Halaman

30 October 2011

300 anggota TUDM sedia dikerah bantu mangsa banjir

Oleh: Mohammad Ishak


Acara tarik tali penutup Hari Keluarga TUDM Gong Kedak, semalam


Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Gong Kedak, dekat Jertih, menyertai agensi dan jabatan lain bagi meembantu mangsa banjir jika bencana itu berlaku di negeri ini.

Komandernya,Brigedier Jeneral Mohd Faudzi Ahmad, berkata pihaknya sudah bersiap sedia untuk mengerahkan anggota terbabit berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Katanya, seramai 300 anggota dan pegawai pasukan keselamatan yang dilatih khas oleh TUDM akan ditugaskan untuk menyertai agensi penyelamat lain jika berlaku bencana banjir.

Selain itu, katanya, TUDM juga turut menyediakan pelbagai peralatan logistik termasuk bot, trak dan jaket keselamatan untuk tugasan menyelamat.

Beliau berkata, bagi kemudahan pemindahan pasukan itu juga menyediakan dewan khas untuk penempatan mangsa banjir.

“Anggota kami sudah bersedia dan akan bertindak segera sebaik menerima arahan dari Jawatankuasa Bencana Banjir peringkat daerah dan negeri,” katanya selepas majlis Hari Keluarga TUDM semalam.

Bagi tujuan itu, pihak berkuasa menyediakan 347 pusat pemindahan banjir yang mampu menempatkan 51,700 mangsa, berbanding 48, 192 orang pada tahun lalu.

Sebanyak 98 pusat perpindahan disediakan di daerah Besut, Setiu (35), Hulu Terengganu (78), Kuala Terengganu (25), Marang (23), Dungun (52) dan Kemaman (36).

Seramai 11,082 mangsa banjir mampu ditempatkan di Besut, Setiu (2,738), Hulu Terengganu (8,640), Kuala Terengganu (7,300), Marang (4,100), Dungun (9,615) dan Kemaman (8,270).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut merasmikan program berkenaan.




Masjid dan surau terbaik negeri dicari

Oleh; Esah Abdullah

Terdapat 21 buah masjid dan surau seluruh negeri layak menyertai ‘Pemilihan Masjid dan Surau Terbaik’ anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) tahun ini.

Penolong Pesuruhjaya (Qaryah) Bahagian Pengurusan Masjid JHEAT, Encik Mohd Rusydi Mansor berkata, setiap daerah mencalonkan dua masjid iaitu kategori masjid kerajaan dan masjid mukim serta sebuah surau untuk diadili di peringkat negeri.

“Setiap masjid dan surau yang memenuhi lapan aspek ditetapkan pihak penganjur akan terpilih untuk penyertai ke peringkat negeri pula,” katanya kepada Teganukita.

Secara keseluruhan katanya, penekanan diberi terhadap kebersihan, keceriaan, pengurusan serta pengimarahan masjid di kalangan penduduk tempatan.

Katanya, rombongan panel hakim akan turun kesetiap masjid dan surau yang dicalonkan oleh Pejabat Agama daerah-daerah dan hanya yang memperolehi markah 80 peratus dan ke atas sahaja akan diadili di peringkat negeri.

Menurut Encik Mohd Rusydi, tempat pertama kategori masjid kerajaan dan masjid mukim akan menerima wang tunai RM5,000, RM4,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga) manakala karegori surau RM3,000 (pertama) RM2,000 (kedua) dan RM1,000 (ketiga).

Pengumuman dan penyampaian hadiah akan diadakan serentak dengan majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri yang dijangka berlangsung pada 27 November depan.




29 October 2011

'Saya harap penyokong Terengganu tidak membenci saya' - Hairuddin

Oleh FAUZI MOHD


Tuah anak Terengganu, Hairuddin Omar berjaya membawa Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia edisi ke-85 setelah menang tipis ke atas Terengganu 2-1 pada aksi akhir di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.



Penyerang Vateran itu membuktikan dia membawa tuah kepada pasukan bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah apabila jaringannya pada pada minit ke-86 membuatkan penyokong skuad Penyu tergaman kaku.

Di hadapan lebih 70,000 penyokong kedua-dua pasukan, Hairuddin melengkapkan kemenangan dengan penyudah lipatan gunting ke sudut kanan gawang Terengganu hasil hantaran lintang daripada pemain tengah, Muhamad Shukor Adan.


Walaupun anak buah Irfan Bakti Abu Salim itu mara lebih awal dengan kelebihan satu gol menerusi Mohd. Ashaari Samsudin pada minit ke-59, ia tidak bertahan lama apabila skuad Hoben Jang Hoben menyamakan kedudukan hasil jaringan S.Kunalan pada minit ke-81.

Lebih membanggakan, pemain yang berasal dari Setiu itu turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir itu.



Ia merupakan kejayaan kali ketiga buat dirinya menjulang trofi berprestij itu, yang sebelum ini bergelar juara ketika bersama Kelantan pada 2010 dan Negeri Sembilan pada 2009.

Kejayaan sebentar tadi merupakan kali ketiga buat Negeri Sembilan bergelar juara Piala Malaysia selepas memenanginya pada tahun 1948 dan 2009.



Menyedari ramai yang kecewa dengan jaringan kemenangannya, Hairuddin turut memohon maaf kepada semua penyokong skuad Penyu yang menyaksikan perlawanan dan yang berada di Terengganu.

"Saya meminta maaf kepada mereka. Saya faham mereka tentu kecewa dengan kekalahan ini. Saya harap penyokong Terengganu tidak membenci saya.

"Saya harap mereka faham saya adalah pemain Negeri Sembilan dan komited dengan pasukan yang saya wakili," katanya.








Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat menyampaikan Piala Malaysia kepada pasukan Negeri Sembilan.



Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hassan dan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek.

3,200 pelajar Kelas Fardhu Ain (KAFA) di Terengganu hadir Majlis Khatam Al-Quran guna E-Book.

Oleh: Mohammad Ishak


HEBAT..pelajar daerah Besut guna E-Book pada majlis khatam Al Quran


Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung serentak di seluruh negeri Terengganu hari ini mencatat sejarah apabila 3,200 daripada 20,133 pelajar Kelas Fardhu Ain (KAFA) menggunakan sistem elektronik E-Book ketika membaca ayat suci Al-Quran.

Kaedah itu menjadikan pelajar Terengganu menjadi negeri pertama yang berjaya mengadaptasikan teknologi perisian Al-Quran dalam E-Book di Malaysia dalam sistem pengajaran dan pembelajaran.

Program anjuran Jsupayaabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan Kerajaan Negeri berlangsung dengan meriah yang diadakan di seluruh negeri hari ini.

Di Besut majlis serupa berlangsung di Masjid Masiruddin Shah dan disertai 3,149 pelajar dan daripada jumlah itu 400 peserta menggunakan E-Book.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut,merasmikan program berkenaan.

Dr A Rahman berkata, seluruh rakyat Terengganu patut bangga kerana negeri ini menjadi perintis dalam pembangunan E-Book dan memanfaatkanya kemudahan yang disediakan untuk kemajuan agama.

Beliau berkata, pelajar kini mendapat faedah dari kemudahan teknologi berkenaan dan ini dilakukan secara seimbang antara ilmu sains dan teknologi serta agama.

“Usaha yang dilakukan keraaan negeri sudah pasti memerlukan kerjasama dan sokongan ibu bapa bagi mempastikan anak-anak Terengganu terus cemerlang dalam semua bidang termasuk pendidikan,” katanya.




Khatam a-Quran catat rekod Malaysia

Oleh: Suriati Ali

Seramai 20,133 pelajar Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang menyertai Majlis Khatam al-Quran secara serentak di Terengganu diiktiraf sebagai teramai di negara ini sekaligus mencatat dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).

Majlis itu diadakan secara berasingan di tujuh daerah di mana Kuala Terengganu mencatatkan bilangan 6,326 pelajar paling ramai, diikuti Besut (3,149), Marang (2,744), Setiu(2,311), Dungun (2,024), Hulu Terengganu (1,910) dan Kemaman pula mencatatkan 1,670.



Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB. Khazan Che Mat, berkata bermula tahun depan kerajaan negeri mensasarkan seramai 30,000 pelajar Kafa mampu khatam al-Quran dengan baik.

“Pihak kami yakin dengan adanya program seumpama ini, setiap pelajar di Terengganu dapat khatam al-Quran sebelum memasuki sekolah menengah,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran Pelajar Kelas al-Quran dan Fardu Ain, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Di majlis itu, seramai 3,200 daripada 6,326 pelajar membaca beberapa surah berpandukan al-Quran digital menerusi e-Book.




Terengganu pasukan bagus, Negeri Sembilan terumbang ambing - Azraai Khor

Oleh FAUZI MOHD

JURULATIH Negeri Sembilan, Mohd.Azraai Khor Abdullah menganggap Terengganu sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Malaysia pada final malam ini, berdasarkan prestasi skuad Penyu musim ini.

Menganggap Terengganu merupakan pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia, beliau berkata, rekod menjuarai Piala FA dan keupayaan muncul naib juara Liga Super, membuktikan skuad Penyu merupakan pasukan yang lebih konsisten.

"Terengganu sebuah pasukan yang bagus. Mereka merupakan juara Piala FA dan naib juara Liga Super. Ia menunjukkan mereka adalah sebuah pasukan yang mantap.

"Berbanding Negeri Sembilan, kami agak terumbang-ambing dalam saingan Liga Super dan Piala FA, namun kami tidak mahu itu dijadikan sebagai alasan bagi menghadapi Terengganu.

"Memandangkan ini merupakan perlawanan akhir, kami akan memberikan segala-galanya jika mahu menang, tiada lagi pilihan lain, " kata Azraai pada sidang media sempena perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.

Anak Adun Jertih hafaz 30 juzuk al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Anak Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang juga Adun Jertih, Mohd Solahuddin muncul salah seorang daripada dua pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putera Ulul Albab yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Anak keempat Dato' Seri Idris Jusoh itu berjaya menghafaz dalam tempoh singkat memandangkan ketika belajar di Sekolah Menengah Imtiaz Besut dari tingkatan satu hingga tiga sebelum ini, dia telah menghafaz 24 juzuk al-Quran.

Menurutnya, walaupun pelajar tingkatan empat dan lima sekarang masih belum terikat dengan program MRSM Ulul Albab yang mewajibkan pelajarnya hafaz al-Quran, tetapi disebabkan minat mendalam dia mengambil masa antara solat Maghrib hingga Isyak untuk menghafaz al-Quran.



“Selain waktu itu, saya turut menghafaz al-Quran awal pagi sebelum dan selepas solat Subuh,” katanya yang turut cemerlang dalam akademik dengan mendapat kelas pertama.

Dia ditemui selepas Majlis Graduasi ke-13 MRSM Kota Putera Ulul Albab di Dewan Ulul Albab sekolah berkenaan yang disempurnakan Adun Kota Putera Muhammad Pehimi Yusof.

Seramai 338 pelajar tingkatan tiga dan lima terlibat dalam majlis graduasi itu.

Selain dua pelajar tingkatan lima, seramai 24 pelajar tingkatan tiga dan dua pelajar tingkatan dua sekolah berasrama penuh itu berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran.

Menurut Pengetua MRSM itu, Abdullah Abd Rahman, dua pelajar tingkatan dua berkenaan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran hanya dalam tempoh setahun tujuh bulan hasil kesungguhan mereka selain komitmen guru terbabit.

Katanya, jadual pembelajaran sekolah ini memang ketat iaitu pelajar tingkatan satu hingga tiga mula berlatih menghafaz al-Quran seawal jam 5.30 pagi.

“Aspek pemakanan turut diberi penekanan apabila antara menu wajib di sekolah ini ialah madu, susu segar dan buah kurma,” katanya.

Sementara itu pelajar keseluruhan terbaik yang menerima anugerah khas dalam majlis graduasi itu termasuk Nurfarahiyah Che A Halim, anak Pengetua MRSM Besut yang memperoleh Timbunan Purata Nilai Gred (TPNG) 3.99.

Majlis graduasi kelmarin turut mencatat sejarah tersendiri kerana enam daripadanya merupakan anak pengetua MRSM menerima sijil masing-masing termasuk Nuffarahiyah Che A Halim.

Lima yang lain ialah masing-masing seorang anak pengetua MRSM Kota Putera sendiri, MRSM Kuala Krai, Kuala Berang, Pengkalan Hulu dan MRSM Grik serta seorang anak Pengarah Mara Kelantan.

Dua anak Muhammad Pehimi iaitu seorang tingkatan tiga dan lima turut menerima sijil masing-masing.






TIEP sedia kemudahan kelas pertama dunia

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Taman Ekuestrian Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong yang menjadi gelanggang beberapa kejohanan ekuestrian, mempunyai kemudahan untuk pertandingan tersebut kelas pertama bertaraf antarabangsa.

Sehubungan itu, Pengarah Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI), Ian William, berkata pihaknya mencadangkan lebih banyak kejohanan bertaraf dunia diadakan di TIEP pada masa depan.

Beliau berkata, banyak negara berminat menganjurkan kejohanan ekuestrian yang bertaraf dunia, tetapi mereka tidak mampu menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan.

“Terengganu memiliki kemudahan ekuestrian kelas pertama bertaraf dunia di mana ia amat jarang dimiliki negara lain.

“Trek kejohanan kuda lasak yang terdapat di TIEP mendapat pujian peserta yang menyertai beberapa kejohanan yang diadakan di sini sebelum ini,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di TIEP baru-baru ini.

Selain kejohanan Sultan Mizan Cup yang menjadi acara tahunan di TIEP, ia juga pernah menjadi tuan rumah kepada kejohanan FEI dua tahun lalu dan disifatkan antara tuan rumah terbaik kejohanan tersebut.

Ian William berharap pihak berkenaan mengurus TIEP dengan baik bagi memastikan ia terus menjadi antara gelanggang ekuestrian terbaik di dunia.

1,140 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan terima watikah

Oleh: Mohammad Ishak


Seramai 1,140 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih dan Kuala Besut akan menerima watikah perlantikan masing-masing pada 31 Oktober ini.

Pegawai Daerah Besut, Encik A Rahim jusoh berkata majlis yang akan diadakan secara berasingan itu turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit.

Katanya, majlis di Kuala Besut akan diadakan di Peabat Penyelaras DUN Kuala Besut jam 9 pagi dan akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut.

Manakala bagi DUN Jertih ia akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, am 2.30 petang dan akan dirasmikan oleh ADUN Jertih,Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi MARA.

A Rahim berkata, dengan adanya watikah perlantikan itu diharap semua jawatankuasa JKKK di daerah Besut akan dapat menjalankan tugas dengan lebih bersemangat dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, kelewatan menyampaikan watikah kepada semua jawatankuasa terbabit berlaku berpunca daripada masalah penyusunan semula jentera JKKK di seluruh negeri dalam usaha kerajaan untuk memantapkan lagi sistem pengurusan organisasi berkenaan.

Bagaimanapun, saya percaya walaupun berlaku kelewatan ia tidak menjejaskan urusan pentadbiran JKKK di kawasan masing-masing kerana Pengerusi terbabit tetap meneruskan tugas seperti diarahkan Pejabat Daerah.

"Tanggungjawab JKKK kini semakin mencabar kerana banyak rancangan kerajaan untuk pembangunan sosial memelukan kerjasama JKKK bagi menjayakan misi kerajaan," katanya.


PBSNT diarah siasat diri sendiri

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diarahkan menyiasat segera dakwaan bahawa terdapat orang dalam persatuan itu menjadi dalang menyalurkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia kepada ulat tiket.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat berkata, tindakan tegas akan diambil jika perkara itu didapati benar-benar berlaku.

Beliau berkata, perbuatan ingin mengaut keuntungan mudah dengan menjual tiket yang telah disubsidi kerajaan negeri itu menyusahkan banyak pihak serta menimbulkan kekecohan di kalangan penyokong bola sepak.

"Saya kesal jika benar perkara ini berlaku, dan siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi memastikan kesahihan dakwaan berkenaan, dan kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang terlibat,” katanya.

YB. Rozi berkata, perkara sebegitu tidak wajar berlaku kerana pengagihan turut dilakukan di seluruh 32 Dewan Undangan Negeri dan lapan Parlimen, dengan setiap kawasan diperuntukkan 500 tiket.

"Kerajaan negeri memberi subsidi sebanyak RM25 bagi tiket perlawanan akhir kepada rakyat negeri ini untuk membolehkan lebih ramai yang datang untuk menyokong dalam perlawanan akhir nanti,” katanya.



Selasa lepas, Terengganu mengumumkan pemberian subsidi sebanyak 50 peratus untuk 30,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan harga tiket sebanyak RM50.

Bagaimanapun, ia menimbulkan kekecohan apabila tiket berkenaan habis dalam tempoh dua jam pada hari pertama ia dijual Rabu lepas.