Halaman

30 March 2011

AKPK bantu selesai masalah hutang

Oleh: Suriati Ali

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kreadit (AKPK) Malaysia mencatatkan golongan lelaki berusia antara 30 tahun hingga 40 tahun di seluruh negara, paling tinggi menanggung bebanan hutang berbanding wanita.

Berdasarkan perangkaan sepanjang lima tahun yang berakhir Februari lalu, golongan lelaki mencatatkan seramai 34,479 orang dan kaum wanita pula seramai 16,484 orang.

Pengurus Besar Operasi AKPK, Encik Azman Husin, berkata hampir 4,000 individu pelbagai peringkat umur dan golongan di negeri telah mendapat khidmat nasihat mengenai kaedah terbaik menguruskan sumber kewangan dan cara atasi bebanan hutang di AKPK cawangan Kuala Terengganu sejak ditubuhkan awal 2007.

Katanya, semua perkhidmatan yang disediakan AKPK adalah percuma di mana setiap peminjam boleh mendapatkan bantuan untuk membuat penstrukturan semula pelbagai jenis pinjaman termasuk perumahan, kenderaan, peribadi dan baki tertunggak kad kreadit.

“Melaluinya juga peminjam dapat menguruskan hutang secara bijak, membantu membuat pembayaran balik pinjaman dan mengendali perbelanjaan harian dengan teratur.

“Program yang diatur ini nyata dapat mengurangkan jumlah hutang yang tidak berbayar dan menghidari rumah daripada dilelong,” katanya kepada media di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, hari ini (30 Mac).

Menurutnya, pelanggan yang mendapat perkhidmatan di AKPK tergolong daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Dalam kebanyakan kes, faktor utama penyebab hutang adalah ketidakupayaan membayar balik pinjaman, sistem perancangan kewangan yang lemah, kurang berdisplin dan tidak mempunyai pengetahuan berkaitan itu.

“Terdapat juga faktor luar jangkaan seperti masalah kesihatan, kematian pencari nafkah, kehilangan pekerjaan dan kegagalan dalam perniagaan,” katanya.

AKPK ditubuhkan Bank Negara Malaysia dengan objektif memastikan sektor isi rumah terus berdaya tahan dengan menyediakan saluran bagi peminjam individu dan bakal peminjam mendapatkan nasihat dan bantuan berkaitan pengurusan hutang.



Orang ramai diminta derma darah

Oleh: Suriati Ali

Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu akan menganjurkan Program Derma Darah sempena memperingati hari Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke-204 bagi tahun 2011 di Dewan Redang IPK, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, esok (31 Mac).

Ketua Jabatan Pengurusan Superintenden Norhani Shariff berkata, kira-kira 300 individu dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan, persatuan dan kelab dijangka hadir dalam program tahunan ini.

Katanya, surat jemputan mengenainya sudah diedarkan ke beberapa jabatan kerajaan termasuk pejabat Unit Komunikasi Negeri, Jabatan Kerja Raya Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Jabatan Pertanian Terengganu dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu.

“Mereka yang menyokong program murni ini amat dihargai kerana dapat membantu pesakit Hospital Sultanah Nur Zahirah yang memerlukan darah,” katanya.




Program Bescomm Tour erat perpaduan

Oleh: Esah Abdullah

Memupuk keakraban antara anggota masyarakat serta memberi pendedahan dan pengetahuan teknologi maklumat (ICT) antara objektif utama Program Bescomm Tour yang akan diadakan di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir minggu depan (8 April).

“Program anjuran bersama Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN) dan Pusat Khidmat Masyarakat Seberang Takir itu akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman,” kata Pegawai Khas Exco Pelajaran, Encik Asri Zakaria.

Katanya, program yang dilaksana khusus kepada warga DUN Seberang Takir itu mensasarkan 500 peserta dan pengunjung sekaligus menyertai beberapa program pertandingan yang menguji minda peserta.

Antara aktiviti yang akan mewarnai program adalah pertandingan mewarna terbuka kepada 100 kanak-kanak dari Tabika Kemas, Tabika Perpaduan dan Pra Sekolah serta pertandingan mencipta slide untuk pelajar dari dua buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dalam DUN berkenaan.

Turut diadakan pertandingan T-Score yang terbuka kepada pelajar Tahun 5 dan 6 dan terbuka kepada 100 penyertaan di mana setiap peserta diberikan 30 soalan untuk dijawab di samping pertandingan menaip terbuka kepada mereka berusia 50 ke atas.

“Orang ramai khususnya warga Seberang Takir diminta hadir beramai-ramai untuk menjayakan program berkenaan dan setiap kehadiran berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang disediakan pihak penganjur,” katanya.





HADIRMU KE JELAPANG RAKYAT (dedikasi buat YAB Dato’ Seri Ahmad Said)

KARYA: Putera Pesisir Air

(khas sempena ulangtahun ke 3 (30 Mac) sebagai Ketua Kerajaan Terengganu)


Tiba-tiba kau hadir
menjunjung amanah termulia
di bahu kananmu memikul harapan rakyat
di bahu kirimu mengandar pesan keramat
di tanganmu ada segenggam penawar
di dadamu tersemat tulus
di bibirmu terungkap telus

lalu kau melangkah dan terus melangkah
memanjat gunung harap
menuruni jelapang rakyat

tiba-tiba kau tiba
di lautan ganas bergelora
dengan seribu gelombang
melambung bahtera

namun
persis seorang penganyam tikar
kau susun dan kau silang
gelombang menjadi sebuah hamparan
gelora menjadi bunga-bunga hiasan

di jelapang rakyat
sayang dan kasih bertebaran
rindu dan syahdu bertautan
hadirmu membawa ampuh
pengubat luka
penawar duka

tegasmu seteguh terumbu
hatimu selembut baldu
kaulah nakhoda ketika taufan
kau jugalah nakhoda tatkala tenang

rakyat di hatimu
di hati rakyat adalah kamu
penat dan jemu tiada tercatat dalam diarimu

derita rakyat deritamu jua
bangun bersama, duduk bersama
sawah sama dilumpuri
gunung sama dijulangi
lautan sama direnangi

antara kau dan rakyat
tiada dinding menghalangi
tiada pagar berduri
pintunya sentiasa terbuka
untuk didatangi

antara kau dan rakyat
gembira bersama, derita pun bersama
menjulang cita dan harapan
mempermatakan kehidupan

karya:
Putera Pesisir Air
Mengabang Telipot, Kuala Terengganu




Dewan Undangan Negeri diubahsuai kerana kewajarannya

Oleh: Ruslan Abdul Rahman




Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Awang memberitahu pengubahsuaian bangunan Dewan Undangan Negeri Terengganu adalah wajar memandangkan pertambahan bilangan ketua-ketua jabatan dan pemerhati yang lain.




Beliau memberitahu Teganukita bahawa beberapa perkara telah diambil kira untuk melakukan pengubahsuaian ke atas Dewan Undangan Negeri Terengganu sebagaimana berikut:

1) Usia bangunan Dewan Undangan Negeri – 26 tahun.

2) Menambah bilangan Ketua-Ketua Jabatan yang akan hadir sepanjang persidangan berlangsung dari 126 kepada 188.

3) Mewujudkan keselesaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Ketua-Ketua Jabatan apabila ruang tempat duduk antara mereka diperbesar dan dilebarkan. Sebelum ianya terlalu sempit dan sendat sehingga menyukarkan pergerakan Ketua-Ketua Jabatan untuk keluar masuk ke dalam dewan.

4) Sistem pengcahayaan dan bunyi yang lebih baik.

5) Menambah keceriaan di dalam dewan sesuai dengan fungsi dewan sebagai tempat untuk membincangkan isu-isu yang berkait dengan rakyat Terengganu.

Oleh itu, beliau berharap tidak ada pihak lain yang cuba menjadikan ia sebagai ‘isu’ sebaliknya Dewan Undangan Negeri adalah tempat mulia untuk membuat perundangan dan dasar bagi kepentingan rakyat.

“Memanglah bagi pembangkang, apa sahaja yang kerajaan buat mereka melihatnya secara negatif,” ujarnya.


WAWANCARA KHAS SEMPENA 3 TAHUN MPPNT“BN- Dulu,kini dan selamanya”

Oleh: RUSLAN ABDUL RAHMAN



Hari ini genap 3 Tahun YAB Dato'Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu. YAB Dato' Seri Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 30 Mac 2008 di Istana Maziah.Berikut adalah Wawancara Bersama Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ahmad Said sempena 3 Tahun sentuhan pentadbiran dan kepimpinannya kepada rakyat dan negeri Terengganu Darul Iman.

Selama tiga tahun memimpin berteraskan pendekatan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu (MPPNT) apa yang Dato’ Seri dapat nyatakan?

Alhamdulillah di bawah MPPNT, kebanyakan telah faham dan jelas, terutama di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan keseluruhannya , setelah kita adakan perjumpaan, taklimat mengenainya. Tanpa mengira kedudukan taraf pegawai…begitu juga orang politik, rakyatlah yang berhak untuk mendapat perkhidmatan terbaik dan faedah pembangunan.

Hasil maklum balas juga, didapati rakyat terima dengan hati terbuka…Kita dapati perkhidmatan kita diterima rakyat.

Tumpuan banyak diberikan kepada bidang pendidikan?



Ya, kita mahu menjadikan Terengganu “Negeri Anjung Ilmu”. Pembinaan sesebuah negara dan bangsa adalah bermula dari pendidikan dan ilmu. Kita berusaha untuk memastikan masa akan datang kita mempunyai keupayaan kewangan sendiri untuk pendidikan.

Misalnya Yayasan Terengganu, kita usahakan tanaman sawit kira-kira 50,000 ekar dengan jangkaan keuntungan akan datang antara RM50 hingga RM80juta setahun untuk menampung keperluan agensi itu bagi pembangunan pendidikan.



Kita juga telah perkenalkan e-Book dan rakyat menerima dengan baik kearah menjadikan pendidikan Terengganu bertaraf dunia. Dalam konteks ini, kita telah memulakan fasa kedua iaitu kelas maya di beberapa buah sekolah.

Bagaimana Dato’ Seri melihat pembangunan dan ekonomi Terengganu di masa depan?

Ya, memang kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada hasil petroleum kerana bahan itu tidak kekal. Kita beralih kepada industri pelancongan kerana kita mempunyai potensi yang besar untuk maju di bidang itu.



Kita ada pantai, pulau, tasik dan pelbagai kawasan yang mempunyai daya tarikan. Tasik Kenyir yang terbiar kita akan majukan sepenuhnya. Atas permintaan kita, kerajaan pusat telah meluluskan untuk menjadikan tasik itu sebagai ‘Tasik Bebas Cukai’.

Kita bergerak sekarang untuk menjayakannya, walaupun daripada zero dan sememangnya memerlukan perbelanjaan yang besar. Tetapi saya yakin ia akan menjadi destinasi pelancongan yang terkemuka, unik setanding, malah lebih hebat dari kawasan-kawasan bebas cukai lain di Malaysia.

Apa jaminan, rakyat boleh memperolehi feadah dari pembangunan Tasik Kenyir ini?

Mengapa tidak. Peluang-peluang pekerjaan akan banyak wujud melalui industri perhotelan, perkhidmatan bot, perniagaan dan sebagainya. Masyarakat perlulah pro aktif kerana apabila dimajukan kelak keperluan bekalan makanan, hasil-hasil pertanian, pelbagai perkhidmatan dan sebagainya.



Yang penting juga ialah menjaga kebersihan tasik ini dari sebarang sampah dan kekotoran. Kita akan wujudkan peraturan mengenainya dan mereka yang membuang sampah terpaksalah membayar kompaun.

Bagaimana dengan bidang-bidang lain?

Pertanian kita majukan macam biasa. Kita tambah nilai dan memberi kemudahan. Kita juga akan terus jayakan jelapang padi Terengganu dan pertanian moden/komersial.

Perindustrian juga begitu, kita terus berusaha membawa pelabur untuk membuka kilang-kilang di negeri ini. Industri kecil dan sederhana (IKS) kita tingkatkan, khususnya melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) yang bergerak cergas sekarang ini.



Kita juga sedang berusaha untuk terlibat sama dalam cari gali minyak yang dijalankan oleh Petronas. Ini penting supaya kita juga mendapat manfaat dan dalam apa-apa bidang kontrak berkaitan cari gali yang boleh kita ceburi melalui syarikat yang kita wujudkan, sebab dah lebih 30 tahun Petronas beroperasi di luar pantai negeri ini.

Bagaimana dengan pembangunan di daerah-daerah lain?

Ya, kita melaksanakan pembangunan seimbang bagi semua daerah-daerah. Kita mengharapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan yang lebih aktif di tempat masing-masing. Kita membelanjakan lebih RM300 juta setahun untuk membantu PBT seluruh negeri sama ada untuk perkhidmatan dan perlaksanaan pembangunan.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang kita mahu PBT dapat berdikari melalui pelbagai hasil. Justeru itu kita mengharapkan perancangan dibuat untuk memastikan hasil itu diperolehi melalui percukaian, pembinaan perkedaian dan sebagainya untuk menampung perbelanjaan masing-masing.

Apa yang kerajaan lakukan untuk pembangunan di bidang keagamaan?

Kalau hendak dikira, semua yang kita lakukan itu, kebaikan dari segi pentadbiran, perkhidmatan dan pembangunan adalah sesuatu yang dituntut oleh agama Islam Yang Maha Suci. Pendidikan, ekonomi, pengurusan, perumahan rakyat dan sebagainya; semua adalah bertepatan dengan suruhan Allah.

Kita juga telah martabatkan imam dan bilal di negeri ini dengan kenaikan elaun masing-masing berjumlah RM800 dan RM600 sebulan di seluruh masjid di Terengganu.

Sentuh sikit soal politik, ada pihak sekarang memomokan bahawa mereka hendak ganti parti pemerintah sekarang, hendak buat perubahan?

Rakyat dah beri dah dulu, empat tahun. Tapi rakyat dah serik dah kerana ternyata mereka gagal dan banyak perkara yang tidak betul dilakukan. Rakyat telah menolak mereka, rakyat berkata,” BN-dulu, kini dan selamanya”, BN tetapi di hati rakyat. Rakyat Terengganu dah tahu mana yang lebih baik.
“BN tetap di hati”

Bermakna Dato’ Seri yakin Umno-BN terus akan diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13)?

Ya, yakin. Insya Allah. Saya katakan tadi, rakyat Terengganu dah serik di tahun 1999-2004. Mereka menilai itu semua. Kita bekerja dan berperanan secara kolektif di semua Bahagian (Parlimen). Semua sayap-sayap (Wanita,Pemuda dan Puteri) memainkan peranan masing-masing. Insya Allah kita akan menang di semua Parlimen/Bahagian nanti dalam PRU 13.


E-Book satu kesinambungan

Oleh: Esah Abdullah



Jabatan Pelajaran memberi jaminan setiap murid yang menerima pemberian e-Book ini akan menggunapakai sebaik-baiknya serta mendapat manfaat daripada segala modul pembelajaran yang ada didalamnya.

“E-Book satu kesinambungan, Ibu bapa dan guru harus bersama-sama berganding bahu merialisasikan harsat kerajaan untuk mengangkat generasi pelajar berada dipuncak kejayaan,” kata Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud.

Katanya, segala peralatan dan kelengkapan ICT di sediakan kerajaan manakala ibu bapa dan guru merupakan pendorong utama ke arah pelaksanaan program berkenaan.

“Saya sedar ada segelintir masyarakat bersikap negatif dan tidak mengambil serius malah menganggapnya suatu yang membazir apabila kerajaan perkenalkan e-Book kepada pelajar di negeri ini,” katanya di majlis Penyerahan e-Book di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu, Marang.



Tegasnya, selagi kita tidak menggunapakai segala kemudahan yang terdapat didalamnya selagi itulah e-book ini tidak akan memberi makna apa-apa kepada anak kita, kalau guna barulah bertemu kebaikannya.

“Saya bimbang jika penyakit ‘dengki hati’ ini terus menjadi barah sekali gus akan membawa kemusnahan dalam pembangunan pemikiran dan masa depan generasi pelajar,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan ibu bapa dan guru menjauhi penyakit sedemikian dan menggunakan akal fikiran secara rasional untuk keuntungan jangka panjang serta kepentingan generasi akan datang.




Kerajaan berhasrat adakan penerbangan umrah setiap bulan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berhasrat mengadakan penerbangan menunaikan umrah secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada setiap bulan bagi memenuhi permintaan ramai umat Islam dari Pantai Timur yang mahu mengerjakan ibadat itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penerbangan menggunakan Boeing 747 hanya mampu memuatkan 450 jemaah sahaja pada satu-satu masa, sedangkan permintaan di kalangan umat Islam untuk menunaikan ibadat itu semakin meningkat dari masa ke semasa.

“Selepas ini kita akan panggil ejen pelancongan untuk bincang bagaimanapun cara mereka menarik orang ramai terutama penduduk Pantai Timur melibatkan Terengganu, Kelantan dan Pahang menunaikan umrah sama ada menerusi iklan atau sebagainya.

“Kalau kena caranya, pengendali umrah boleh melaksanakannya dengan menggunakan pesawat (Boeing) 747 paling kurang tiga bulan atau dua bulan sekali. Kalau kena gaya sebulan sekali,” katanya ketika sidang akhbar di Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama-sama Pengetua, Guru Besar dan EIO (Pegawai Eksekutif Maklumat), di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran , Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang optimis dengan hasrat itu akan memastikan kerja menaik taraf kemudahan di LTSM dilaksanakan termasuk perbincangan dengan syarikat pengendali penerbangan terutama Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan ejen bagi memenuhi hasrat itu kelak.

Dato’ Seri Ahmad, berkata perkara yang paling penting adalah menyediakan peralatan asas dan melengkapi persekitaran LTSM dengan bekalan minyak yang mencukupi untuk kegunaan pesawat.

“Sebab mereka (pesawat) datang untuk isi minyak dan kita akan melantik kontraktor minyak Petronas bagi membekalkan minyak kapal terbang di LTSM. Paling utama, kemudahan di `ground equipment’ memerlukan peralatan yang sesuai dengan pesawat (Boeing) 747, memandangkan kemudahan sedia ada sekarang hanya sesuai untuk Boeing 737,” katanya.

Menteri Besar, berkata selain menarik jemaah dari Pantai Timur, kerajaan negeri juga mahu memancing minat kerajaan Thailand menghantar rakyat negara itu menggunakan LTSM sebagai laluan untuk ke Makkah.

Katanya, penerbangan dari LTSM dilihat lebih menjimatkan kerana masyarakat Islam negara itu terutama dari wilayah Narathiwat, Yala, Patani dan Golok terpaksa menempuhi perjalanan sehingga 24 jam dengan menaiki keretapi sebelum tiba di Bangkok, berbanding hanya enam jam menaiki bas ke Kuala Terengganu sebelum bertolak ke Jeddah.

Dalam pada itu, satu penerbangan penerbangan umrah pertama yang membawa 450 jemaah secara terus dari LTSM ke Jeddah dilancarkan pada 18 Mac lalu, dan dijangka akan tiba di LTSM hari ini.

Penerbangan juga dikenali sebagai Umrah Anugerah itu merupakan sumbangan sosial kerajaan selaras dengan konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang diperkenalkan oleh Menteri Besar.



Penghayatan al-Quran untuk golongan muda

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan terus mengambil pendekatan untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan al-Quran di kalangan belia dalam usaha memertabatkan kitab suci itu di negeri ini.

Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Sheikh Harun Ismail berkata, usaha jabatan memberi pendedahan al-Quran di peringkat awal secara tidak langsung dapat mendatangkan kesan baik dalam proses pendidikan golongan muda ke arah melahirkan kecemerlangan ummah.

“Kecenderungan ibu bapa sekarang juga begitu terserlah , ingin melihat anak masing-masing menjadi hafaz dan menghayati al-Quran pada peringkat sekolah lagi,” katanya.

Katanya, JHEAT menerusi bidang kuasa kerajaan negeri akan mengadakan program penghayatan al-Quran secara lebih konsisten dan terus menyuburkannya dengan pelbagai kaedah demi kebaikan masyarakat seluruhnya.

“Dengan memahami isi al-Quran golongan belia dapat menjadikannya sebagai pegangan baik dalam proses kehidupan sejagat,” katanya.

Selain itu katanya, jabatan juga sentiasa bersedia menjadi guru terbaik dalam usaha kerajaan membentuk sahsiah remaja agar sentiasa mensyukuri nikmat pembangunan dan keamanan yang dikecapi hari ini.




817 mangsa di 12 pusat pemindahan banjir seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 817 mangsa banjir di beberapa daerah di negeri ini yang melibatkan 193 keluarga ditempatkan di 12 pusat pemindahan sehingga jam 7 pagi hari ini.

Mangsa melibatkan penduduk di daerah Kemaman, Dungun dan Marang manakala semua 226 mangsa banjir di daerah Kuala Terengganu daripada 52 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal dilaporkan sudah pulang ke rumah masing-masing dan pusat pemindahan ditutup petang tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu berkata daripada jumlah mangsa yang dipindahkan itu seramai 58 daripada 20 keluarga di dua pusat pemindahan dari daerah Kemaman.

Katanya seramai 41 mangsa daripada 17 keluarga banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kemasik, manakala 17 mangsa daripada tiga keluarga kini berada di Pusat Belia Kampung Baru Kerteh.

Seramai 207 mangsa daripada 51 keluarga dari daerah Marang ditempatkan di enam pusat pemindahan di daerah itu sehingga ini.

Katanya mereka terdiri daripada 23 keluarga membabitkan 90 mangsa ditempatkan di Dewan Sivik Pekan Bukit Payung, Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang (60 mangsa), Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang (30 mangsa) melibatkan tujuh keluarga.

Lain-lain ialah di Balai Raya Kampung Binjai Rendah (14 mangsa), Balai Raya Kampung Tok Mat (lapan mangsa) dan Balai Raya Tanah Lot Kampung Kubu (lima mangsa).

Katanya daerah Dungun pula mencatatkan 522 mangsa daripada 122 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan.

Mereka ditempatkan di Dewan Sivik Batu 48 seramai 413 mangsa, SK Kampung Nyior (28 mangsa), Dewan Majlis Sukan Negara (103 mangsa) dan Balai Raya Pulau Serai (lapan mangsa).

Sementara semalam, lebih 20 buah sekolah ditutup dan 12 daripadanya di daerah Setiu membabitkan 1,500 murid termasuk SK Chalok, SK Langkap, SK Kampung Buluh, SK Pelong, SK Bukit Tadok, SK Menerung dan SK Felda Mengkawang.

Seramai 1,400 murid juga tidak dapat ke sekolah di daerah Hulu Terengganu apabila sembilan buah sekolah ditutup di daerah itu dan dua buah sekolah di daerah Besut melibatkan 700 murid.

Jabatan Meteorologi sehingga tengah malam semalam pula mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang boleh mengundang bahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Sarawak(Miri), Sabah(Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), WP Labuan, Samui dan Sulu dijangka akan berterusan sehingga Sabtu ini ( 2 April).