Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menegur kanak-kanak ketika hadir pada rumah terbuka DUN Manir di Kampung Pulau Bahagia, Manir. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir harus bersyukur dengan pembangunan yang disediakan kerajaan dan membalasnya semula dengan memastikan Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak.
Menteri Besar dan isteri bersalaman dengan penduduk DUN Manir.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata pelbagai kemudahan dan pembangunan sudah dilaksanakan pemimpin BN di kawasan itu walaupun majoriti rakyat di DUN berkenaan memilih PAS pada PRU yang lalu.
“Walaupun kawasan ini dimenangi oleh Pas, kita tetap menjalankan pelbagai pembangunan dan tidak lama lagi kita akan bangunkan 500 unit rumah kos rendah dengan dilengkapi padang bola dan taman permainan di kawasan Batu Hampar (Manir).
“Malah, hari ini kita datang merayakan sambutan Aidilfitri, lebih baik pada pilihan raya ke-13 nanti kita merayakan pula kemenangan BN,” katanya ketika menghadiri jamuan rumah terbuka DUN Manir di Pejabat Penyelaras DUN Manir, di Pulau Bahagia, semalam (19 Oktober).
Hadir sama, Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu serta pemimpin setempat.
Kira-kira 5,000 penduduk kawasan Manir membanjiri rumah terbuka bermula jam 8 malam dan berakhir tiga jam kemudian yang menyediakan pelbagai menu istimewa seperti nasi dagang, sate dan ketupat.
Dalam pada itu, Menteri Besar berkata pemimpin setempat seperti Dato’ Tengku Putera dan Pegawai Pembangunan DUN (Manir) Encik Yusof Awang Hitam melaksanakan pelbagai pembangunan dan kebajikan demi kepentingan ramai.
Dato’ Ahmad berkata, penduduk Manir juga mendapat kemudahan yang sama sebagaimana dilaksanakan kerajaan di seluruh negeri seperti dana khas, bantuan Hari Raya, selain pengagihan e-Book yang kini masuk peringkat kedua serta melibatkan murid Tahun Empat pada tahun-tahun akan datang.
Katanya, dengan kemudahan dan pembangunan yang disediakan kerajaan hari ini, sepatutnya rakyat mampu menilai dan memilih kerajaan yang mampu berkhidmat dan membela nasib mereka.
Cenderamata kenangan buat Menteri Besar tersayang daripada penduduk DUN Manir.
UKOM