Halaman

16 July 2011

Program berakit semarak hubungan antara kaum

Oleh: Aida Abd Rahman

Sungai bukan sahaja menjadi sumber pendapatan tambahan masyarakat setempat , malah turut menjadi medan penduduk untuk merapatkan hubungan melalui penganjuran pelbagai aktiviti riadah yang menyihatkan badan serta minda.

Menyedari manfaat itu, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Beladau Kepong bersama Persatuan Belia Fajar Menyinsing, menganjurkan Program Berakit `Sungaiku, Hidupku’ sepanjang lapan kilometer bermula dari Sungai Kampung Tiruk dan berakhir di Sungai Kampung Baladau Kepong, Kuala Terengganu, hari ini.
Menurut pihak pengelola yang bertindak sebagai jawatankuasa induk program, Encik Zulfikri Muda, berkata setiap bot melibatkan sepuluh peserta dan penganjur menyediakan RM500 kepada setiap pasukan bagi menyiap dan menghias bot mereka.

“Program ini bukan sahaja melibatkan masyarakat Melayu yang sudah sinonim dengan sungai, malah turut menarik penyertaan masyarakat Cina dari Kampung Tiruk yang tidak melepaskan peluang menghantar satu pasukan bagi menyertai acara tradisi kali ini.

“ Saya melihat program ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran penduduk dari pelbagai lapisan usia, terutama golongan kanak-kanak dan remaja supaya mencintai sungai, malah merapatkan hubungan antara peserta serta penduduk kampung sekitar yang terlibat tanpa mengira batasan kaum,”katanya.

Program julung kali itu berjaya menarik penyertaan 30 rakit melibatkan 310 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat yang bersaing untuk merebut hadiah bagi kategori Rakit Berhias dan Rakit Laju.

Johan bagi Kategori Rakit Laju dimenangi Pasukan Citra Sari (Beladau Kepong), tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Pemuda Beladau Kepong dan JKKK Kampung Banggol Cempedak. Hadiah kepada pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, YB Haji Alias Abdullah.

Sementara tempat pertama bagi kategori Rakit Berhias dimenangi JKKK Beladau Selat, manakala tempat kedua, JKKK Banggol Kemang dan ketiga Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu DUN Alor Limbat.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Trivecosta Negeri, Dato’ Wan Zahari Wan Ngah. Pemenang bagi kedua-dua kategori mendapat RM500 (tempat pertama), diikuti RM400 dan RM300 masing-masing bagi tempat kedua serta ketiga.




Program Jaya Diri bantu peserta berdikari

Oleh; Esah Abdullah

Program Jaya Diri (PJD) akan diperluaskan kepada golongan siswazah dan belia lepasan sekolah untuk memberi peluang golongan berkenaan menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Encik Safaruddin Mustaffa berkata, sebagai permulaan jabatan menyasarkan 100 peserta PJD kalangan siswazah yang akan dilaksanakan tahun depan.


“Namun begitu mereka yang berminat boleh membuat permohonan bermula dari sekarang kerana YPK masih mempunyai baki dana peruntukan tahun ini,” katanya.

Katanya, YPK memperuntukkan RM4 juta dana bagi tujuan PJD tahun ini dan sehingga ini seramai 4,360 peserta seluruh negeri telah menerima pinjaman memulakan perniagaan di bawah PJD.

“PJD yang menyediakan pinjaman kepada peserta sebenarnya lebih baik daripada bantuan kerana mampu mendidik seseorang itu berdikari,” katanya.

Selain itu katanya, orang ramai khususnya wanita perlu ambil peluang ini kerana pinjaman kewangan yang disediakan YPK tidak mengenakan faedah dalam urusan bayaran balik kelak.





15 July 2011

Pas sudah tidak relevan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pas yang pemimpinnya kini sudah tidak mempunyai pendirian tidak lagi relevan untuk disokong dan didokong oleh rakyat negeri ini, kata Ketua Penerangan Umno Negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang sebelum ini pernah bersimpati atau menjadi penyokong parti itu secara senyap-senyap, perlu memikirkan semula tindakan mereka kerana perbuatan mereka sia-sia saja.

“Jika selama ini, sesetengah pihak terpengaruh dengan kenyataan pemimpin Pas kononnya mereka memperjuangkan Islam, tetapi keadaan itu sudah tidak berlaku lagi.

“Pemimpin Pas bukan saja tidak bercakap pasal agama sekarang ini, tetapi mereka sudah sanggup bersengkokol dengan DAP yang secara terang-terang menentang Islam,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.

Lebih memalukan, katanya, pemimpin Pas sanggup dipergunakan oleh sekutu-sekutu mereka dalam pakatan pembangkang apabila melanggar arahan pihak berkuasa dan menyertai perhimpunan haram.

“Semua pihak, termasuk mufti telah mengeluarkan pandangan agar umat islam tidak menentang arahan pemerintah dan melakukan tindakan yang boleh mendatangkan musibah kepada umat Islam dan masyarakat negara ini.

“Tetapi, pada masa yang sama ramai pemimpin Pas sanggup mengetepikan pandangan tokoh-tokoh agama dan mufti, sebaliknya menyertai perhimpunan haram yang merugikan banyak pihak,” katanya.

Beliau meminta pengikut dan penyokong Pas meninggalkan perjuangan parti itu yang sudah terpesong jauh dari perjuangan asal mereka dan menyokong kerajaan semasa.

“Kerajaan Terengganu hari ini sedang bertungkus lumus memartabatkan syiar Islam dan memberi keutamaan kepada soal pendidikan anak-anak,’ katanya.

Oleh itu, katanya, tidak ada sebab mengapa segelintir rakyat negeri ini masih menentang kerajaan dan menganggap apa yang dilakukan pemimpin sekarang ini tidak Islamik.

Terengganu juara memanah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Terengganu muncul juara Kejohanan Memanah Isntitusi Pendidikan Agama Peringkat Kebangsaan kali ketiga, yang diadakan di Kem Telaga Batin, Seberang Takir dan berakhir semalam.

Kontinjen tuan rumah yang diwakili lapan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik, menyapu bersih lapan pingat emas yang dipertandingkan sepanjang kejohanan tiga hari tersebut.

Pada kejohanan yang disertai 112 atlet yang mewakili 13 pasukan dari seluruh negara itu, Khairul Anwar Kamarulzaini meraih tiga emas bagi kategori 40 meter lelaki, 30 meter lelaki dan pusingan Olimpik individu lelaki.

Nur Aminul Muhaimin Hamaru pula memenangi pingat emas bagi kategori 30 meter wanita serta pusingan Olimpik wanita manakala Nor Syahirah Hamzah mengungguli emas kategori 40 meter wanita.

Pasukan tuan rumah dengan mudah menewaskan Selangor dan Perak bagi merebut pingat emams dalam kategori pusingan Olimpik berpasukan lelaki dan wanita.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh, petang semalam.
Hadir sama di majlis itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran, Encik Abdullah Md Din.


14 July 2011

Industri songket berdaya maju

Oleh: Esah Abdullah

Usaha berterusan beberapa agensi termasuk Kraftangan Malaysia dan pembangunan koperasi dapat memperkasakan matlamat kerajaan menjayakan halatuju pembangunan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, antara yang dikenal pasti adalah industri songket yang semakin mendapat tempat dipasaran antarabangsa.

Katanya, sehingga ini beberapa syarikat tekstil dari luar negara menunjukkan minat untuk memasarkan produk berkenaan.

“Kita yakin songket buatan rakyat tempatan boleh diterima di negara barat kerana ia sesuai dijadikan pakaian, perhiasan rumah dan cenderahati dengan citarasa dan corak fesyen yang bersesuaian,” katanya.

YB Dato’ Haji Mohamed seterusnya berharap pengusaha songket di negeri ini dapat meningkatkan kualiti dan mutu pengeluaran masing-masing supaya produk mereka dapat dipasarkan di peringkat global.

“Biasalah jika kita mahu orang beli barang kita, pengusaha harus bijak memancing perhatian pelancong dari luar untuk membeli dan membawa pulang barangan ke negara mereka,” katanya.

Katanya, setiap pengusaha juga harus bergabung tenaga dan berganding bahu dalam memajukan industri melalui koperasi dalam usaha meningkatkan rangkaian niaga sesama mereka.




Terengganu tarik pelabur ternak udang



Kerajaan Terengganu sedang menimbang permohonan beberapa pelabur yang berminat untuk melabur dalam bidang ternakan udang di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha'ari Idris, berkata sehingga ini, sekurang-kurangnya enam pelabur dari luar Terengganu memohon berbuat demikian.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang membuat penilaian dan melihat setakat mana kesungguhan pelabur berkenaan untuk melabur di negeri ini.

“Kerajaan negeri memang mengalu-alukan pelabur yang ingin mengusahakan ternakan udang di negeri ini kerana ia boleh memberi pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri perlu berhati-hati dan tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat keputusan berhubung perkara tersebut.
Menurut beliau, setakat ini sebuah syarikat telah dibenarkan menternak udang di Kampung Nyatuh, Setiu, yang melibatkan kawasan seluas 1,000 hektar.

Katanya, syarikat itu sekarang ini sedang di dalam peringkat melatih pekerja dan ia dijangka memulakan operasi September depan.

Beliau berkata, kerajaan negeri meminta pelabur berkenaan supaya mengenal pasti kawasan ternakan yang mereka berminat mengusahakannya.

“Terengganu mungkin akan menjadi pengeluar udang terbesar sekiranya semua permohonan itu diluluskan,” ujar beliau.



Hotel, chalet dan Taman Tamadun Islam antara destinasi pilihan pelancong

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 2,815,184 pelancong direkodkan melawat Terengganu sepanjang 2010 melibatkan 2,528,035 pelancong domestik, manakala 287,149 lagi pelancong antarabangsa.

Daripada jumlah itu, 1,272,896 pelancong memilih untuk menginap di hotel dan resort, diikuti 821,442 mengunjungi Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu bagi menyaksikan 22 replika masjid terkenal di seluruh dunia yang terdapat di taman tema bercirikan Islam pertama di dunia itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pelancong antarabangsa pastinya menginap di hotel dan chalet di sekitar Kuala Terengganu sebelum mengambil peluang mengunjungi taman tema berkenaan.

“Bagaimanpun, bagi pelancong domestik pula kebanyakannya menghabiskan masa melawat Taman Tamadun Islam dalam tempoh beberapa jam sebelum kembali ke tempat tinggal masing-masing tanpa bermalam di hotel atau chalet.

“Selain itu, jumlah pelancong yang tinggi turut direkodkan menginap di pelbagai penginapan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, iaitu 299,871 orang,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, Taman Laut Pulau Redang turut menjadi destinasi pilihan utama pelancong apabila mencatat 110,840 pelawat bermula Februari hingga Ogos lalu, manakala tasik buatan manusia, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dikunjungi 225,570 pelawat dan 81,596 pelawat lagi mengunjungi Taman Laut Pulau Perhentian, Besut.

Sementara itu, 2,969 pelancong domestik serta antarabangsa menginap di enam inap desa atau homestay yang berdaftar di seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu.

“ Seramai 319 orang pelancong antarabangsa direkodkan menginap di inap desa atau homestay yang terdapat di seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, Indonesia mencatat 83 orang, Singapura (80), Sepanyol (50), Amerika Syarikat (36), manakala China, Arab dan Netherlands, masing-masing sembilan orang. Sementara Korea dan Perancis pula empat orang, diikuti masing-masing dua dari Vietnam dan Jerman serta 30 orang lagi dari serata tempat seluruh negara.

Datuk Abdul Rahin berkata program inap desa dapat membantu kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai budaya ketimuran dan adat resam Melayu kepada pelancong tempatan dan juga asing.

Sehingga kini, enam inap desa yang berdaftar dan diiktiraf kerajaan termasuklah Homestay Kampung Pasir Raja, Dungun; Homestay Rhu 10, Setiu; Homestay Felda Selasih, Jertih; Homestay Kampung Buloh, Hulu Terengganu; Homestay Kampung Teluk Ketapang dan Kampung Pulau Duyung, Kuala Terengganu.




TTITC bayar pampasan RM140,500

Oleh: Suriati Ali

Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) membayar pampasan insurans Skim Takaful Malaysia berjumlah RM140,500 kepada seorang ibu tunggal Puan Norafidah Ismail, 26, yang kematian suami akibat kemalangan jalan raya pada awal Mac lalu.

Puan Norafidah yang baru menerima kehadiran orang baru dalam keluarganya bukan sahaja gembira malah terkejut dan terharu apabila sumbangan yang disampaikan sendiri, Pengerusi TTITC , Haji Ahmad Razif Abdul Rahman di kediamannya di Manir, Kuala Terengganu, semalam (13 Julai).

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, berkata dia berharap semua pihak dapat membuat caruman insurans melalui mana-mana agensi dalam usaha meringankan beban sekiranya berlaku sebarang musibah terhadap ahlinya.

“Semua kakitangan TTITC dilindungi skim insurans Takaful Malaysia dan kita dapat menyerahkan cek pampasan ini kepada ahli keluarga terbabit, malah isteri bekas kakitangan TTITC ini juga bakal menerima elaun pencen berjumlah RM2,000 sebulan melalui tuntutan daripada Perkeso,” katanya.

Puan Norafidah berkata, dia amat berterima kasih kepada Takaful Malaysia yang menguruskan pemberian cek itu dan akan menggunakan wang itu sebaik mungkin terutamanya untuk kegunaan dia serta anaknya pada masa akan datang.

"Saya akan gunakan wang pampasan itu sebaik mungkin bagi menampung keperluan kami dua beranak.dan mungkin akan membuka perniagaan kecil-kecilan selepas ini kerana sebelum ini saya tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Allahyarham yang telah dua tahun berkhidmat di pusat latihan itu turut meninggalkan seorang anak lelaki yang berusia 30 hari.

Dalam nahas pada 16 Mac lalu, kira-kira jam 7.35 pagi itu, arwah yang bekerja sebagai tenaga pengajar di TTITC terbunuh apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di kilometer 137 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu, Kampung Felda Belara dekat sini.

Ketika kejadian Ahmad Afendie Othman, 26, dari Kampung Gong Badak di sini, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Kampung Teris, Hulu Terengganu.



Kesal dengan tindakan menghina lagu Negaraku

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri kesal dan kecewa berhubung isu penghinaan lagu Negaraku yang didakwa dilakukan pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi laman sosial Facebook.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, Sains Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sebagai seorang rakyat Malaysia yang setia kepada negara perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya kita perlu bekerjasama dan mematuhi undang-undang sedia ada agar kesejahteraan negara sentiasa terjamin.

Katanya, pihaknya sudah meminta laporan lengakap daripada UMT berhubung perkara yang berlaku itu dan kepastian penglibatan pelajar UMT masih belum dapat diputusankan lagi memandangkan siasatan sedang dilakukan.

“Sekiranya betul ia melibatkan pelajar UMT maka kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya dan kecewa dengan apa yang berlaku, tidak kira lah sama ada dilakukan oleh pelajar atau pun individu lain.

“Kita seharusnya menjadikan jadikan saluran media alternatif yang ada sekarang ini terutamanya melalui laman sosial sebagai satu medan menyalurkan maklumat yang betul, bukannya tempat menyebarkan fitnah dan mengelirukan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, seorang individu yang menggunakan nama profil Mohd Farizal dengan status sebagai pelajar UMT telah mengubah lirik lagu Negaraku dalam laman sosialnya dengan menghina raja, mencerca dan mempersendakan lagu tersebut selain turut menghina Perdana Menteri.

Satu laporan polis sudah dibuat pendaftar UMT di Balai Polis Gong Badak supaya perkara itu dapat disiasat pihak berwajib.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah UMT berharap kebebasan yang diberikan kerajaan digunakan dengan sebaik mungkin dan pengendali laman sosial perlu mengikut etika serta garis panduan ditetapkan agar tidak mencetuskan sentimen yang mampu menganggu gugat keamanan negara.

Justeru, pengedali blog mahupun laman sosial perlu menulis dengan penuh tanggungjawab dan berhati-hati dalam usaha memastikan peranan mereka mampu membina kemajuan negara bukannya meruntuhkan negara.


1Malaysia Hijau, 1Malaysia Bersih di Air Terjun Cemerong esok

Oleh: Aida Abd Rahman

Program 1Malaysia Hijau, 1Malaysia Bersih anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu di Hutan lipur Air Terjun Cemerong, Dungun selama dua hari bermula esok.

Penganjuran program mendapat kerjasama kerajaan negeri serta Jabatan Perhutanan dan Persatuan Kembara Negara.

“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai implikasi ke atas industri pelancongan dan membuka minda setiap rakyat Malaysia agar sama-sama menjaga kebersihan dan memastikan Malaysia sentiasa bersih dan indah.
“Selain itu, ia juga bagi mengekalkan kebersihan dan keindahan tempat-tempat pelancongan, sekaligus akan menarik minat dan perhatian pelancong tempatan atau luar negara untuk melawat berulang kali ke tempat berkenaan,” kata Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani, dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Sepanjang program berlangsung, peserta akan menetap bersama keluarga angkat di inap desa Kampung Pasir Raja, satu penempatan tradisional yang masih kekal terpelihara dengan keindahan alam semula jadinya.

Selain tinggal dengan keluarga angkat, peserta turut dijemput mengikuti program `Mount Berembun Green Challenge 2011’ yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM19,700 kepada peserta.

Dengan ketinggian 1,108 meter, Gunung Berembun yang terletak di kawasan Hutan Lipur Sungai Chemerong dalam Hutan Simpan Pasir Raja, Dungun turut mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara setinggi 305 meter.

Secara teknikalnya, pertandingan lasak ini memerlukan peserta mengharungi larian bermula dari Air Terjun Chemerong ke `check point’ yang ditetapkan penganjur mengikut kategori yang terbahagi kepada tiga, iaitu terbuka lelaki/wanita (18 tahun ke atas), terbuka veteran lelaki (45 tahun ke atas) dan tertutup Terengganu lelaki/wanita (13 tahun ke atas).

Sementara itu, yuran penyertaan bagi kategori lelaki/wanita terbuka RM60, veteran lelaki terbuka RM 40 dan tertutup Terengganu lelaki/wanita pula RM30.

Pada masa yang sama, pelbagai acara sampingan diadakan bagi memeriahkan pertandingan termasuk pameran dan jualan, cabaran fotografi, lawatan kembara bersama media, sukan rakyat, acara` flying fox, abserling, rope challenge’, selain pertandingan mewarna dan juga cabutan bertuah.