Gas silinder atau LPG adalah antara barangan komoditi yang menjadi polemik dan isu perbahasan di kalangan semua pihak, khususnya kumpulan penentang kerajaan tanpa mereka membuka mata untuk menilai fakta sebenar asas kepada penentuan harga sesuatu produk mahu pun perkhidmatan.
Walhal, Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno yang menerajui pemerintahan negara ini, memberi subsidi paling tinggi dengan menawarkan harga paling rendah bagi setiap kilogram gas silinder iaitu RM1.90 sahaja berbanding RM2.55 (Indonesia), RM6.42 (Singapura), RM2.99 (Thailand) dan RM5.11 di Filipina.
Subsidi adalah wang yang dibayar oleh kerajaan kepada pengeluar atau penjual sesuatu produk supaya harga runcit produk tersebut rendah berbanding kos sebenar atau harga pasaran.
Kaedah itu merupakan bantuan untuk meringankan beban kepada pengguna,sekaligus bagi menjana pertumbuhan melalui peningkatan daya pengeluaran, menambah kuasa membeli dan mengurangkan inflasi.
Berdasarkan sumber Kementerian Kewangan Malaysia, tanggungan subsidi kerajaan kian bertambah dari tahun ke tahun di mana RM10.32 bilion pada 2010, diikuti RM22.48 bilion pada 2011 dan tahun ini meningkat kepada RM22.52 bilion..
Selain gas silinder, senarai 11 barang kawalan berjadual yang lain termasuk minyak masak, diesel, simen, gula, baja, minyak tanah, ayam, bar bulat keluli lembut, tepung gandum, roti (semua jenis) dan petrol (gasoline motor untuk semua gred).
Pengguna juga mungkin tidak mengetahui bahawa harga tepung gandum jika tanpa subsidi RM1.90 (harga terkini RM1.35), harga beras ST15 sebelum subsidi RM24, berbanding harga semasa RM18, gula sebelum subsidi RM2.50 berbanding selepas subsidi RM2.30 dan minyak masak 1kg kini berharga RM4.75 selepas subsidi RM2.25!
Selain itu, rakyat juga perlu sedar kerajaan menanggung sepenuhnya pembelian buku teks dan segalanya diberi secara percuma atau disubsidikan demi kepentingan serta manfaat rakyat tanpa mengira pelajar di kalangan anak penyokong kerajaan mahu pun pembangkang.
Terbaru, Klinik 1Malaysia yang hanya mengenakan caj RM1 bagi rawatan biasa,selain RM5 bagi rawatan pakar berbanding harga berganda dan lebih tinggi jika mendapat perkhidmatan perubatan di klinik swasta.
Bukan sahaja di Malaysia, isu subsidi berlaku di setiap pelusuk dunia sama ada negara kaya seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah atau negara miskin seperti Mesir.
Di Mesir tercetus rusuhan apabila subsidi roti dikurangkan, manakala di Eropah petani merusuh dengan membinasakan hasil keluaran akibat pengurangan subsidi bahan makanan.
Oleh yang demikian, jika tidak bersandarkan subsidi yang disediakan Kerajaan BN dan Umno, seperti baja dan harga padi, ratusan ribu petani kita akan hidup dalam kemiskinan tegar dan hasil padi atau beras negara pastinya merudum.
Mengikut sifir ekonomi, kita harus saling bekerjasama di mana mereka yang membeli beras membayar harga yang tinggi sedikit dan harga tambahan itu dipindahkan kepada penanam padi sebagai subsidi.
Seorang pengguna yang menerima RM1 subsidi akan membelanjakan duit itu kepada pekedai.. Pekedai sudah pasti membuat keuntungan kerana barang yang dijual dengan kadar harga RM1 itu diperolehnya dengan harga lebih rendah daripada pembekal.
Sementara pembekal pula membeli lebih rendah dari pengilang. Setiap kali duit RM1 itu bertukar tangan, ia menambah kepada nilai ekonomi.
Perlu diingat bahawa harga subsidi ini kerana peranan rakyat yang memilih kerajaan yang prihatin,bertimbang rasa dan rasional dalam memastikan rakyat tidak mendapat kesan daripada kenaikan ekonomi global.