Halaman

18 November 2011

Pelayar TESA ungguli 'Laser Dinghy' Regatta KFC Terbuka Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Regu pelayar dari Persatuan Pelayaran Terengganu (TESA), Mohd. Sollehudin Ismail, 19, dan Mohd. Fathudin Salleh, 19, menjuarai kategori 'Laser Dinghy' Regatta KFC Terbuka Terengganu 2011 di Pulau Duyong, Kuala Terengganu hari ini.

Perlumbaan maraton mengelilingi Pulau Duyong sejauh 18 kilometer itu membolehkan gandingan dari Penarik, Setiu itu membawa pulang wang tunai RM600 serta medal dengan menewaskan Sheikh Abdul Somad Saidi, 16 (kedua) dan Azri Suhaimi, 19 (ketiga).

Tempat kedua dan ketiga pelayar dari TESA itu masing-masing membawa pulang wang tunai RM300 dan RM200 yang disampaikan Penasihat Kejohanan Piala Monsun, Dato' Peter Gilmour. Turut hadir, Naib Presiden I Persatuan Perlayaran Malaysia (MYA), Dato' Wan Hisham Wan Salleh.

Bagi kategori 'Optimist', pelayar Persatuan Perlayaran Kedah, Mohd. Isan Ali, 15, diumumkan juara selepas menewaskan dua pelayar dari Persatuan Perahu Layar Melaka Bandaraya Bersejarah iaitu Ahmad Khairulhafiz A. Khmbali, 15 (kedua) dan Nur Qhudrat Yusop, 17.

Juara tunggal kategori 'Windsurfing' diraih Muhd. Faqih Mohd. Arshad, 15 dari Persatuan Perahu Layar Pahang.

Paling membanggakan, semua peserta berjaya menamatkan perlumbaan dengan masa terpantas 1 jam 14 minit dengan kelajuan angin monsun 4.5 not, arus dari dua aliran sungai di Muara Sungai Terengganu serta hujan.

Kejohanan tiga hari anjuran KFC, TESA, MYA dan Majlis Sukan Negara itu disertai oleh 89 pelayar muda berusia lapan hingga 19 tahun dari 10 pasukan termasuk Persatuan Perlayaran Tentera Laut Diraja Malaysia dan semua persatuan pelayaran negeri dari Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan.

Acara yang masuk musim ketiga itu melibatkan enam kelas perlumbaan iaitu 470, Laser Radial, Laser Standard, International 420, Luncur Angin serta Optimis dan sebelum ini ia dianjurkan di Penarik, Setiu dan Batu Buruk.

Sementara itu, Dato' Wan Hisham dalam ucapannya memberitahu, bermula tahun depan seramai 300 pelayar tempatan dari seluruh negara akan dipilih untuk menjadi pemerhati dalam kejohanan perlayaran, Piala Monsun.

Katanya, program tajaan KFC dan MYA itu bagi memberi pendedahan acara perlayaran sebenar yang bertaraf dunia bagi menaik taraf sukan ini ke tahap yang lebih tinggi serta mempromosi pelayaran sebagai acara sukan penting di Malaysia.

T-Team uji pemain import Brazil

Oleh FAUZI MOHD

Pemain Zambia, Sashi Chalwe merupakan yang pertama diuji pasukan T-Team dalam rangka pengisian pemain import dalam menghadapi Liga Malaysia 2012.

Jurulatihnya, Yunus Alif berkata, selepas ini, T-Team akan menguji beberapa pemain dari Argentina, Cameroon dan Brazil dalam usaha mencari pemain import terbaik untuk pasukan itu.

"Kita akan menguji pemain import ini satu demi satu supaya kita benar-benar dapat pemain yang import yang berkualiti dan baik,” katanya.

Mengenai pemain Zambia itu Yunus berkata, setakat ini beliau sukar untuk menilai prestasinya kerana pemain itu baru tiba di sini dua hari lepas dan baru diuji semalam.

Sehubungan itu, katanya, T-Team mengatur beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan bola sepak di Terengganu sebagai gelanggang menguji pemain tersebut.

Besut muncul daerah terbaik dalam UPSR

Oleh; Esah Abdullah

Daerah Besut muncul daerah terbaik bagi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan hari ini apabila mencatat kelulusan semua A sebanyak 23.9 peratus.



Daerah berkenaan mencatatkan keputusan lebih baik berbanding Putrajaya yang mencatat keputusan semua A sebanyak 20 peratus.

Sejumlah 3,515 calon dari sekolah rendah daerah Besut menduduki peperiksaan itu tahun ini di 50 pusat peperiksaan.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud mengumumkan bahawa Terengganu terus mengungguli tangga teratas bagi pencapaian keputusan UPSR tahun ini.

“Kita berjaya mengekalkan kedudukan sebagai juara 11 tahun berturut-turut apabila sekali lagi mencatat keputusan terbaik UPSR tahun 2011,” katanya daam sidang media di pejabatnya hari ini.

Daripada keseluruhan 23,250 calon yang menduduki peperiksaan itu tahun ini, 15.6 peratus mendapat keputusan semua A, iaitu meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding tahun lalu (15.4 peratus).




Ibu tunggal Terengganu aktif sertai PCIT

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 6,343 ibu tunggal di Terengganu aktif menyertai Program Cakna Ibu Tunggal (PCIT) yang diwujudkan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sejak tahun lalu.

Penglibatan golongan itu dalam PCIT bukan saja dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah malah mampu memberi, sokongan, galakan dan menyuntik semangat baru supaya terus berdikari meningkatkan ekonomi keluarga.

Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa, berkata PCIT mampu membuktikan keberkesanannya kerana sehingga kini mampu menghimpunkan lebih 6,000 ibu tunggal yang kematian suami atau bercerai dalam satu kumpulan.

“Melalui program ini, YPKT dapat membantu melalui pelbagai aspek termasuk berkaitan ekonomi, undang-undang, bimbingan kaunseling, hubungan kekeluargaan, bimbingan kesihatan dan pendidikan anak-anak,” katanya.

Katanya, pada masa sama kursus kemahiran internet dan pembangunan e-Perniagaan yang diselia khas oleh beberapa pegawai di bawah Program Bengkel Latihan Jendela Industri Kecil dan Sederhana turut dianjurkan bertujuan meningkatkan daya kreativiti berkaitan teknologi maklumat.

“Apabila mempunyai kemahiran berkaitan itu, mereka mampu mempromosi pelbagai jenis perniagaan atau produk yang dimiliki secara meluas melalui laman sesawang,” katanya.



17 November 2011

Sekolah jangan potong wang pelajar -JPNT

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Pelajar Negeri Terengganu (JPNT) memberi amaran kepada pentadbiran sekolah di negeri ini agar menyerah RM100 wang bantuan persekolahan kepada pelajar atau ibu bapa sebagai wakil.



Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Encik Razali Daud berkata, kerajaan telah memutuskan bantuan berkenaan untuk digunakan oleh pelajar bagi tujuan memberi peralatan sekolah dan bukannya untuk bayar hutang sekolah.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana sekolah jika bertindak diluar arahan yang dibuat oleh kerajaan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Katanya, JPNT telah memberi taklimat awal-awal lagi kepada semua pentadbiran sekolah dan wang ini adalah untuk pelajar dan tidak membenarkan sama sekali jika ada sekolah yang ingin mengurangkan jumlah berkenaan,” katanya

Menurut Encik Razali, setakat ini pihaknya tidak menerima apa-apa laporan tentang pemotongan wang untuk pelajar dan berharap semua urusan penyerahan yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah sekarang berjalan lancar.

Walau bagaimanapun katanya, jika ada terima laporan pelajar terima tidak cukup RM100, saya akan pastikan pihak sekolah bayar balik wang tersebut kepada pelajar,” katanya.




Terengganu kekal juara 11 tahun berturut-turut UPSR

Oleh: Esah Abdullah

Terengganu mengekalkan kedudukan sebagai juara 11 tahun berturut-turut dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), apabila sekali lagi mencatat keputusan terbaik UPSR tahun 2011, yang diumumkan hari ini.



Daripada keseluruhan 23,250 calon yang menduduki peperiksaan itu tahun ini, 15.6 peratus mendapat keputusan semua A, iaitu meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding tahun lalu (15.4 peratus).



Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud berkata, pencapaian cemerlang itu berkat kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa, guru dan pelajar bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

“Al hamdulillah, tahun ini kita terus kekal di tangga teratas dan dengan pencapaian juga meningkat kepada 15.6 peratus berbanding 15.4 peratus tahun lalu,” katanya pada sidang media di pejabat JPNT hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPNT, Encik Hashim Mat Zin; Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Encik Shukor Awang dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Haji Mohd Zuber Embong.



Encik Razali berkata, tahun ini seramai 3,548 pelajar mendapat semua A dalam mata pelajaran menunjukkan peningkatan 0.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada tahun ini, 23,250 calon dari 348 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Kebangsaan Jenis (Cina) (SKJC) menduduki peperiksaan di 362 pusat peperiksaan seluruh negeri.

“ Peperiksaan tahun ini juga mencatat peningkatan dalam keputusan pencapaian minimum C iaitu 4.3 peratus daripada 66.8 kepada 71.1 peratus pencapaian terbaik berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pencapaian tertinggi bagi keputusan minimum C iaitu 69.7 peratus pada tahun 2007, tetapi tahun ini Terengganu memperolehi pencapaian 71.1 peratus di mana ia merupakan keputusan yang amat membanggakan.



Katanya, analisa yang diumumkan ini tidak mengambilkira calon dari sekolah swasta dan juga calon keperluan khas (pekak, rabun) yang turut mencapai keputusan terbaik di mana dua pelajar mendapat semua A dan tiga orang dapat 4A 1B.




209 kanak-kanak hadir majlis konvensyen Tabika Kemas DUN Bukit Payong 2011

Oleh : Amirullah Othman

Seramai 209 pelajar tabika menerima sijil dalam Majlis konvensyen Kanak-kanak tabika Kemas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, di Dewan Sivik Bukit Payong, semalam.

Majlis anjuran KEMAS Daerah Marang itu dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda.

Dalam ucapannya, beliau meminta ibu bapa memainkan peranan yang cemerlang tanpa jemu bagi sama-sama mendidik untuk memastikan kecemerlangan anak-anak secara berterusan.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa supaya jangan menjadikan alasan faktor kewangan sebagai modal anak-anak mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, Kerajaan Terengganu yang diterajui Barisan Nasional sangat proaktif untuk mengesan setiap nadi rakyat. Ini terbukti apabila pelbagai bantuan dan dana diperkenalkan seperti bantuan baju sekolah, bantuan melanjutkan pelajaran ke IPT, Pusat Kemahiran dan Sekolah Berasrama Penuh.

Selain itu, pada dalam majlis tersebut juga disampaikan Anugerah Kanak-kanak Cemerlang seramai 52 murid.

Di DUN Bukit Payong terdapat 25 buah tadika dan sebuah Taska. Majlis itu turut menyampaikan anugerah kanak-kanak pintar Al-Quran seramai 41 orang yang melibatkan 14 buah kelas tadika.


MB mahu jumpa penulis blog di mahkamah

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad nekad mahu mengambil tindakan undang-udang terhadap penulis blog yang menfitnah beliau walaupun terdapat di kalangan mereka sudah memohon maaf secara terbuka.

Katanya, dia tidak akan memaafkan mereka kerana yang dilakukan itu cukup mengaibkan dirinya dan keluarga. Jika saya memaafkan mereka, bermakna senanglah kalau ada lagi penulis yang memfitnah orang, kemudian tampil minta maaf, selepas itu bebas.

“Itu sangat tidak adil bagi pihak yang telah menabur fitnah perlu bertanggungjawab dan menerima hukuman sewajarnya, saya serah semua ini kepada pihak polis.

“Selepas polis selesai menjalankan siasatan, saya akan melantik peguam dan jumpa dimahkamah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, penulis-penulis itu mahu musnahkan reputasi dan kerjaya saya dan sekarang sudah tiba masanya kita jumpa di mahkamah.

“Ahmad menolak dakwaan penulis blog itu kononnya beliau berkahwin kali ketiga dan mengaitkannya dengan isu tangkap khalwat. Saya tidak berkahwin kali ketiga,” katanya.

Menteri Besar sebelum ini dilaporkan bercadang untuk membuat laporan polis dan menyaman dua pemilik laman blog yang dikatakan memfitnah dirinya berhubung isu beliau dikatakan telah ditangkap basah sebelum ini.

Ahmad merujuk dua dua blogger itu ialah pemilik blog http://msomelayu.blogspot.com/ dan guanopulok.blogspot.com yang didakwa memfitnah beliau sejak tiga bulan lalu.

Tambah Dato’ Seri Haji Ahmad, pihaknya juga telah mengenalpasti pemilik blog itu sebagai blog 'mso' manakala sebuah lagi blog iaitu 'guanopulok' masih lagi disiasat kerana blog tersebut dipercayai telah didaftarkan di California.

Dalam laporan pada 4 Oktober lalu, pemilik blog guanopulok.blogspot.com mendakwa Menteri Besar itu telah 'ditangkap' oleh seseorang di Hilton Sentral.

Menurut cerita dalam blog itu, isteri ketiganya itu yang berumur sekitar 40-an merupakan bekas isteri ahli perniagaan yang juga bekas isteri kerabat Diraja Terengganu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin mengesahkan telah menerima laporan berhubung perkara itu.

"Saya tak boleh ulas panjang mengenai perkara itu tapi kita akan siasat kes tersebut di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya.


Hepatitis A tidak jejas sektor pelancongan Tasik Kenyir

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri Terengganu yakin wabak penyakit Hepatitis A di beberapa kampung di Hulu Terengganu tidak akan menjejaskan sektor pelancongan di Tasik Kenyir.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata ini kerana wabak itu tidak melibatkan kawasan lain di daerah Hulu Terengganu.

"Kita percaya virus ini tidak menjejaskan sektor pelancongan di Tasik Kenyir," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ecxo, semalam.

Beliau berkata setakat ini, virus itu dikesan di Kampung Basoh, Pasir Dula dan Padang Setebu yang menyebabkan 42 orang terpaksa dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Virus ini dikesan di Kampung Basoh, Pasir Dula dan Padang Setebu yang menyebabkan 42 orang dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Pada peringkat awal, wabak itu berlaku di perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Berua, menyebabkan penduduknya berpindah ke atas bukit,” katanya.

Beliau berkata secara kebetulan, kawasan bukit itu merupakan sumber air yang dibekalkan beberapa kampung termasuk tiga yang terlibat dengan wabak berkenaan.

"Jadi, kemungkinan ada pembuangan najis dan sebagainya yang menyebabkan virus atau kuman itu merebak ke kawasan terlibat," katanya.

Dato’ Seri haji Ahmad juga berkata ketika melawat kampung terlibat semalam, beliau mendapati penduduknya menggunakan air bukit walaupun mendapat bekalan air bersih yang disediakan Syarikat Bekalan Air Terengganu (SATU).

“Selain itu, air yang mereka minum tidak dimasak terlebih dahulu dan dibuat ketulan ais, katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan kawasan wabak agar memasak air sebelum meminumnya


16 November 2011

i-Heal bersedia untuk terbang tinggi


Pembedahan pintasan (bypass surgery) yang dilakukan oleh pakar pembedahan jantung, Dr. David Khoo Sin Keat di iHEAL selama kira-kira empat jam bagi membuat penggantian tiga salur darah jantung sebelah kiri dan kanan (vena dan arteri)pesakit, Loke Keng Weo, 57 tahun, yang tersumbat. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh FAUZI MOHD

Walaupun langkahnya tidak sampai setengah tahun, i-Heal Medical Centre Kuala Lumpur kini dikatakan sudah berada dalam status pusat perkhidmatan kesihatan pakar pilihan.

Setelah melakar sejarah dalam pembedahan jantung pertama pada 13 Oktober lalu dan kali kedua pada 3 November, i-Heal hari ini membuktikan kemampuannya untuk terbang lebih tinggi dalam menawarkan rawatan kesihatan.

Pengarah Kesihatan i-Heal, Dr. David Khoo Sin Keat berkata, pembedahan pintasan (bypass surgery) selama kira-kira empat jam itu bagi membuat penggantian tiga salur darah jantung sebelah kiri dan kanan (vena dan arteri) Loke Keng Weo, 57 tahun, yang tersumbat.


Katanya, tiga salur darah bersaiz 1.8 hingga 2 milimeter dari peha kiri dan kanan pesakit sepanjang 10 hingga 13 sentimeter digunakan untuk membuat pintasan dan satu salur darah pada bahagian rongga dada disambung terus ke jantung kanan.

"Pembedahan ini bagi memulihkan pengaliran darah ke bahagian jantung pesakit dimana salur darah jantung kanan tersumbat 100 peratus manakala dua salur darah sebelah kiri antara 60 hingga 80 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada krew wartawan Teganukita selepas mengetuai pembedahan itu di i-Heal Medical Centre di pusat membeli belah Mid Valley, Kuala Lumpur, hari ini.




Pusat kesihatan itu dibangunkan dengan modal RM28 juta oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu (LTAWT) yang menguasai 60 peratus kepentingan sahamnya dan baki 40 peratus lagi oleh Biomedical Technologies Sdn. Bhd. dan pengasasnya iaitu Sin Keat sendiri.

Tambah Sin Keat, pembedahan menjadi lebih cepat dengan penggunaan alat pengimbas, CT Scanner yang mampu menghasilkan 640 'slice 4D' dan ia adalah yang tercanggih di dunia dan pertama di Malaysia.

Katanya, dengan kemudahan teknologi i-Heal, tiada pembedahan dilakukan untuk mengesan masalah jantung tersumbat dengan menggunakan CT Scanner.







"Dengan teknologi kamera pembedahan, kaki tidak perlu dibelah untuk mengambil salur darah tanpa melibatkan masa operasi yang lama.

"Apa yang menarik di i-Heal, pembedahan ini tanpa menggunakan pam bagi menggantikan fungsi jantung dan paru-paru masa operasi. Salur darah dijahit dalam keadaan jantung sedang berdegup," katanya yang berpengalaman membedah jantung lebih 1,000 kali tanpa pam.