Halaman

14 March 2011

YPU komited bantu usahawan

Oleh: Suriati Ali

Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Keluarga komited membantu usahawan Industri Kecil dan Sederdaha (IKS) sama ada di bandar atau kawasan pendalaman untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, setiap tahun pelbagai langkah dilaksanakan semata-mata ingin melihat usahawan di negeri ini berjaya memiliki perniagaan yang stabil.

Antaranya termasuk menyediakan peruntukan pinjaman RM1 juta setahun, menawarkan kursus atau seminar jangka pendek berkaitan perniagaan dan mengikuti pelbagai espo dalam dan luar Terengganu.

“Pendekatan ini nyata memberi kesan positif kepada setiap usahawan terutama yang baru `berjinak’ dalam bidang perniagaan.

“Usahawan YPU setiasa dilatih supaya memiliki sifat peramah, sopan ketika melayan pelanggan, murah dengan senyuman dan tidak lokek memberi penerangan berkaitan produk jualan,” katanya ketika ditemui Teganukita.

Dato’ Haji Mohamed, berkata usahawan Melayu tempatan diingatkan supaya tidak terlalu ‘manja’ sekiranya mahu berjaya dalam dunia perniagaan kerana ramai di kalangan mereka bukan sahaja mengharapkan projek daripada kerajaan malah mahu dibantu berserta dengan modal.

“Sebenarnya banyak sebab mengapa usahawan Melayu masih lagi lemah di bidang ini dan kita perlu kenal pasti kelemahan tersebut serta mencari jalan untuk memperbaikinya agar mereka dapat bersaing di pasaran terbuka,” katanya.


Maidam agih RM300 ribu untuk TABSK

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 sebagai sumbangan kepada tabung dana kewangan Tabung Amanah Bahagian Sokongan Keluarga (TABSK).

Peruntukan daripada wang agihan Asnaf Al-Gharimin yang disalurkan kepada akaun TABSK, Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Terengganu itu bertujuan membiayai bantuan nafkah kepada isteri dan anak yang terbabit dengan kes tuntutan di Mahkamah Syariah.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harunjan Sulaiman berkata, penubuhan TABSK diputuskan Ketua Hakim Syarie seluruh negara.

Katanya, berasaskan kepada keputusan itu, sumbangan kepada TABSK juga akan ditambah oleh Kerajaan Pusat dengan nisbah sama menjadikan jumlah tabung ini pada peringkat negeri keseluruhannya berjumlah RM600,000.

“Sumbangan Maidam kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan kerana menyedari pentinganya TABSK membiayai nafkah isteri dan anak yang masih dalam perbicaraan.

“Kita lihat terdapat kes mengambil masa terlalu lama sehingga memberi kesan buruk kepada pengadu kerana terpaksa menunggu lama sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Selepas pemohon berjaya mendapat tuntutan nafkah untuk anak dan diri sendiri atau tanggungan, suami atau bekas suami perlu membayar semula wang TABSK yang hanya diberi pinjam dalam tempoh sementara kepada isteri dan anak.



Anak jati Terengganu juara pidato antarabangsa

Oleh: Aida Abd Rahman

Peserta tuan rumah, Malaysia yang juga anak jati Terengganu, Amirrudin Abd Rahman, 25, dinobatkan selaku juara bagi kategori nusantara pada pertandingan akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam kelmarin (11 Mac).

Peserta Turki, Halil Ibrahim pula muncul johan bagi kategori antarabangsa pada pertandingan peringkat akhir yang melibatkan lapan peserta termasuk Rusia, Singapura, Brunei, Korea Selatan, China, Australia dan tuan rumah, Malaysia.
Kedua-dua johan pertandingan peringkat akhir itu membawa pulang hadiah wang tunai USD5,000, piala pusingan; piala iringan; hadiah dan sijil. Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak bertindak sebagai penaung PABM hadir merasmikan malam kemuncak serta menyampaikan hadiah kepada peserta akhir pertandingan itu.

Bagi kategori nusantara, peserta Brunei, Awang Abdul Rashid Awang Damit memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga jatuh ke tangan Muhammad Izwan Othman dari Singapura.

Naib johan kategori antarabangsa pula menjadi milik peserta Rusia, Daria Kamyshnikova dan tempat ketiga menjadi milik peserta Australia, Genevieve Woods.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai USD3,000 dan USD2,000 beserta piala iringan, hadiah dan sijil untuk tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori.

Sementara Amirrudin yang mempertaruhkan pidato yang bertajuk `Bangsa Berilmu Bangsa Bertamadun’ menyifatkan kemenangannya itu di luar jangkaan kerana semua pesaing lain menunjukkan persembahan hebat untuk menarik perhatian juri.

Katanya, penyertaan dalam PABM 2011 adalah kali ketiga, selepas gagal mara di peringkat saringan untuk mewakili negara pada penyertaan 2009 dan 2010 lalu.

“Penyertaan kali ini ternyata berbaloi dan amat bermakna kerana ia penglibatan terakhir saya mewakili universiti . Saya kini sedang menjalani praktikal dan berada di tahun akhir dalam Pengajian Bahasa English Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia.

“Saya dedikasikan kejayaan saya di pentas antarabangsa ini kepada jurulatih, rakan-rakan dan teristimewa buat ibu dan keluarga tercinta di kampung yang sentiasa menyokong penglibatan saya dari awal hingga kini,” kata anak kelahiran Kuala Terengganu itu lagi.

Pertandingan PABM 2011 yang menjadi edisi kelima ini menyaksikan penyertaan 59 peserta daripada 56 negara meningkat dari 23 negara yang meliputi enam benua sebelum ini.






Karnival 1Malaysia IPT 2011 jana aktiviti bermanfaat

Oleh: Aida Abd Rahman dan Mastura Jamaldin

Berteraskan slogan ‘Persefahaman Menjana Mahasiswa Gemilang’ Karnival 1Malaysia IPT 2011 berjaya mengumpul penuntut universiti tempatan di bawah satu bumbung melalui pelbagai aktiviti yang sihat dan memberi manfaat.

Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu , Haji Sharafudin Ali Hussin berkata, pelbagai aktiviti seperti Pameran 1Malaysia,pameran agensi kerajaan, mini ekspo, kembara kampus dan pidato berjaya menarik penyertaan seratus peratus penuntut institusi pengajian tinggi seluruh Terengganu.
“Karnival 1Malaysia IPT ini merupakan satu program yang amat bermakna kepada para siswa dan siswi kerana mereka mendapat pelbagai maklumat berguna daripada pihak kerajaan melalui pelbagai program serta aktiviti di karnival itu,” katanya sewaktu merasmikan perasmian penutup Karnival 1Malaysia IPT di di kolej Islam Sains & Teknologi ( KIST ) Kuala Berang, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Hajah Azizah Awang.

Haji Sharafudin yang mewakili Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu,Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berkata, penghargaan harus diberikan kepada KIST dan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu kerana berjaya merealisasikan karnival dua hari itu sebagai platform kepada penuntut tempatan menghayati konsep 1Malaysia dan melahirkan budaya ketahanan diri dalam kehidupan mereka.




Terengganu, Oman sepakat luaskan jaringan pelaburan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu mencapai kata sepakat dengan Oman untuk meluaskan jaringan pelaburan dalam sektor petroleum, pendidikan dan pelancongan hasil lawatan ke negara itu, sempena penyertaan ke Pameran Gulfood 2011, di Dubai, baru-baru ini.

Program lawatan yang menjadi `serampang dua mata’ sempena pameran pada 27 Februari hingga 2 Mac lalu itu turut membincangkan kaedah bagi membuka pasaran baru untuk produk industri kecil sederhana (IKS) Terengganu ke negara itu.
Delegasi Terengganu yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera menemui Dewan Perdagangan dan Industri Oman yang dipengerusikan Khalil Mohamad Al-Khonji.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Haji Azmi Razik dan Pengarah Majlis Amanah Rakyat Terengganu, Encik abdullah Muhamad.

Lanjutan berbincangan dua hala itu, delegasi kemudiannya mengadakan lawatan kerja dan perbincangan dengan dua rangkaian pasaraya terkemuka dan terkenal di Timur Tengah, Lulu Hypermarket dan Safeer Hypermarket.

Dato’ Mohamed berkata, rombongan turut mengadakan lawatan ke Khimji Ramdas Group, satu kumpulan perniagaan yang besar di Muscat di mana mereka memiliki rangkaian hypermarket dan juga terlibat di dalam sektor logistik, infrasturktur, pelancongan dan gaya hidup.

“Hasil pertemuan itu, Oman berminat untuk mendapatkan produk sejuk beku yang dihasilkan pengusaha IKS Terengganu seperti roti canai, murtabak segera dan `grilled chicken’.

“Jika sebelumnya, negara jiran seperti Singapura yang menjadi pembekal dengan menggunakan produk IKS negara kita tetapi pembungkusan yang dihasilkan sendiri oleh mereka mendapat pasaran yang baik di negara Timur Tengah itu,” katanya.

Katanya, pengusaha di Oman berminat untuk menempah terus daripada pembekal negara kita termasuk dari Terengganu mengikut citarasa dan piawaian dikehendaki pasaran mereka.

Susulan itu, Dato’ Mohamed berkata, delegasi Oman akan berkunjung ke Terengganu dalam tempoh beberapa bulan lagi bagi memperincikan lagi kerjasama perniagaan selain melihat sendiri pembangunan dan industri yang boleh menjana pelaburan antara kedua-dua negara itu.







Karya Siti Hawa, Nik Abd Rahman diangkat pemenang khat kebangsaan 2011

Oleh: Esah Abdullah


Nik Abd Rahman dan Siti Hawa bersama karya masing-masing. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Berdasarkan keaslian karya, nilai kesederhanaan, buatan tangan, unsur-unsur kerohanian dan ada nilai pasaran semasa, karya Siti Hawa Zainal Abidin,28, diangkat sebagai pemenang Piala Pusingan Tengku Sri Bendahara Raja.

Hasil kesepakatan bersama empat orang juri yang diketuai Engku Md. Azmi Engku Abdul Rahman turut memilih Nik Abd. Rahman Zaki Nik Abdul Karim, 36, memenangi Piala Pusingan Menteri Besar Terengganu berdasarkan tiada kesalahan yang dikesan pada setiap ejaan dalam karyanya.

Siti Hawa memenangi tempat pertama dalam Kategori Karya Siap (kanvas) (RM4,000 dan sijil) serta pemenang saguhati Kategori Spontan (terbuka) (RM400 dan sijil), manakala Nik Abd. Rahman Zaki adalah pemenang pertama Kategori Spontan (terbuka) (RM2,500 dan sijil).

Pertandingan Inspirasi Seni Khat Taman Tamadun Islam (TTI) menawarkan lima kategori pertandingan iaitu Spontan (terbuka), Spontan (sekolah), Karya Siap (kanvas), Karya Siap (kayu) dan Karya Siap (logam).

Kategori karya Siap (logam) dimenangi Syed Ubaidillah Syed Mohamad (RM5,000 dan sijil), Abdul wahab Khalid pemenang Kategori Karya Siap (kayu) (RM5,000 dan sijil) serta Muhamad Yazid Shamsudin menang Kategori Spontan (sekolah) (RM700 dan sijil).

Mohd Nursalam Bain, muncul peserta paling banyak menerima wang tunai iaitu RM7,000 apabila menang tempat kedua dalam kategori Karya Siap (kayu) (RM4,000) dan Karya Siap (kanvas) (RM3,000).

A.Wahab Mohd menerima RM6,000, menang tempat ketiga Karya Siap(logam) dan karya Siap (kayu) manakala Syed Ubaidillah menerima RM5,900, tempat pertama Karya Siap (logam), dan dua saguhati Karya Siap (kanvas) dan Spontan (terbuka).

Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Bendahara Raja telah menyampaikan hadiah kepada semua pemenang pertandingan yang berlangsung di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.






Tfm anjur tadarus al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Radio Malaysia Terengganufm (Tfm) menganjurkan Program Cuti Sekolah Tadarus al-Quran bertujuan melahirkan lebih ramai masyarakat `celik al-Quran’ selain mengimarahkan kitab suci itu sebagai bahan bacaan utama.

Ketua Bahagian Penerangan Tfm,Puan Noor Asmihan Mansor, berkata program berlangsung selama lima hari dan berakhir 17 Mac ini adalah anjuran bersama Taman Tamadun Islam (TTI), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) serta Sekolah Menengah Imtiaz.

Katanya, seramai 30 pelajar dari empat Sekolah Menengah Imtiaz di negeri ini akan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci a-Quran di Masjid Kristal TTI, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

“Bacaan setiap pelajar akan dirakam untuk siaran sepanjang Ramadan nanti, secara tidak langsung dapat mempelbagaikan program bercorak ilmu yang sedia ada seperti Suara Kampus, Suara Masjid, Rentak Remaja dan Terengganu Indah,” katanya kepada Teganukita hari ini (14 Mac).

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat dijangka hadir menyempurnakan majlis penutup program itu pada 17 Mac di Masjid Kristal, jam 5 petang.

Tfm akan menjadikan program ini sebagai program tahunan dengan melaksanakan pendekatan berbeza bagi memupuk masyarakat mencintai al-Quran selain menjadikannya sebagai penduan hidup.



TDM keluar 25 peratus minyak kelapa sawit

Oleh: Suriati Ali


Kilang kelapa sawit Sungai Tong, Setiu. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Syarikat pegangan pelaburan milik Terengganu, TDM Berhad (TDM) mampu mengeluarkan 25 peratus minyak kelapa sawit yang membabitkan 12 ladang seluas 32,897 hektar di Terengganu.

Bagi memastikan kelestarian hasil sumbangan sektor peladangan, TDM turut memperoleh 25,000 hektar daripada sejumlah pakej tanah seluas 40,000 hektar di Kalimatan, Indonesia.

Pengerusi TDM, Datuk Haji Ruslan Awang Chik, berkata tanah di Kalimantan itu sedang giat diusahakan secara berperingkat-peringkat, di mana kawasan seluas 3,000 hektar selesai dimajukan sepanjang tahun lalu.

Katanya, sasaran bagi tahun 2010 adalah untuk meningkatkan hasil pengeluaran kepada 20.05 tan metrik sehektar atau sejumlah 651,10 tan metrik.

“Langkah-langkah sudah pun diperkenalkan demi mencapai sasaran ini termasuk melalui program penanaman semula dengan mengunakan klon-klon kelapa sawit yang dapat memberikan hasil lebih banyak dan pertanian teliti menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Sasaran lain adalah terima guna Kod Amalan Pertanian Baik (COGAP) untuk mencapai objektif Persidangan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO), memulihkan semula pokok kelapa sawit dengan baja, memperbaiki proes pemindahan tanaman dan menambah keupayaan kilang-kilang,” katanya.

Menurutnya, langkah seterusnya, diambil untuk meningkatkan kadar pengekstrakan, kualiti minyak dan isirong kelapa sawit dengan menambahbaik aliran proses serta operasi di kedua-dua kilang milik TDM di Sungai Tong, Setiu dan Kemaman.



TSG muncul pasukan terbaik Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan yang mewakili benua Malaysia yang dibentuk Kerajaan Terengganu, Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) muncul pasukan terbaik negara dalam Jelajah Malaysia (JM) yang melabuhkan tirai semalam (13 Mac lalu).

Penyertaan sulung dalam JM 2011, TSG mempertaruhkan enam pelumba yang diketuai Anuar Manan, Mohd Harrif Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Yusrizal Usoff, Mohammad Saufi Mat Senan dan Motoi Nara.
Dalam perlumbaan terakhir dan juga peringkat keenam, Mohd Hariff memenangi Jersi Hijau sekaligus memegang status sebagai Raja Pecut JM edisi ke-48 tahun ini.
Sebelum ini, gelaran itu pernah diungguli rakan sepasukan yang juga ketua pasukan TSG, Anuar Manan, pada JM edisi 2006, 2007 dan 2009.

Sementara Anuar pula terpaksa berpuas hati dengan kemenangan di tempat ketiga kategori yang sama dengan ketinggalan empat mata berbanding Mohd Hariff yang memungut 66 mata keseluruhan.

Dua pelumba TSG turut melakar kedudukan kedua dan ketiga terbaik bagi kategori pelumba terbaik Malaysia.Kedua-dua pelumba muda itu, Mohd Shahrul dan Yusrizal masing-masing ketinggalan tiga saat dan hampir dua minit di belakang pemegang Jersi Putih, Amir Mustafa Rosli (Polis Diraja Malaysia).

Di peringkat kelima sebelum itu, Anuar yang membantu rakan sepasukan dan saling merencana strategi dengan Mohd Hariff pada JM 2011, berada di tempat kedua di belakang rakan sepasukannya itu, sebelum kedudukan kedua itu dirampas Ioannis Tamouridis dari pasukan SP Tableware Pro dalam perlumbaan berikutnya.

Siri jelajah yang sudah memasuki usia 47 tahun itu disertai 20 pasukan tahun lalu, meningkat kepada 30 pasukan yang menyaksikan persaingan sengit melibatkan 180 pelumba yang saling mencabar dalam persaingan enam peringkat dengan jarak keseluruhan perlumbaan sejauh 1,111 kilometer bermula 8 Mac lalu.



Perkasakan sekolah agama seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu akan terus memperkasakan sekolah-sekolah agama di negeri ini, termasuk Sekolah Menengah Imtiaz dengan menyediakan lebih banyak kemudahan untuk para pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Khazan Che MatBeliau berkata, ini amat membanggakan kerana kebanyakan pelajar sekolah agama, terutama mereka yang perlu menghafaz al-Quran, mampu menanggung beban yang begitu tinggi yang terletak di atas bahu mereka.
Sebagai contoh, katanya, Sekolah Menengah Imtiaz Besut mencatatkan keputusan paling tinggi dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan akhir tahun lalu.

“Begitu juga keputusan peperiksaan awam di sekolah-sekolah agama lain, termasuk Institut al-Quran, telah mencatatkan keputusan yang cemerlang dan amat membanggakan ibu bapa,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta para pelajar yang sedang menuntut di sekolah-sekolah agama supaya mempertahankan momentum ini dan mencatatkan kejayaan lebih cemerlang di masa depan.

Beliau berkata, pelajar aliran agama perlu bersyukur kerana mempunyai kelebihan berbanding pelajar aliran biasa kerana pengajian mereka termasuk ilmu yang boleh disebar kepada umum sebagai bekalan ke akhirat.

Dalam pada itu, kerajaan memperuntukkan RM2j uta setahun menerusi program Skim Menghafaz al-Quran bagi membayar elaun kepada para hafiz dan hafizah.

“Mereka yang menghafaz al-Quran, termasuk pelajar Sekolah Menengah Imtiaz dan Institut al-Quran boleh menghubungi JHEAT bagi mendapatkan keterangan lanjut dan menghadiri ujian kelayakan agar mereka dapat menikmati elaun yang disediakan melalui skim berkenaan.

Pihak JHEAT mengadakan ujian kelayakan secara terbuka bagi menguji para hafiz dan hafizah di mana mereka yang hafal 30 juzuk akan diberi imbuhan sebanyak RM1,000 sebulan sebagai galakan kepada mereka untuk terus menghafal ayat-ayat suci tersebut.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga mengadakan majlis menghafaz al-Quran peringkat negeri pada setiap tahun bagi memilih wakil negeri ini ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.