Halaman

13 December 2011

Aktiviti laut di Terengganu berbahaya

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk kerja di pelantar minyak di negeri ini adalah berbahaya memandangkan keadaan laut bergelora buat masa ini, menurut Stesen Meteorologi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam (12 Disember).

Jurucakap stesen itu berkata, angin kencang timur laut selaju 60 kilometer sejam dan ombak setinggi melebihi 5.5 meter dijangka berterusan sehingga 17 Disember ini.

Katanya dalam masa yang sama berlaku air pasang sehingga 13 Disember.

Sementara itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata gelombang kedua banjir mula berlaku di Terengganu apabila seramai 196 dari 41 keluarga di Besut dipindah.

Mereka ialah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkalan Atap Kuala Besut dipindahkan ke balai raya kampung itu.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran bagaimanapun berkata paras air sungai utama di Terengganu tidak menampakkan tanda-tanda mencemaskan.

"Semuanya berada dalam keadaan stabil dan tidak membimbangkan setakat ini," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, kesemua 196 penduduk Kuala Besut yang diarah berpindah itu masih tidak dibenarkan pulang.

Ini kerana ombak besar dan air laut pasang seperti yang berlaku semalam dijangka akan berlaku lagi malam ini, kata anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar.

Ekoran ombak setinggi empat meter yang membadai pantai di situ, dua benteng ombak yang dibina berhampiran perumahan berkenaan runtuh.

Katanya, pihak keselamatan kini diletakkan di kawasan berkenaan bagi memantau keadaan dan memberi laporan tentang keadaan semasa.


KWDI sambut hari keluarga sambil kacau bubur asyura

Oleh; Esah Abdullah

Kelab Wisma Darul Iman (KWDI) bersama tujuh kelab yang bernaung di bawahnya akan mengadakan gotong royong mengacau bubur asyura di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu pada Jumaat ini.

Program ini diadakan bersempena ketibaan bulan pertama dalam kalendar Islam iaitu Muharam 1433H yang sinonim dengan sebutan bulan asyura oleh penduduk tempatan.

Sehubungan itu, KWDI turut mengadakan sambutan hari keluarga pada keesokkannya (Sabtu) yang dijangka dihadiri kira-kira 2,500 orang penjawat awam beserta ahli keluarga masing-masing.

Penyertaan tujuh kelab seperti Kelab Helang, Rajawali, Permata, Pebendaharaan, Niners, Kejora dan Urus akan mengacau sekurang-kurangnya 14 kawah bubur asyura manakala sukaneka, pertandingan karaoke dan cabutan bertuah memeriahkan suasana.

Selaku Pengerusi KWDI, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah sentiasa memberi ruang dan peluang kepada warga kerjanya untuk bersantai bersama rakan seperjuangan dan ahli keluarga.

Selain itu hari keluarga yang disambut setiap tahun juga mengeratkan hubungan silatulrahim antara penjawat awam yang bertugas di Wisma Darul Iman serta ahli keluarga yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan kakitangan terbabit.




Penduduk Terengganu gembira dengan kepulangan Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah

Oleh: Suriati Ali

Seluruh penduduk Terengganu gembira dengan keberangkatan pulang Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah selepas menyempurnakan kewajipan sebagai Seri Paduka Baginga Yang di-Pertuan Agong ke-13 dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Hampir 15,000 rakyat jelata membanjiri sepanjang jalan di bandar raya ini bagi menyambut keberangkatan balik baginda berdua, semalam (12 Disember).

Mereka yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, warga Institusi Pengajian Tinggi Awam, pelajar serta murid sekolah setia berada di sepanjang laluan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) hingga Istana Maziah iaitu sejauh 16.2 kilometer.

Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 pada 12 Disember mencatat pelbagai pencapaian cemerlang sepanjang lima tahun menjadi ketua negara.

Baginda merupakan antara Raja Melayu termuda menaiki takhta sebagai Sultan Terengganu pada usia 36 tahun pada 1988, dan menjadi Yang di-Pertuan Agong kedua termuda pada usia 44 tahun selepas Almarhum Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail yang menjadi Yang di-Pertuan Agong pada usia 41 pada 1961.

Tuanku Mizan, 49, juga menjadi Yang di-Pertuan Agong yang pertama menaiki jet pejuang Sukhoi SU-30MKM yang dipandu pada kelajuan supersonik, iaitu melebihi kelajuan bunyi, selama 45 minit mengelilingi ruang udara Pulau Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang pada 7 Februari 2011.

Pada 10 Mac 2011 pula, Seri Paduka Baginda menaiki KD Tunku Abdul Rahman, kapal selam negara yang pertama, dan menyelam pada kedalaman maksimum operasi di Laut China Selatan, serta melakukan simulasi tembakan terhadap sasaran dari kapal selam jenis Scorpene itu.

Sepanjang pemerintahan baginda, Tuanku Mizan turut membantu mempereratkan hubungan antara Malaysia dan negara luar. Selain menerima kunjungan pemimpin asing, baginda turut mengadakan lawatan ke beberapa negara asing.


Penduduk datang awal bagi menyambut kepulangan Tuanku Mizan

Oleh: Suriati Ali

Lebih 1,000 penduduk tempatan setia menunggu sejak jam 10 pagi lagi, semata-mata ingin melihat upacara Keberangkatan Pulang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah secara dekat.

Mereka yang berada di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu terpegun dengan upacara yang diadakan kerana penuh adat istiadat diraja.

Sebaik Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah selamat tiba, kira-kira jam 2.02 petang dengan pesawat khas di LTSM, mereka tidak putus-putus merakam gambar walaupun berada di lokasi yang agak jauh.

Seorang pengunjung, Halijah Omar, 68, dari Kampung Binjai Manis, Manir, berkata dia bersama empat ahli keluarga lain, terpaksa datang awal kerana bimbang tidak sempat untuk melihat upacara yang penuh bersejarah itu.

“Makcik yang sebelum ini hanya menonton sebarang upacara adat istiadat Diraja melalui televisyen, cukup gembira dan berpuas hati kerana dapat melihat sendiri upacara itu secara dekat,” katanya yang pertama kali melihat upacara seumpama itu.

Pengunjung dari Batu Rakit, Mohd Tarmizi Zanuddin, berkata dia tidak akan melupakan upacara yang dilihat hari ini kerana hanya berlaku dalam tempoh lima tahun sekali dalam negara ini.

Katanya, dia yang lebih awal, sanggup menunggu dalam tempoh lama, demi memenuhi kehendak keluarga terutama tiga anaknya sangat teruja dan tidak sabar-sabar untuk hadir..

“Pada masa sama, terima kasih diucapkan kepada kerajaan negeri kerana sudi menyediakan makanan kepada orang ramai,” katanya.


Produk Ayamas di T-Shoppe

Oleh FAUZI MOHD

Produk yang kini dipasarkan di Kedai Ayamas, anak syarikat KFC Holdings (Malaysia) Bhd. (KFCH) akan dijual di rangkaian kedai serbaneka, T-Shoppe, pada akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamed Awang Tera berkata, ia hasil daripada rundingan yang disepakati bersama KFCH sebelum ini.

"Selain produk Ayamas, kita telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 60 produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) untuk dijual di T-Shoppe bermula akhir tahun ini juga.

"Justeru itu, saya harap dengan adanya produk seperti ini, T-Shoppe mampu bersaing dengan kedai-kedai serbaneka lain," katanya semasa menghadiri majlis penutup 'UMT YoungPreneurs' di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta dalam bentuk bantuan untuk diagihkan kepada usahawan-usahawan kecil termasuk penjaja mulai tahun depan.

"Peruntukan itu telah diluluskan, namun kita masih belum pasti kaedah bantuan tersebut akan disalurkan sama ada menerusi YPU (Yayasan Pembangunan Usahawan) atau UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri).

"Ini kali pertama program bantuan seperti itu dilaksanakan dan kita harap ia dapat membantu para usahawan yang memerlukan," katanya.


12 December 2011

YDP Agong berangkat ke majlis santapan petang di Istana Maziah

Oleh; Esah Abdullah



Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail di Istana Maziah disambut dengan kumpulan nobat mengiringi kereta dari pintu gerbang hingga ke perkarangan istana.



Mengiringi keberangkatan baginda berdua ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar, Dato’ Ibrahim Muhamad selaku pegawai pengiring.



Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah tiba di Istana Maziah jam 3.15 petang untuk majlis santapan petang bersama pembesar-pembesar negeri bersempena keberangkatan balik setelah menyempurnakan kewajipan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong X111 dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.



Turut berangkat bonda baginda, Tengku Puan Besar Terengganu dan nenda Tengku Ampuan Intan Zaharah beserta anakanda baginda iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra.



Majlis santapan dimulakan diiringi muzik gamelan dan lagu Negara Ku dimainkan sebaik sahaja majlis santapan selesai.








Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah disambut meriah

Oleh: Suriati Ali



Keberangkatan pulang Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah selepas menyempurnakan perkhidmatan sebagai Yang di Pertuan Agong ke-13 pagi ini, berlangsung dengan penuh istiadat diraja.



Tuanku Mizan yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 26 April 2007 untuk tempoh lima tahun, selamat tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, kira-kira jam 2.02 petang.



Sebaik tiba, baginda berdua yang diiringi Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Haji Ahmad Shabery Cheek selaku menteri pengiring dan isterinya, To’ Puan Seri Che Sharifah Ismail; Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said disambut Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Tertamu kehormat yang turut menyambut kepulangan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, semua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat bersama isteri masing-masing .





Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah kemudiannya ke pentas di Raja bagi menyanyikan lagu `Negaraku’ sebelum berkenan memeriksa barisan Kawalan Kehormatan Utama Batilion ke -18 Rejimen Askar Melayu Diraja yang sertai 106 anggota termasuk tiga pegawai.

Sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan oleh Rejimen Artillery sebagai tanda kepulangan baginda berdua.

Baginda berdua turut meluangkan masa bersalaman dengan kesemua 500 petugas di LTSM, sebelum berangkat ke Istana Maziah, Kuala Terengganu.












KARNIVAL HIJRAH DI TERENGGANU PADA 22 -24 DISEMBER

Kerajaan Terengganu dan Jabatan Perdana Menteri akan menganjurkan Karnival Hijrah 2011 pada 22 hingga 24 Disember ini bertempat di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu, demikian diberitahu oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda.

Antara pengisian karnival itu termasuklah pameran detik-detik kegemilangan Islam, sistem pentadbiran dan pengurusan Islam, perubatan Islam, astronomi dan falak, penyiaran Islam (TV al-Hijrah) dan pameran Merakyatkan Pentadbiiran dan Pembangunan (MPPNT).

Karnival bercorak Islam yang universal ini adalah pertama kali dianjurkan di negara ini bagi tujuan menerangkan tentang kegemilangan Islam dan dakwah yang menepati kaedah masa dan zaman. Temanya ialah “Hijrah 1 Transformasi”.

Sesuatu yang cukup menarik dalam karnival ini Muzium Kesenian Islam akan mempamerkan lampu masjid Mamlik, Replika Pedang Rasulullah, Astrolab, Sfera Bintang dan papan lapis bertulis Bismillahirrahmanirrahim.

Angkasa kedua negara, Mejar Faiz juga dijangka hadir dan menemui para pengunjung di tapak karnival.

Pada 22 Disember Forum Perdana Hal Ehwal Islam akan diadakan di tapak karnival dan disiarkan secara langsung oleh TV Al Hijrah dan di antara panelnya termasuklah, Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong.

Terengganu Berselawat yang bakal diketuai kumpulan Al-Maulid juga diadakan pada 23 Disember dirakamkan oleh TV al-Hijrah untuk siaran.

Manakala pada hari Sabtu 24 Disember Konsert Hijrah diadakan yang bakal menampilkan kumpulan Rabbani, Nora, Yassin dan Opick dari Indonesia yang akan menyanyikan lagu-lagud akwah dan ketuhanan.

Dato’ Wan Ahamad berharap orang ramai di negeri ini di semua peringkat, memberi sambutan yang baik dan datang beramai-ramai ke karnival yang amat istimewa ini kerana negeri Terengganu adalah pilihan pertama Jabatan Perdana Menteri untuk mengadakannya bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Terengganu.

– Ruslan Rahman

Terengganu muncul juara pertandingan lalulintas Peringkat Kebangsaan.

Oleh; Esah Abdullah



Kontijen Negeri Terengganu muncul juara keseluruhan dalam Pertandingan Pendidikan Lalulintas Sekolah-sekolah Malaysia Peringkat Kebangsaan 2011 yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua Kontijen, Penolong Setiausaha Kerajaan (Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri) Encik Nasran Abd. Halim berkata, kontijen negeri diumum sebagai juara bersama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.



“Jawatankuasa pertandingan membuat keputusan berkenaan berdasarkan pungutan mata dalam tiga kategori yang dipertandingkan adalah sama,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, dalam pertandingan berkenaan Terengganu mendapat tempat kedua kategori sekolah rendah dan keempat kategori sekolah menengah dalam tiga kategori yang dipertandingkan iaitu pemandu kereta, penjalan kaki dan penunggang basikal.

Tambahnya, negeri membawa pulang sebuah piala (juara keseluruhan) dan wang tunai RM2,000 beserta hadiah iringan (naib juara) sekolah rendah.

Menurut Encik Nasran, kontijen negeri diwakili 34 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemaman (17 pelajar) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Payoh, Kemaman (17 pelajar).

“Sekolah rendah dan menengah ini merupakan juara keseluruhan dalam Pertandingan Pendidikan Lalulintas SHELL/MJKR/JPNT Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Litar Lalulintas, Taman Bandar Chukai, Kemaman Mei lalu,” katanya.

Pertandingan peringkat kebangsaan diwakili 15 kontijen dari negeri-negeri seluruh negara iaitu Perlis, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Sabah, Sarawak, Pahang, Kelantan, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Terengganu.

“Kita bersyukur dan bangga dengan komitmen dan keupayaan peserta yang mampu bergelar juara keseluruhan setelah bersaing hebat bersama kontijen negeri lain diperingkat akhir,” katanya.




Ashaari gondol tiga Anugerah PBSNT

Oleh FAUZI MOHD

Mohd. Ashaari Samsudin menggondol tiga daripada tujuh anugerah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kelmarin.

Penyerang tengah itu diiktiraf sebagai pemain skuad Penyu paling bernilai dengan kemahiran dan ketangkasan beraksi sepanjang Liga Malaysia musim lalu menerusi Anugerah Terbilang.

Selain itu, dia juga menerima Anugerah Setia Tempatan yang diberikan kepada anak negeri yang kekal bersama skuad penyu sejak tahun 2004.

Anugerah yang sama turut dikongsi dua lagi anak tempatan, iaitu penjaga gol, Mohd. Sharbinee Allawee dan penyerang berbisa, Abdul Manaf Mamat yang mula beraksi pada 2005.

Ashaari turut berkongsi Anugerah Perkasa, iaitu anugerah yang diberikan kepada pemain yang beraksi paling lama di atas padang bersama empat lagi pemain iaitu Sharbinee, Reeshafiq Alwi, Abdul Hadi Yahya dan kapten, Mazuki Yusof.

Mazuki juga menggondol Anugerah Juragan iaitu pemain yang mempunyai sifat kepimpinan dalam pasukan, manakala Abdul Manaf diiktiraf sebagai penerima Anugerah Nelang selepas beraksi cemerlang ketika menentang Kelantan di suku akhir Piala Malaysia biarpun baru kematian bapanya.

Turut menerima anugerah pemain skuad Sukan SEA, Zubir Azmi (Anugerah Pemain Harapan) dan empat pemain luar iaitu Mazlizam Mohamad, Joseph Kalang Tie, Abdul Hadi dan Reeshafiq menerusi Anugerah Setia Luar.

Pada majlis yang sama, PBSNT turut mengagihkan insentif kepada 23 pemain yang membawa Terengganu muncul naib juara Piala Malaysia yang lalu.

Menurut Presiden PBSNT, Dato' Che Mat Jusoh wang itu diberikan mengikut masa dan kekerapan seseorang pemain itu beraksi.