laut
Di Kompleks Perikanan, naiki bot yang menuju ke Pulau Perhentian. Perjalanan bot ke pulau ini memakan masa selama sejam.
Hubungi:
Pejabat Pelancongan Terengganu di talian 09-6221433/1893
Dipetik daripada Berita Harian Online