Halaman

12 February 2012

Kerajaan tawar RM15,000 pencipta lagu ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri menawarkan hadiah utama berjumlah RM15,000 kepada mereka yang berjaya mencipta lagu ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Antara syarat penyertaan, lagu ciptaan asal dan tidak melebihi jangka masa empat minit serta boleh menggunakan khidmat penulis lirik tetapi hanya pecipta lagu diterima sebagai peserta.

Ciptaan lagu juga bebas dan tidak terhad manakala penilaian diberikan kepada aspek kreativiti melodi yang bermutu, bernilai komersial dan menepati kriteria penciptaan yang professional serta mempunyai elemen kebudayaan dan kesenian warisan negeri.

Penyertaan juga hendaklah disertakan dalam bentuk CD dengan rakaman suara menggunakan sekurang-kurangnya satu alat muzik iringan dan menyertakan skor/notasi dengan lirik di bawah melodi.

Lagu-lagu yang telah dihantar dan dipilih ke peringkat akhir sahaja akan menjadi hak milik Pejabat Setiausaha Kerajaan.

Penyertaan terbuka kepada semua rakyat di negeri ini berusia 18 tahun keatas yang menetap di dalam atau luar Terengganu.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di pejabat SUKTRA, Bangunan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak atau muat turun melalui laman web www.terengganu.gov.my.

Borang penyertaan hendaklah dihantar kepada Pertandingan Mencipta Lagu ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ , SUKTRA Terengganu, Tingkat Bawah (Pintu Utara) Bangunan Stadium Tertutup, Kompeks Sukan Negeri Terengganu, 21300 Gong Badak, Kuala Terengganu.

Penyertaan pertandingan adalah percuma dan tarikh tutup pertandingan pada 29 Februari 2012. Sebarang pertanyaan boleh hubungi melalui talian 09-6670221.





Masalah lampu – Waktu perlawanan Terengganu, T-Team mungkin diubah

Oleh FAUZI MOHD

Kegagalan mengatasi masalah lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) mungkin akan menyebabkan perlawanan antara pasukan Terengganu dan T-Team diadakan pada waktu petang.

Koordinator perlawanan FAM pada perlawanan T-Team menentang Perak malam tadi, Abd. Ghani Ishak berkata, jika masalah itu berterusan, berkemungkinan perlawanan membabitkan pasukan Terengganu Selasa ini diadakan pada sebelah petang.

"Hasil pemeriksaan di SSINS malam tadi mendapati cahaya lampu limpah di stadium itu tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan FAM iaitu 800 lux untuk perlawanan Liga Malaysia diadakan pada sebelah malam.

"Bacaannya hanya mencapai 500 lux dan ia tidak melepasi piawaian. Saya akan menghantar laporan serta-merta kepada FAM dan keputusannya akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan di seluruh stadium itu dan mendapati setiap sudut di SSINS tidak mempunyai pencahayaan yang cukup.

Stadium perlu mempunyai tahap cahaya lampu limpah minimum 800 lux untuk perlawanan Liga M dan manakala Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menetapkan 1,200 lux sebagai syarat minimum untuk perlawanan Piala AFC.

Kegagalan memenuhi kriteria itu memerlukan perlawanan diadakan pada waktu petang.


Pesta Buku Negeri Terengganu 2012



Antara program yang akan diadakan ialah; Bicara Karya, Pertandingan Jigsaw Puzzle Tahap I dan II, Pertandingan Meneka Muka Surat Buku, Sepetang Bersama Penulis Buku Ombak Rindu - Fauziah Ashari, Melukis dan Mewarna Pra Sekolah, Tahap I dan II, Info Race, Riang Ria Bersama Adik Nur Fathiah (Boboi Boy), Sejenak Bersama Kartunis Ubi, Sembang Pagi Bersama Pakar Motivasi - Amin Idris.

Penjawat awam perlu telus laksana tugas

Oleh: Suriati Ali

Penjawat awam di negeri ini di minta membuang sikap gemar menghentam etika dan dasar yang dilaksanakan kerajaan sebaliknya perlu amanah serta bersikap telus supaya mampu mencapai matlamat yang dihasratkan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dengan sikap mereka yang gemar menghentam kerajaan dan tidak amanah memikul tanggungjawab yang patut digalas.

“Mereka patut sedar wujudnya kerajaan hari ini adalah hasil kejayaan Barisan Nasional (BN) dan bukannya bergantung kepada mana-mana pihak.

“Pada masa sama, sikap gemar menyembunyikan fail patut dikikis bagi mengelak berlakunya `lambakan’ tugasan pada setiap tahun,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Pegawai Tadbir Negeri (TCS) Bersama Menteri Besar di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi, 11 Februari.



Kira-kira 200 TSC dari seluruh Terengganu dirai bagi mengenang tugasan dan jasa mereka kepada masyarat dan kerajaan Terengganu.



Dato’ Seri Haji Ahmad menyampaikan cenderahati khas kepada TCS yang telah bersara.
Beliau turut memberitahu setiap penjawat awam terutama yang berusia 50-an perlu mengamalkan pemakanan sihat di samping membuat pemeriksaan doktor secara berkala bagi mengekalkan kesihatan sempurna.

“Kerajaan negeri sedia membantu bagi mereka yang mengalami masalah penyakit kronik seperti jantung, diabetis dan sebagainya dengan mendapat rawat di Pusat Purubatan i-Heal,” katanya.




Penjawat Awam Perlu Telus Laksana Tugas





Maidam sasar kutipan zakat RM100 juta

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menjangkakan kutipan zakat sebanyak RM100 juta pada tahun ini, berikutan kedudukan ekonomi global yang semakin beransur baik.

Pada tahun lepas, Maidam memperoleh kutipan sebanyak RM88 juta berbanding RM79 juta bagi tahun 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata pihaknya menjangkakan zakat perniagaan dan zakat pendapatan memberi sumbangan paling besar kepada peningkatan kutipan ini.

"Keadaan ekonomi kita bertambah baik, secara tidak langsung perniagaan mana-mana pemilik sama ada syarikat besar atau usahawan kecil bertambah maju. Faktor ini mendorong mereka mengeluarkan zakat lebih tinggi pada setiap tahun.

“Pada masa sama, pihak kami bersyukur kerana timbul kesedaran terhadap kewajipan membayar zakat di kalangan umat Islam,” katanya kepada Teganukita.

Maidam melantik 12 ejen di seluruh negeri untuk mengutip zakat daripada pelbagai agensi termasuk bank, koperasi dan pihak swasta bertujuan memudahkan orang ramai membayar zakat serta menguruskan kutipan.

“Pihak kami masih melantik amil bertauliah untuk mengutip pelbagai kategori zakat sama ada zakat pendapatan, zakat ternakan, zakat tanaman dan zakat emas dan perak.

“Setiap zakat yang diperoleh akan diagihkan kepada lapan asnaf yang layak iaitu faqir, miskin, amil, riqad (pejuang Islam), al-Gharimin (pelbagai), ibnussabil (pengembara), fisabilillah dan muallaf,” katanya.



Teganukita 54




Kerajaan sedia SPKF bantu usahawan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan menyediakan Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) dalam usaha membantu orang ramai menceburi bidang perniagaan francais.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A. Rahman Mokhtar berkata, mereka yang berminat boleh membuat permohonan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan (KPDNKK).

Katanya, skim ini bertujuan membantu melahirkan lebih ramai usahawan dari kalangan berpendapatan rendah dan sederhana yang berminat dengan perniagaan francais.

”Pembiayaan SPKF terbuka kepada semua warganegara berumur 21 tahun ke atas dan tidak melebihi 60 tahun dan kemudahan pinjaman yang disediakan KPDNKK tidak melebih RM50,000,” katanya.

Menurut YB Dr A.Rahman, tiada sebarang cagaran atau penjamin dikenakan cuma perlu menunjukkan surat tawaran daripada francaisor tempatan dan syarikat berdaftar serta tidak perlu ada premis perniagaan.

Tambahnya, pembaiayaan adalah 90 peratus dengan yuran perkhidmatan tiga peratus setahun serta pembiayaan sehingga lima tahun.





Konvoi berbasikal promosi LTdL

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan Terengganu kini mengadakan kempen kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) secara besar-besaran bagi menarik minat rakyat menyaksikan kejohanan berbasikal itu.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Zainal Abidin Hussin berkata kempen kejohanan lumba basikal terunggul di Malaysia itu diadakan melalui program konvoi berbasikal ke daerah-daerah bermula semalam.

"Program empat hari itu akan diadakan dari daerah ke daerah dengan pelbagai aktiviti seperti pertunjukan basikal cantik dan sebagainya," katanya selepas majlis pelancaran program Bulan Berbasikal Terengganu 2012 di Dataran Shahbandar, semalam.

Zainal Abidin berkata, fokus MSN ialah untuk mempromosi LTdL terutamanya pasukan benua, Terengganu Cycling Team (TSG) yang turut mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Katanya, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk menaja kejohanan itu di mana tiga peringkat termasuk penamat perlumbaan adalah di bandar ini.

Program promosi LTdL hari ini bermula dari Dataran Shahbandar ke Hulu Terengganu dengan disertai lebih 100 peserta, diikuti daerah Marang (Khamis), Dungun (Jumaat), Setiu (Sabtu) dan Besut (Ahad).

Sementara itu, di Kuala Berang, Hulu Terengganu, kira-kira 600 peserta konvoi berbasikal menyambut kedatangan konvoi dari Kuala Terengganu di Padang Astaka, diikuti pameran basikal cantik.


Penduduk gotong royong bina rumah ibu tunggal

Oleh: Mohammad Ishak


Dr A Rahman bersama Idris menyertai gotong royong bina rumah ibu tunggal


Pebgerusi Jawatanuasa Kesihatan, Perpduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar memuji sikap sebahagian besar masyarakat di daerah ini yang masih kukuh mengamalkan semangat gotong royong walaupun gaya tuntutan hidup semasa sudah berubah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut itu,, kehadiran beramai-ramai penduduk kampung dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) bergotong royong membina rumah seorang ibu tunggal Zawiah Samad, 59 yang hangus terbakar membuktikan budaya positif itu masih ada dalam diri masyarakat

“Walaupun tuntutan hidup hari ini lebih kepada kebendaan tetapi ada masanya nilai ikhlas untuk menghulurkan bantuan dalam kerja amal dan hidup bergotong royong masih perlu diterapkan.


“Gotong royong melambangkan kemanisan dan kenikmatkan hidup apatah lagi dalam usaha membantu mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.

Beliau turut sama hadir dalam program gotong royong membina rumah baru Zawiah selepas rumah kayunya musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11 malam, 8 Disember lalu.

Hadir sama ADUN Jertih,Datuk Seri Idris usoh merangkap Ketua UMNO Bahagian Besut


Dalam kejadian terbabit , Zawiah sempat mengejutkan anak lelakinya Mohd Syafiq Mohd Yasin, 15, yang sedang tidur di dalam bilik dan lari menyelamatkan diri.

Bagaimanapun Zawiah memberanikan diri masuk semula ke dalam rumah untuk mematikan suiz utama elektrik namun usaha gagal kerana api marak dengan cepat.



T-Team sekat kemaraan Perak ungguli tangga teratas liga

Oleh FAUZI MOHD

Harapan Perak untuk terus menduduki tangga teratas liga berkecai apabila tewas 0-2 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Dua gol T-Team dijaringkan Bojan Petric pada minit ke-56 dan sepakan penalti Zairo Anuar Zailani pada minit ke-88.

Sementara itu, Kelantan kembali menerajui kedudukan teratas Liga Super hasil kejayaan menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu.

Penyerang pasukan “The Red Warriors” itu, Norsharul Idlan Talaha memecah kebuntuan pasukan tuan rumah hasil jaringan pada minit ke-37 menerusi hantaran Mohd Nurul Azwan Roya.

Kelantan kemudiannya menggandakan kedudukan 2-0 menerusi kapten pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi pada minit ke-52.

Gol tunggal Terengganu hadir pada pada minit terakhir perlawanan menerusi jaringan Mohd Ashari Shamsudin.