Halaman

02 February 2011

SISTEM PARKING AUTOMATIK ‘ROTARY TYPE’ DI BANDAR KUALA TERENGGANU

Oleh: Ruslan Rahman

Pengalaman baru bagi pengguna kenderaan di dalam bandar Kuala Terengganu apabilaSistem Parkir Automatik “Rotary Type” diperkenalkan mulai hari ini (2 Februari), di Jalan Batas Baru, Kuala Terengganu. Ia adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan terbesar di Asia Tenggara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said akan merasmikannya kira-kira jam 300 petang ini.
Teganukita difahamkan cadangan mereka bentuk membina sistem parkir automatic “rotary type” di Jalan Batas Baru, Kuala Terengganu melibatkan 24 set sistem parkir untuk kereta biasa.Satu set boleh memuatkan 10 buah kereta (saloon car). Jumlah parkir adalah sebanyak 240 buah kereta.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu baru lalu, pihak Pas melalui ADUN Batu Buruk mempertikaikan langkah kerajaan menjalankan parking itu, disifatkan tidak masuk akal dengan alasan Kerajaan Pulau Pinang menolak sistem itu dengan menyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri telah bercakap dengannya (ADUN berkenaan).

Bagaimanapun Menteri Besar Terengganu menyatakan kepada Dewan, bahawa berhubungan sendiri dengan Ketua Menteri Pulau Pinang berkaitan perkara itu dan diberitahu bahawa Ketua Menteri itu menafikan pernah dihubungi oleh ADUN Pas Batu Buruk itu mengenai perkara itu.

Dalam hal ini jelas Pas berbohong dan cuba memutarbelitkan keadaan sebenar sehinggalah Ketua Menteri Pulau Pinang membuat penjelasan bahawa dia tidak pernah dihubungi oleh wakil rakyat Pas itu.


Inilah pemandangan Parkir Automatik di Jalan Batas Baru

Dalam pada itu, menurut pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu:

Kelebihan-kelebihan menggunakan sistem parkir automatic jenis “rotary” adalah :-
• Menjimatkan penggunaan tanah
Dapat memuatkan 10 buah kereta dengan menggunakan luas dua buah kereta.


• Menjimatkan masa
Pemilik hanya perlu meletakkan kenderaan di ruang kosong tanpa perlu berpusing berkali-kali seperti di dalam parkir bertingkat biasa.


• Aspek keselamatan
Pemandu khusunya wanita tidak perlu menaiki lif atau tangga atau berjalan jauh untuk keluar seperti di dalam bangunan parkir bertingkat biasa.


• Memudahkan
Pemandu hanya perlu meletakkan kenderaan di ruang yang tetap dan sistem akan memutarkan ruang parkir yang kosong untuk kenderaan seterusnya.

Menurut Datuk Bandar, Dato’ Azlan Dagang sistem itu berkonsepkan “Merry Go-Round” idea Menteri Besar menggunakan teknologi Korea.
Katanya,pelanggan akan dibekalkan dengan e-kad untuk menyimpan dan menuntut balik kereta yang disimpan.









TEGANUKITA

Kakitangan awam disaran layari lawan web positif

Oleh: Suriati Ali



Kakitangan kerajaan disaran supaya melayari lawan web atau portal kerajaan yang memaparkan pelbagai perkara positif, bukannya laman sosial seperti facebook dan twitter.

Setiausaha Kerajaan Negeri , Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, portal milik Jabatan Perdana Menteri (JPM) Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jabatan Perbendaharaan menyalurkan pelbagai maklumat berguna berkaitan tugas harian.

“Melalui portal itu dan pelbagai laman web agensi kerajaan lain, setiap kakitangan boleh menjadikannya sebagai rujukan dan panduan. Laman facebook dan twitter tidak digalakkan untuk dilayari kerana dibimbangi menganggu tugas hakiki di pejabat,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi ini . Seramai 15 kakitangan cemerlang bagi bulan Oktober, November dan Disember dipilih menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM500.
Sempena perhimpunan itu, Dato’ Haji Mazlan turut menyambung 10 prinsip S lagi daripada bilangan 58 S.

Prinsip seterusnya ialah Sahsiah yang bermaksud berperibadi unggul; Sahut ( perlu menyahut cabaran kerja dengan baik dan cuba laksanakan amanah dengan sempurna); Sain (tandatangan dan ikrar kerja); Saing (sebagai sahabat atau kawan, kita jangan mementingkan diri sendiri) dan Saintifik (kaedah kerja).



“Manakala lima lagi adalah Sakhir bermaksud murah hati dan dermawan); Saksama (sama rata dan perlu bertindak secara adil); Sama rata (pelanggan dalaman dan luar dilayan sama rata); Sanjung (menghargai perkhidmatan yang dilaksanakan) dan terakhir Santun, setiap kakitangan perlu berbudi bahasa.

“ Dua puluh prinsip S termasuk yang telah diberitahu di perhimpunan sebelum ini wajar dijadikan panduan dan selebihnya akan diberitahu ketika perhimpunan akan datang,” katanya.


TEGANUKITA

Lebih 2000 pengunjung hadir ke Majlis Persembahan Sempena Tahun Baru Cina

Oleh : Raja Faisal Raja Haron & Mohamad Shahrir


Dato' Seri Ahmad bersama pengunjung di Majlis Persembahan sempena Tahun Baru Cina.

Lebih 2000 pengunjung terutama masyarakat Cina dari negeri Terengganu gembira dengan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said bersama isteri To' Puan Seri Norliza Mahmud bagi memeriahkan majlis Persembahan Sempena Tahun Baru Cina yang di adakan di Chinatown Kuala Terengganu, semalam (1 februari ).

Turut hadir ke majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Toh Chin Yaw.

Majlis diadakan bersempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang Khamis ini (3 Februari), pelbagai persembahan yang diadakan seperti petunjukan Pertukaran Topeng Muka, persembahan Akrobatik dan Pertandingan Menghias Rumah yang turut disertai oleh kaum Melayu (empat buah) dan India (dua buah) di sepanjang jalan di Chinatown.

Sepanjang program itu juga Menteri Besar berkesempatan melawat setiap rumah yang menyertai pertandingan Menghias Rumah dan memberi ampau kepada setiap peserta dan kanak-kanak di sepanjang lawatan tersebut.



Ketua Beliawanis wanita MCA’s, Monna Ong amat gembira dengan kehadiran pemimpin utama negeri ke majlis tersebut dan merakamkan terima kasih kepada kerajaan Negeri kerana menjadikan Chinatown sebagai sebuah pusat perlancongan ’heritage’ dengan pembinaan Pulau Warisan.

”Saya amat gembira dengan kehadiran Menteri Besar bagi Memeriahkan lagi Majlis Persembahan Sempena Tahun Baru Cina dan ramai kaum Melayu yang turut terlibat bagi menjayakan program ini” katanya.



Program yang amat meriah ini yang di sertai oleh pelbagai kaum menunjukkan sikap rakyat Terengganu yang mengamalkan konsep Satu Malaysia bagi mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian negeri.

TEGANUKITA


Dato’ Seri Ahmad Calon Terbaik

Pengarah Jualan Hotel Tanjong Vista,
Puan Suhaibah Harun



Oleh: Mohamad Shahrir dan Raja Faisal

Pelantikan Dato’ Seri Ahmad Said menerajui kepimpinan UMNO Terengganu dilihat suatu perkembangan yang bagus dalam memastikan Barisan Nasional terus mempertahankan kemenangan di Terengganu dalam pilihan raya akan datang.

Menurut Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Haji Azmi Razik, pelantikan ini dinantikan oleh semua rakyat Terengganu terutamanya dalam memastikan Barisan Nasional menerajui kepimpinan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 akan datang.

Haji Azmi menegaskan pelantikan Menteri Besar Terengganu menunjukkan kepercayaan tinggi daripada Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden UMNO, Dato’ Seri Ahmad Najib Tun Razak kepada Dato' Seri Ahmad yang menggantikan Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein.

“ Menteri Besar merupakan tonggak utama pentadbiran sesebuah negeri, kemampuan YAB Dato’ Seri Ahmad Said terbukti apabila Terengganu menjadi penanda (benchmark) dalam bidang pendidikan kepada negeri lain dan penyerahan semula tampuk pemerintahan parti dapat meyakinkan lagi rakyat Terengganu terhadap kepimpinan sedia ada”, kata Haji Azmi ketika dihubungi wartawan unit komunikasi negeri.

Perkara ini disokong lagi oleh Pengarah Jualan Hotel Tanjong Vista, Puan Suhaibah Harun yang mengharapkan teraju kepimpinan UMNO Terengganu akan terus unggul di mata parti amnya seterusnya memenangi hati rakyat khasnya dengan pelantikan tersebut.

“Saya sebagai rakyat Terengganu menyokong penuh pelantikan Dato’ Seri Ahmad dan saya percaya seluruh rakyat Terengganu juga menyokong pelantikan beliau. Perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah anggota parti terus bekerja keras bagi membantu membela nasib rakyat dan bukannya semata-mata untuk memenangi pilihan raya”, kata Puan Suhaibah ketika memberitahu wartawan.

Puan Suhaibah ketika ditemui di pejabat beliau di Hotel Tanjong Vista melihat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu mampu menggalas dan melaksanakan tugas dengan penuh kewibawaan dengan kepentingan rakyat diutamakan selaras dengan moto kerajaan negeri ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia yang juga Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Terengganu, Haji Abdul Karim Mohamad, menyambut baik Pengerusi Perhubungan UMNO yang baru.

“ Majlis belia terutamanya 109 cawangan belia Terengganu mengalu-alukan Dato’ Seri Ahmad sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri menggantikan mantan sebelumnya dan amat berharap Menteri Besar dapat membuat keputusan yang baik dalam memastikan mandat yang diterima dapat dijalankan dengan penuh dedikasi”. Jelas Haji Abdul Karim ketika ditemui.

Haji Abdul Karim juga mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Ahmad di atas pelantikan tersebut serta bersyukur apabila jawatan itu dipegang sendiri oleh anak jati Terengganu di samping memastikan sokongan yang padu diberikan para belia terhadap kepimpinan Dato’ Seri Ahmad Said.

TEGANUKITA

01 February 2011

TERENGGANU DAN ANUAR MANAN TETAP UNGGUL





TERENGGANU DAN ANUAR MANAN TETAP UNGGUL

Laporan: Ruslan Abdul Rahman, Mohd.Yusof (AV) Razlan (jurukamera webtv) dan Wahab (logistik).

Anuar Manan dari Terengganu, meskipun hanya mampu di tempat ketiga edisi 2011 Le Tour de Langkawi, yang berakhir di garisan penamat di Dataran Mardeka petang ini 1 Februari 2011, namun Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said tetap berbangga dengan keserlahan Terengganu dalam Sukan Lumba Basikal itu, malah kemunculan Terengganu sebagai kuasa baru sukan negara masa kini.

Dato’ Seri Ahmad yang berada di Dataran Mardeka petang ini untuk melihat sendiri detik-detik stage terakhir, sesekali kelihatan mengesat airmata kegembiraan bila nama Terengganu dan Anuar Manan berkali-kali dilaungkan bagi mengejar mata demi mata untuk stage-stage terakhir.

Bendera Terengganu dan Malaysia yang berkibar mengalu-alukan penerpaan Annuar Manan menjadikan orang Terengganu berasa begitu bangga.

Ketika ditemui media Dato’ Seri Ahmad berkata, belia akan terus memastikan Terengganu cemerlang dalam sukan itu di masa hadapan kerana sebahagian besar jaguh negara adalah berasal dari Terengganu.

Ini diakui Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyatakan lebih dari enam orang jaguh lumba basikal negara adalah datangnya dari Terengganu.

Dato' Seri Ahmad Said dan Dato' Seri Shabery Cheek dikerumuni media selepas berakhirnya kejohanan yang berprestij itu di Dataran Merdeka petang ini. (1 Februari). Apa yang uniknya kedua-kedua pemimpin itu juga dari Kemaman, Terengganu.

Menteri Besar Terengganu menawarkan kepada negara, khususnya Menteri Belia dan Sukan untuk tahun depan Terengganu bersedia untuk menjadi stage terakhir Le Tour de Langkawi itu dan akan memberi pelbagai kemudahan.

Beliau juga menyatakan, kejayaan pelumba juga bergantung kepada pengurusan yang baik.
Terengganu katanya, mempunyai pasukan pelapis dan akan dihantar menyertai kejohanan di India dan Sanghai China untuk pendedahan.

Terengganukita mengiringi Dato’ Seri Ahmad Said dan Datuk Shabery Cheek bersama ribuan penonton di stage penamat itu untuk tujuan membuat liputan .






TEGANUKITA

Bot cruise dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 42,000 pengunjung tempatan dan luar Negara menggunakan perkhidmatan bot cruise di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, sejak ia dilancarkan lebih setahun lalu.

Pendekatan pengurusan TTI memperkenalkan perkhidmatan itu sebagai daya penarik, bukan saja mampu menambah bilangan pengunjung ke taman tema tersebut, malah ia membawa perubahan imej sungai Terengganu.

Pengarah Urusan TTI, Engku Azmi Engku Abdul Rahman, berkata perkhidmatan bot cruise yang dilancarkan pada Mac 2009, nyata memberi perkembangan positif di mana sebelum ini TTI hanya dikenali umum sebagai destinasi yang mempunyai taman monumen dan Masjid Kristal.

“Sebanyak tiga Perahu Payang dan dua Perahu Kolek digunakan, sebagai permulaan memperkenalkan perkhidmatan itu dengan mengenakan kadar bayaran RM10 seorang.

“Disebabkan sambutan yang cukup menggalakkan, empat bot fiber yang dinamakan sebagai Bot Sri Warisan, Bot Sri Wan Man, Bot Sri Kristal dan Bot Sri Paloh ditambahkan sebagai langkah memenuhi pemintaan pengunjung,” katanya yang dihubungi pemberita Teganukita.

Menurutnya, untuk menambah lebih keselesaan, Bot Dining Cruise turut diperkenalkan di mana perkhidmatan terbaru ini cukup istimewa dan unik.

“Setiap pelanggan akan dihidangkan dengan makanan tradisional seperti nasi dagang, kuih muih dan kerepok lekor sepanjang 45 minit menyelusuri sungai.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, rata-rata pengunjung memuji pendekatan itu, di samping mengharapkan tebing sungai dinaik taraf dengan memasang lampu neon,” katanya.

TEGANUKITA

Belia luar negara iktiraf Giat Mara

Oleh: Suriati Ali

Pusat Latihan Giat Mara bukan saja bertanggungjawab menawarkan pelbagai kursus kepada belia tempatan bagi menambah kemahiran mereka, malah berjaya melatih 2,253 belia luar negara.

Antaranya belia dari Sudan, Selatan Thailand, Timur Laste, Indonesia, Combodia dan Namibia.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, berkata pihaknya bangga kerana Giat Mara diiktiraf individu luar negara yang sebelum ini mengikuti pelbagai kursus berkaitan.

“Pengiktirafan itu adalah hasil usaha sama Giat Mara-Petronas dengan memperkenalkan Khartoum Vocational Training Center (KVTC) kepada mereka termasuk belia Darfur, Sudan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Sijil Program Kerjasama Teknikal Malaysia-Darfur, Sudan, di Pulau Duyung, Kuala Terengganu.

Dato’ Seri Haji Idris memberitahu, Giat Mara berazam akan terus meneroka lebih jauh bagi memperkenal dan melaksanakan program berkaitan kepada masyarakat luar negara lain termasuk negara dunia ketiga lain.

TEGANUKITA

Sikap Berat Tulang Punca Denggi

Oleh: Aida Abd Rahman



Sikap segelintir masyarakat yang `berat tulang’ dalam menjayakan program gotong-royong membersihkan kampung sendiri antara penyebab masalah demam denggi masih berlaku di negeri ini.


Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw, berkata pelbagai saranan dan kempen sudah dilaksanakan kerajaan negeri dan agensi berkaitan namun sikap sekelompok masyarakat yang tidak pernah berubah menyukarkan hasrat memastikan kawasan persekitaran bersih sekaligus terhindar daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.



“Memang berlaku masalah denggi dan H1N1 di Terengganu.Kita di pihak kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar dan kerajaan tempatan melakukan pelbagai program bagi memastikan kualiti alam sekitar kita meningkat.

“Malah, pada tahun ini dijalankan program tambahan bagi menjaga sungai dan fizikal selain mencadangkan bot pemungut sampah bagi memastikan sungai dan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tidak tercemar dengan sampah sarap yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” kata beliau ketika ditemui di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Selain itu, beliau juga kesal kerana banyak program gotong-royong hanya melibatkan peratusan kecil penduduk kampung yang bekerjasama untuk turun padang menjayakan aktiviti berkenaan.



Bagaimanapun, pihaknya berharap Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) mengambil langkah yang lebih proaktif untuk menggembleng tenaga semua komuniti dalam kampung untuk turun padang dan menunaikan tanggungjawab kemasyarakatan.

“Tindakan itu bukan hanya dapat membersihkan kawasan persekitaran kita, bahkan juga akan mewujudkan kesedaran rakyat mengenai keperluan menjaga kebersihan. Ia juga memerlukan sokongan agensi berkaitan ketika program diamalkan.

“Selain itu, penguatkuasaan ketat perlu dilaksanakan kerana sikap sambil lewa orang kita yang lebih gemar melakukan tabiat buruk membuang sampah di tempat sendiri terutama tempat awam. Bagaimanapun, apabila ke luar negara tabiat buruk itu tidak diamalkan kerana menghormati perundangan dan penguatkuasaan sesebuah tempat,”katanya.



Suara Kampus Buka Minda Siswa

Oleh: Esah Abdullah

Program suara kampus mampu membuka minda siswa dan siswi serta mencungkil bakat dan kreativiti mereka, selain memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan pendengar.

“ Saya percaya pengalaman ini akan menjadi perangsang kepada mereka setelah tamat pengajian dan mempunyai pemikiran yang kreatif dan inovatif apabila berada di dunia luar nanti,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat, pada majlis penutup Bengkel DJ Suara Kampus 2011, di Auditorium Radio Malaysia Terengganu FM (TFM), Bukit Pak Apil, semalam (31 Januari).

Teks ucapan beliau dibacakan Penolong Setiausaha Kerajaan, Agama dan Penerangan negeri, Haji Lukema Meri Salleh.

Hadir sama, Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr Nawiyah Che Lah; Ketua Bahagian Rancangan, Puan Noor Asmihan Mansor dan Penerbit, Encik Rizallimi Mohamed dan 34 peserta dari 13 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan lima dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Katanya, program suara kampus yang akan bersiaran setiap Khamis jam 9.15 malam hingga 11 malam ini berkonsepkan hiburan santai dan menjadi saluran untuk mempromosikan aktiviti serta info semasa perkembangan pusat pengajian tinggi.

“Usaha TFM meneruskan program Tadarus Bersama Remaja juga harus dipuji, bertujuan membentuk remaja berpendidikan serta kuat berpegang kepada agama, berkualiti dan jatidiri,” katanya.

Katanya, apa yang bersiaran di TFM merupakan ilmu dan maklumat serta mesej kerajaan yang berguna kepada seluruh penduduk di negeri ini agar masyarakat memahami dengan jelas dan tepat.

Bengkel DJ Kampus kali kedua diadakan, di mana peserta diberi pendedahan mengenai penyelidikan bahan, penyediaan dan penulisan skrip serta amali di studio yang dikendalikan DJ TFM, Puan Noor Asmihan Mansor, Encik Zainal Abidin Mustafa, Puan Rida Suzirawati Muda dan Puan Noorhaniza Mat Yeh.


TEGANUKITA

Pelajar Terengganu di Mesir selamat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 233 pelajar negeri ini di bawah tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang sedang menuntut di Mesir yang kini sedang bergolak, dilaporkan berada dalam keadaan selamat.



Pengarah YT, Haji Aziz Mamat berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan pelajar di negara itu dengan cara menghubungi pihak kedutaan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai mereka.


Pada masa yang sama, tambah beliau, pihak YT turut memantau perkembangan di negara yang menyaksikan kebangkitan rakyat yang menuntut Presiden mereka meletak jawatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan pelajar tidak terjejas.



Kesemua pelajar yang sedang menuntut di Mansurah, Iskandariah dan Kaherah dinasihatkan agar tinggal di asrama masing-masing dan tidak keluar ke mana-mana bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Haji Aziz berkata, pada masa ini pihaknya difahahamkan pergolakan di Mesir sudah sampai ke tahap oren (peringkat kedua) dari kuning (peringkat pertama). Jika sekiranya tahap tersebut sampai ke tahap merah (peringkat ketiga dan kritikal), semua pelajar Malaysia akan dibawa keluar dari negara berkenaan.

Bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai pergolakan itu, YT menghantar Penolong Pengarahnya, Encik Razali Mahmud ke Wisma Putra di Putrajaya, bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelajar Terengganu yang berada di Mesir.



Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Luar, Senator A.Kohilan Pillay telah berlepas ke Kaherah bagi mengetuai sepasukan lima pegawai untuk meninjau tahap keselamatan para pelajar, sekaligus merangka pelan kontigensi bagi menyelamatkan rakyat Malaysia, termasuk pelajar di Mesir.

TEGANUKITA