Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menyampaikan amanat kepada kakitangan Kerajaan Negeri Terengganu ketika sambutan Dua Tahun Pemerintahan beliau di Dewan Besar Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - MASALAH sungai cetek yang sering berlaku di negeri ini akan dapat diatasi segera tanpa mengambil masa yang lama apabila kerajaan negeri memutuskan untuk memiliki kapal korek sendiri, tahun depan.
Detik bersejarah genapnya dua tahun pemerintahan Dato' Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu.
“Memandangkan masalah ini tidak pernah selesai dan kerajaan terpaksa belanja berjuta ringgit setiap tahun, kita bersetuju membeli kapal korek yang akan dimasukkan dalam bajet tahun depan,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan genap Dua Tahun Dato’ Ahmad sebagai Menteri Besar, di Wisma Darul Iman.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kakitangan perkhidmatan awam negeri.
Kecekalan dan kesungguhan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menerajui Kerajaan Negeri Terengganu terbukti apabila Buku 2 Tahun Pemerintahan beliau dilancarkan secara rasminya.
Menurut Menteri Besar, terdapat 14 muara sungai di seluruh negeri dan kerajaan terpaksa membelanjakan RM5 juta setahun bagi mendalamkan muara sungai yang cetek akibat ditimbus pasir yang menyukarkan laluan keluar masuk bot nelayan dan bot pelancong.
Dato’ Ahmad berkata, anggaran harga kapal korek adalah sekitar RM40 juta hingga RM50 juta dan memberi keuntungan pada jangka panjang di samping boleh bergerak ke setiap lokasi tanpa menunggu masa yang lama.
Kepimpinan Dato' Ahmad begitu disenangi penjawat awam dan kakitangan kerajaan negeri.
Katanya, kerja-kerja mendalamkan muara ini juga diperlukan setiap masa kerana kadang-kadang tidak sampai setahun muara sungai boleh tertimbus pasir semula.
Lagi pun, katanya, pasir yang diangkut keluar dari kerja-kerja mendalamkan muara ini boleh digunakan untuk ditambak di kawasan pembangunan di negeri ini.
Sementara itu kerajaan negeri memberi tempoh enam bulan tambahan kepada Jabatan Mineral dan Geosains untuk mengkaji lebih terperinci jumlah bijih besi sebenar yang terdapat di Bukit Besi, Dungun.
Kakitangan kerajaan negeri memenuhi Dewan Besar Wisma Darul Iman bersama-sama meraikan sambutan 2 Tahun Pemerintahan Menteri Besar.
Sebelum ini, katanya kontraktor pernah memberitahu jumlah bijih besi mencecah 50 juta metrik tan, namun kajian terperinci diperlukan agar kerajaan tidak mengalami kerugian pada masa depan.
Katanya, di Kemaman juga terdapat bijih besi namun jumlahnya agak sedikit iaitu 28 juta metrik tan sahaja serta kualitinya tidak begitu bagus.
Menteri Besar, SUK dan YB Ahmad Razif melihat isi kandungan buku 2 Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang diterbitkan oleh Unit Komunikasi Negeri.
TEGANUKITA