Halaman

07 November 2011

MB turun padang korban DUN Kijal

Oleh FAUZI MOHD
Gambar HARISH FADZILLAH


Biarpun Hari Raya Aidiladha disambut sederhana tetapi hari kedua perayaan itu tetap meriah dengan umat Islam di masjid, surau, kampung dan kawasan perumahan sibuk menjalankan penyembelihan lembu, kambing dan kerbau.

Walaupun cuaca sekali sekala hujan ditambah dengan padang yang becak, ibadah korban di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Kemaman masih rancak.



Di DUN berkenaan, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said menyumbangkan tujuh ekor lembu dan dua ekor kerbau untuk diagihkan kepada masyarakat sekitar.

Di Kampung Teluk Kalong, Kijal, Dato' Seri Ahmad turun padang menyaksikan ibadah berkenaan di mana beliau menyumbangkan dua ekor kerbau.


Sejurus selepas itu, Menteri Besar yang ditemani isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud ke Masjid Pantai Penunjuk, Kijal untuk bersama penduduk dalam menyempurnakan ibadah korban itu.

Pada majlis itu, Dato' Seri dan To' Puan Seri turut mengagihkan daging korban kepada kira-kira 150 penerima yang terdiri daripada warga emas, golongan miskin, anak yatim dan penduduk sekitar.















YPU dan SME Bank tangani MoU

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan mengadakan kerjasama dengan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana malayssia Berhad (SME Bank) bagi menyalurkan pembiayaan SkimPembiayaan Ekonomi Desa (SPED).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji A. Razak Sulaiman berkata, pembiayaan SPED adalah di bawah dana keusahawanan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Program ini bertujuan merialisasikan Flagship Keusahawan Terengganu seperti T’Shoppe, T’Kafe, T’Kraf dan T’Lodge,” katanya kepada Teganukita.

Tambahnya bagi maksud kerjasama itu, satu perjanjian persefahaman (MoU) antara SME Bank dan YPU telah disediakan bagi pelaksanaan SPED.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka menjadi saksi pada majlis berkenaan yang diadakan pada Rabu ini jam 1.45 petang bertempat di tingkat 18, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.




1,000 warga Besut hadir Majlis Jamuan Rakyat Aidiladha

Oleh: Mohammad Ishak



Sambutan Aidiladha di daerah Besut tahun ini dimeriahkan dengan Jamuan Rakyat dan pengagihan daging korban kepada masyarakat Islam sekitar daerah itu semalam.

Program anjuran UMNO Bahagian Besut yang berlangsung di Medan Selara Bandar Jerih memberi peluang kepada masyarakat Islam dan bukan Islam menjamu selera . Dua ekor lembu yang tidak dikorbankan bagi membolehkan bukan Islam menyertai program itu turut disembelih untuk jamuan.

Lebih 1,000 masyarakat Islam termasuk lima pemimpin UMNO Bahagian berkenaan hadir meraikan jemputan sambil mengagihkan daging korban.

Antara yang hadir ialah Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh (ADUN Jertih), Timbalan Ketua Umno Bahagian, Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut), Naib kertua, Muhammad Pehimi Yusof (ADUN) Kota Putera, Setiausaha Bahagian, Dr A Rahman Mokhtar (ADUN Kuala Besut),

Bendahari, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin (Ahli Parlimen Besut), Ketua Pemuda,Mahadi Musa, Ketua Wanita, Engku Naimah Engku Taib dan Ketua Puteri, Che Senah Deraman.

Sebanyak tujuh ekor lembu sumbangan wakil rakyat kawasan berkenaan termasuk dua sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), disediakan untuk majlis jamuan dan daging korban yang diasingkan.

Setiausaha Umno Bahagian, Dr A Rahman berkata, program yang diadakan di tempat terbuka itu mendapat sambutan penduduk setempat kerana ia berlangsung di pusat bandar memudahkan orang ramai menghadiri majlis itu.

“Pada tahun ini semua wakil rakyat kawasan Besut sepakat mengadakan majlis setempat bagi memberi peluang rakyat hadir dan bertemu semua pemimpin,” katanya.





Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Marang anjur pertandingan boling


Oleh : Amirullah Othman

Bertemakan “1 Jiwa 1 Hati Bersama Komuniti Bersih Tanpa Dadah”, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Marang (AADK) menganjurkan pertandingan boling, baru-baru ini.

Pertandingan itu melibatkan 50 peserta yang terdiri daripada orang kena pengawasan (OKP) daerah Marang dan jawatankuasa pemulihan dadah daerah Marang.

Program tersebut yang dijalankan di Pusat Boling Terengganu Equesterian Resort (TER), bertujuan merapatkan hubungan antara OKP daerah Marang dan Jawatankuasa
Pemulihan Dadah Daerah Marang dan memastikan gejala penyalahgunaan dadah di daerah itu dapat dibendung.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Penolong Pegawai Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Marang, Encik Norizuan Ngarif.

Program itu berjaya menyuntik semangat dan rasa dihargai di kalangan OKP dari AADK Daerah Marang.

Mengikut peraturan sedia ada, OKP tersebut perlu melapor diri ke AADK daerah Marang sebulan sekali.

Keputusan UPSR pertengahan bulan ini

Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dijangka diketahui pertengahan bulan ini.

Lembaga Peperiksaan Malaysia dijangka mengumumkan keputusan peperiksaan itu pada minggu terakhir, sebelum sesi persekolahan 2011 berakhir pada 17 November depan.

Jika Terengganu mampu mengekalkan rekod sebagai negeri terbaik bagi peperiksaan tersebut tahun ini, bermakna negeri ini menjadi juara UPSR seluruh negara buat tahun ke-11 berturut-turut.

Mengikut rekod Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), pada tahun ini, seramai 23,250 calon menduduki peperiksaan UPSR melibatkan 373 buah pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, Kuala Terengganu mencatatkan calon tertinggi seramai 7,763 calon, Kemaman (3,780 calon), Besut (3,515), Dungun (3,055 calon), Marang (2,182), Hulu Terengganu (1,547) dan Setiu (1,408).

Bilangan calon yang menduduki peperiksaan tahun ini meningkat sedikit berbanding 23,154 calon pada tahun lalu.

Berdasarkan peperiksaan percubaan baru-baru ini, para pelajar yang menduduki peperiksaan itu menunjukkan keputusan yang amat cemerlang.

06 November 2011

Maidam bentuk tiga jawatankuasa pengkaji resolusi

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan berbincang mengenai 20 resolusi yang telah diputuskan pada mesyuarat Majlis Agama Islam Malaysia yang bersidang baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, Maidam negeri telah membentuk tiga jawatankuasa pengkaji revolusi sebelum mengemukakan kepada pihak urusetia iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa di peringkat negeri baru-baru ini yang akan meneliti secara mendalam 20 resolusi berkenaan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

Menurutnya, tiga jawatankuasa kecil berkenaan merangkumi tiga perkara iaitu pendidikan, ekonomi dan undang-undang untuk duduk berbincang serta mengkaji kerasionalan resolusi.

Beliau menambah pihak urusetia memberi tempoh hingga 30 November depan bagi setiap negeri menghantar rumusan dan keputusan yang dicapai di peringkat masing-masing.

“Pihak Jakim akan membuat keputusan untuk menerima pakai sepenuhnya atau sebahagian resolusi dalam mesyuarat jawatankuasa khas pelaksanaan yang diputuskan bersama,” katanya.





LENSA TEGANUKITA - Aidiladha di Terengganu

Oleh HARISH FADZILLAH




















Program Gerbang Kerjaya di IKBN Wakaf Tapai 12 November

Oleh FAUZI MOHD

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, akan manganjurkan Program Gerbang Kerjaya dan Hari Bertemu Pelanggan pada 12 November ini.

Timbalan Pengarahnya, Khalib Umat, berkata program sehari di institut berkenaan bertujuan mendedahkan remaja mengenai kursus-kursus di IKBN di samping pelbagai maklumat mengenai kerjaya.

Dalam satu kenyataan, beliau memberitahu, program yang turut melibatkan penyertaan pihak industri itu membolehkan pencari kerja melalui sesi temuduga yang akan diadakan.

Katanya, program itu turut diisi dengan pameran kursus IKBN, pameran syarikat swasta, ceramah peluang kerjaya dan permohonan kemasukkan ke IKBN Wakaf Tapai sesi 2012.

"Pengunjung juga berpeluang melawat ke bengkel kemahiran yang terdapat di IKBN Wakaf Tapai bagi memberikan gambaran kursus serta kemudahan yang ada di institut itu," ujar beliau.

Sehubungan itu, Khalib berharap belia di negeri ini tidak melepaskan peluang yang disediakan khusus buat mereka.

10,000 bunga Krathong dihayutkan di Sungai Ibai

Oleh FAUZI MOHD

Lebih 10,000 bunga Krathong dihayutkan di Sungai Ibai, Kuala Ibai, di sini sempena perayaan Pesta Loy Krathong 1Malaysia peringkat negeri, malam tadi.

Perayaan yang mauk tahun ke-12 itu disertai kira-kira 12,000 pengunjung pelbagai bangsa termasuk yang meraikannya, masyarakat Siam dari Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Perlis serta negara Thailand.



Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Toh Chin Yaw yang hadir merasmikan program itu berkata, perayaan itu akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Terengganu bermula tahun depan bagi tujuan promosi yang lebih agresif.

Katanya, ia bukan sahaja mempelbagaikan kebudayaan berbilang kaum di Malaysia, malah memupuk perpaduan lebih erat serta sikap prihatin melalui kempen membeli bunga Krathong sambil beramal.



"Bunga yang dihayutkan itu dibeli dengan harga RM10 setiap satu dan sebahagiannya hasil jualannya akan disumbangkan kepada Tabung Kebajikan Banjir Negara Thailand," katanya.

Perayaan anjuran Persatuan Loy Krathong Daerah Kuala Terengganu itu turut dihadiri Ahli Dewan Negara yang mewakili masyarakat Siam negara ini, YB. Senator Boon Som Inong.

Perayaan penganut Buddha keturunan Siam itu bagi menunjukkan rasa berterima kasih kepada Dewi Air dengan menghayutkan ribuan bekas berbentuk bunga teratai yang dihiasi bunga, lilin, colok dan duit syiling.

Keturunan itu percaya bahawa bunga Krathong mampu menghayutkan dosa, nasib malang dan penderitaan apabila dibebaskan ke laut bersama kuku atau rambut yang dipotong.

Tambah Dato' Chin Yaw, dengan adanya perayaan itu di sini, rakyat khususnya lebih 500 masyarakat Siam di Terengganu tidak perlu berbelanja besar untuk ke Thailand bagi meraikan perayaan itu setiap tahun.

"Kerajaan negeri turut bersetuju dan memberi sokongan bagi merealisasikan kewujudan Pusat Kebudayaan Siam yang menjadi platfom untuk menyemarakkan budaya dan kesenian masyarakat itu di sini," ujarnya.



Pada majlis itu, Dato' Chin Yaw turut menyampaikan sumbangan kepada Tabung Kebajikan Banjir Negara Thailand, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Wakaf Tapai dan SJKC Chung Hua Wei Sing masing-masing berjumlah RM2,000.


Usul Kota Putera dijadikan nama ibu daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak


Majlis Kebudayaan Daerah Besut (MKDB), mencadangkan nama “Kota Putera” dijadikan sebagai Ibu Daerah Besut bagi menggantikan Kampung Raja yang diguna pakai sekarang.

Yang Dipertua MKDB, Yusof Kassim berkata, cadangan itu diputuskan selepas usul mengenainya diluluskan tanpa bahas pada mesyuarat agung tahunan ke 32 badan itu yang berlangsung di Balai Budaya Kampung Raja, Besut, semalam.

Katanya, nama Kampung Raja yang digunakan sejak dahulu sudah tidak releven lagi kerana menampakkan ciri-ciri ke kampungan sedangkan ia sebenarnya sudah bertaraf sebuah Bandar Baru.

Bagaimanapun,katanya Kampung Raja yang dijadikan pusat pentadbiran daerah sejak zaman British masih boleh diguna pakai sebagai Kampung Tradisional untuk kawasan sekitarnya sahaja.

Mengambil contoh Kampung Buluh asalnya pusat pentadbiran bagi daerah Setiu, kenapa tidak nama Kota Putera yang lebih komersil dan dijadikan Ibu Daerah Besut yang baru.

“Malah Kota Putera kini lebih sinonim dengan panggilan rasmi apabila kawasan berkenaan sudah diwartakan sebagai salah satu Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Yusof seorang aktivis budaya dan politik berkata, sudah sampai masanya pigak terbabit khususnya Kerajaan Negeri mewartakan Kota Putera sebagai pusat pentadbiran daerah dan Ibu Daerah Besut.

Beliau mendakwa, genarasi muda masa kini sebenarnya tidak tahu Kampung Raja sebagai ibu daerah ini, sebaliknya jika bertanyakan mereka semua menjawab “Bandar Jertih” adalah ibu bagi daerah Besut.

Sehubungan itu, beliau akan mengemukakan usul berkenaan kepada pihak berwajib untuk dipertimbangkan demi bagi kesejahteraan rakyat dan pembangunan selaras dengan slogan Kerajaan Negeri “Merakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran”.