Oleh: Suriati AliKerajaan negeri bercadang membina menara terapung di Gua Bewah, Tasik Kenyir bagi memudahkan pelancong melawat lokasi itu secara dekat terutama berkaitan penemuan rangka manusia berusia 16,000.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kajian untuk membina menara setinggi tiga tingkat yang berharga kira-kira RM15 juta itu sedang dijalankan oleh sebuah syarikat swasta dan dijangka siap tidak lama lagi.
Katanya, oleh kerana masalah mendapatkan bekalan elektrik di kawasan berkenaan , pembinaan menara yang turut menyediakan tangga bergerak itu akan menggunakan tenaga solar atau hybrid.
``Pembinaan tangga bergerak penting untuk membolehkan pelancong melawat Gua Bewah dan artifak di dalamnya dengan keadaan selamat kerana keadaan persekitaran licin dan gelap, ‘’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikian Seminar dan Pameran Arkeologi Terengganu di Kompleks Muzium Negeri di sini, petang semalam (25 September).
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said dan Pengarah Muzium Negeri, Haji Mohd Yusof Abdullah.
Bagaimanapun katanya, keputusan itu belum dimuktamadkan lagi kerana ia memerlukan kajian yang mendalam terutama mengenai kestabilan struktur bangunan di samping kemungkinan kawasan tersebut ditenggelami air.
Katanya, jika kerajaan negeri berpuas hati kesemuanya ianya akan dilaksanakan pada tahun depan kerana Gua Bewah akan menjadi satu lagi tarikan pelancongan di Tasik Kenyir dengan keunikannya tersendiri terutama pelancong luar negara.
Menurutnya, penemuan rangka manusia atau digelar sebagai `Bewah Man’ pada November lalu merupakan rangka tertua pernah ditemui di negara ini dan sudah tentu ia akan menjadi daya tarikan pelancong untuk melihatnya.
``Rangka yang ditemui di Gua Bewah itu lebih tua berbanding rangka manusia yang ditemui di Perak berusia 13,000 tahun dan bermakna rangka yang ditemui di Gua Bewah adalah yang tertua di negara ini,’’ ujarnya.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, penemuan rangka manusia zaman pra sejarah itu membuktikan wujudnya kawasan penempatan manusia di zaman Mesolitik di kawasan tersebut.
Beliau berkata, bagaimanapun pada masa ini Gua Bewah yang menjadi lokasi penemuan rangka manusia itu ditutup kepada orang ramai bagi membolehkan kerja-kerja mengali artifak dilakukan di kawasan berkenaan.
Katanya, ianya dijangka dibuka kepada orang pada awal tahun depan apabila kerja-kerja mengali artifak dan menaik taraf siap termasuk pemasangan penutup kaca di kawasan tersebut bagi tujuan keselamatan terhadap artifak yang sangat bernilai itu.