Oleh; Esah AbdullahSaya akan pergi ke setiap buah rumah pelajar yang bermasalah untuk bersemuka antara empat mata dengan pelajar dan juga penjaga mereka.

Itu janji Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dalam usaha menangani  masalah disiplin di kalangan pelajar yang begitu membimbangkan kebelakangan ini.
“Saya terima senarai nama  17 orang pelajar  nakal dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang bakal dikenakan tindakan buang sekolah,” katanya di majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR DUN Seberang Takir di Dewan Sivik Seberang Takir hari ini.
Katanya, tindakan buang sekolah bukan jalan terbaik, kerana dikhuatiri boleh mendatangkan masalah  lebih besar  lagi selepas itu.
"Saya beritahu guru sekolah berkenaan, jangan bertindak lagi kerana saya ingin ke rumah jumpa mereka dan keluarga mereka sekali," katanya.
Adun Seberang Takir itu juga  akan membuat ‘road show’ ke setiap buah sekolah mulai tahun depan bertemu guru, pelajar dan ibu bapa untuk  lebih dekat berbincang  hati ke hati tentang  masalah dan perancangan serta  hala tuju pendidikan negeri.
“Kadang-kadang kita risau dengan fenomena hari ini terdapat  sesetengah  pelajar sudah hilang rasa hormat kepada pemimpin tertinggi negeri, guru dan juga  ibu bapa sendiri akibat terpengaruh dengan dakyah-dakyah songsang,” katanya.
Tambahnya, kerajaan  sudah lakukan segalanya  bagi memastikan   pembangunan pendidikan  mendapat  yang terbaik namun  perubahan minda itu perlu datang dari dalam diri individu sendiri.

YB Haji Ahmad Razif kemudiannya  menyampaikan sumbangan kepada 97 orang pelajar  cemerlang  termasuklah 73 orang mendapat 5A  (UPSR)  manakala 24 pelajar mendapat 8A dan 9A (PMR) yang diumumkan baru-baru ini.

Pelajar  PMR menerima wang tunai RM150 beserta sijil dan  UPSR menerima  RM100 beserta sijil setiap seorang serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah rendah (5 buah) dan sekolah menengah (2 buah) masing-masing menerima wang tunai RM1,000.

