Halaman

16 April 2012

Kakitangan anak syarikat dan GLC usah sabotaj kerajaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kakitangan anak syarikat milik kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta supaya tidak melakukan sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan kerajaan, terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengingatkan kakitangan berkenaan bahawa mereka perlu memberi sokongan dan taat setia kepada kerajaan semasa (Goverment of The Day) serta tidak melakukan sebarang penyelewengan yang boleh menjejaskan kedudukan syarikat masing-masing.

“Saya tahu ada kakitangan anak-anak syarikat kerajaan dan GLC yang menyokong parti pembangkang pada setiap kali pilihan raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Percetakan Yayasan Islam Terengganu dan Penyerahan Cek Sumbangan Kepada Tabung Darul Iman di Riyaz Heritage, malam tadi.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengerusi Percetakan Yayasan Islam Terengganu, Encik Rosli Zakaria dan Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Haji Zainal Abidin Mohamad.

Menteri Besar berkata, kakitangan syarikat milik kerajaan negeri dan GLC sepatutnya bersyukur dan menghargai jasa-jasa pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memberi bantuan bagi memajukan syarikat mereka.

“Kadang-kadang syarikat berkenaan mengalami kerugian, kerajaan negeri tambah dana supaya pekerja tidak diberhentikan dan syarikat boleh meneruskan operasi,” katanya.

Beliau memberikan contoh Percetakan Yayasan Islam Terengganu yang mula beroperasi sejak 1985 mengalami kerugian pada setiap tahun, sebelum mula mencatatkan keuntungan pada tahun 2008.

Mengikut rekod, syarikat itu mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM1.7 juta dari tahun 1985 sehingga tahun 2007. Bagaimanapun, mulai 2008 syarikat itu mula membuat keuntungan dan dalam tempoh tiga tahun (2009 hingga 2011) ia mencatkan keuntungan terkumpul RM5.526 juta.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, dengan usaha gigih pihak pengurusan memajukan syarikat dan komitmen kerajaan negeri membantunya, syarikat itu kini mula mengaut keuntungan dan mampu menyediakan kemudahan lebih baik kepada pekerjanya.

“Saya mahu pekerja syarikat ini serta syarikat GLC yang lain meningkatkan prestasi kerja bagi membantu menambah keuntungan syarikat masing-masing,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, mereka perlu menghindarkan diri daripada kegiatan yang boleh menjejaskan kedudukan kerajaan, sebaliknya terus memberi sokongan kepada kerajaan semasa.

“Bagi pihak kerajaan, kita akan menyediakan segala keperluan bagi memastikan semua rakyat negeri ini, termasuk kakitangan GLC mendapat khidmat terbaik daripada kerajaan,” katanya.


MB serah pada pihak berkuasa

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Said menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan berlandaskan undang-undang terhadap tindakan individu yang membakar bendera Umno dan memotong gambarnya di atas kain rentang.

Jelasnya lagi, tindakan tidak bermoral pihak yang terlibat memberi gambaran bahawa sama ada mereka sakit jiwa ataupun terdesak hingga sanggup melakukan perbuatan sedemikian.

“Saya harap polis menyiasat perkara ini berlandaskan undang-undang dan ini dan selaku orang politik kita tidak boleh takut dengan perkara sebegini sama ada penghinaan ataupun makian.

“Kita berpegang pada pepatah iaitu kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai dan begitulah juga situasi yang terpaksa dilalui orang yang terlibat dalam politik ini,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad, bagaimanapun tidak berhasrat untuk mengambil tindakan secara peribadi terhadap individu atau kumpulan yang terbabit, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Sinar Harian kelmarin melaporkan, Pergerakan Pemuda Umno Cawangan Makam Lama, bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, berikutan kejadian membakar bendera Barisan Nasional (BN) dan Umno yang di pasang di tepi parit tali air di Jalan Kubang Buyong, Chabang Tiga di sini.

Tindakan itu dibuat berikutan kesal dengan kejadian yang dipercayai akibat khianat itu dan laporan polis dibuat bertujuan untuk memastikan individu yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, kain rentang yang memaparkan wajah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang di pasang berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Losong turut dirosakkan.

Gambar wajah Menteri Besar itu telah dipotong dan ditampal pada bunting yangd dipasang berhampiran memaparkan gambar seorang penyanyi popular yang akan membuat persembahan pada satu konsert di Kuala Terengganu.



15 April 2012

Profesor turun padang tingkat kesedaran masyarakat

Oleh: Aida Abd Rahman

Inisiatif kumpulan profesor turun padang menemui masyarakat kampung mampu memberi kesedaran secara langsung kepada masyarakat supaya lebih `celik ilmu’ serta berkongsi maklumat mengenai kepakaran, pengetahuan dan pengalaman dari segi akademik dan profesional dalam pelbagai bidang.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata program yang julung kali dilaksanakan Majlis Profesional Negara (MPN) di Terengganu dengan lokasi pilihan di Kampung Gong Tok Nasek, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok itu harus disokong semua pihak terutama masyarakat kampung.

“Selama ini kita dengar orang politik yang turun padang, tetapi kali ini orang yang berada di menara gading ini sudah mula memberi kerjasama melibatkan diri dalam memberi kesedaran secara langsung kepada masyarakat bawahan yang sesetengahnya tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi.

“Sebelum ini pelajar pengajian tinggi yang selalu berjumpa masyarakat kampung, kini golongan profesor turun melihat sendiri hati nurani rakyat di peringkat bawahan,” katanya di sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Profesor Turun Padang, Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, semalam (13 April).

Hadir sama, Pegawai Pembangunan DUN Batu Burok, Dato' Che Mat Jusoh dan Pengerusi MPN, Prof Emeritus Dato’ Dr Zakri Abdul Hamid.

Menteri Besar berkata, usaha turun padang itu juga mampu memberi peluang kepada kumpulan profesor melihat sendiri penambahbaikan yang boleh diusahakan secara kerjasama dengan kerajaan negeri.

Beliau turut memuji langkah murni MPN kerana berjaya membawa semua profesor yang melibatkan 14 kluster dalam bidang dan kepakaran masing-masing ke kampung itu.

Antara kluster berkenaan ialah pendidikan dan pembangunan modal insan, ekonomi dan kewangan, politik, keselamatan dan hal ehwal antarabangsa, sains dan matematik, kejuruteraan, teknologi dan alam bina, sumber asli dan alam sekitar, industri dan inovasi, farmasi dan sains gunaan serta pembangunan sosial dan kesejahteraan.











Sedia tubuh sektretariat MPN

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri bersetuju mewujudkan sekretariat Majlis Profesor Negara (MPN) bertujuan menyumbang idea, menyusun strategi dan mengatur tindakan bersama untuk kebaikan Terengganu.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peluang ini cukup berharga bagi Terengganu kerana ia mampu memberi kebaikan pelbagai sudut bukan sahaja untuk negeri malah rakyat itu sendiri.

Katanya, setiap ahli MPN yang dianggap ‘Pemikir Negara’, sudah tentu boleh memberi cadangan bagaimana hendak menyelesaikan pelbagai masalah, terutama berkaitan pendidikan, pembangunan modal insan, ekonomi , kewangan, sumber asli dan alam sekitar.

“Apabila sektreariat ini benar-benar wujud nanti, ahli-ahlinya mungkin boleh berfikir atau mengatasi masalah bagaimana hendak buang bahan beracun dalam ubi gadong.

“Kita serius ingin mengetahuinya kerana tanaman itu berpotensi boleh dimajukan dengan menjadikan sebagai tepung ubi gadong,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan MPN di Wisma Darul Iman, hari ini.



Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan beberapa barisan Exco Kerajaan Negeri lain.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut memberitahu tidak mustahil suatu hari orang ramai memilih tepung ubi gadong untuk membuat kuih muih sebagai ganti tepung gandum jika apa yang dirancang hari ini menjadi kenyataan.

Kerajaan negeri yakin bahawa ubi gadong berpotensi menjadi produk makanan utama seperti gandum jika dihasilkan mengikut permintaan pasaran seperti kek, kerepek dan kuih muih lainnya.

“Saya yakin jika ada usaha ke arah mengkomersialkan ubi gadong dan dengan bantuan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) yang menjalankan penyelidikan mereka.

“kerajaan peruntukan RM1 juta kepada UnisZA untuk meneruskan kajian terhadap potensi tanaman tersebut selama dua tahun sebelum ia dipasarkan,” katanya.



Mubarak sedia bantu jentera BN

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Mubarak) sentiasa bersedia membantu jentera parti demi memastikan kuasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) tidak jatuh ke tangan pembangkang.



Yang Dipertuanya, Dato’ Haji Ahmad Sidi Ismail berkata, kebanyak ahli Mubarak bergiat aktif dalam masyarakat selepas tidk lagi menjadi wakil rakyat dan ini memberi peluang untuk terus berkhidmat kepada parti.

“Ahli Mubarak sentiasa main peranan di peringkat cawangan, kawasan dan Parlimen serta mempunyai pengaruh tersendiri dalam memenangi hati rakyat,” katanya kepada pemberita di Mesyuarat Agung Mubarak Kali Ke Sembilan di Ibai Golf Resort, petang semalam.

Katanya, walau tidak lagi memegang jawatan penting dalam parti tapi tugas dan tanggung jawab memupuk semangat perpaduan kalangan anggota masyarakat tidak pernah terhenti dan akan terus memberi khidmat selagi mampu.

“Melihat kepada perkembangan mutakir ini, saya yakin BN mampu mengekalkan pemerintahan di negeri ini,” kata bekas Ahli Exco kerajaan negeri itu ketika diminta pandangan suasana politik di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Mubarak telah menubuhkan koperasi dengan permulaan dana RM200,000 sumbangan kerajaan negeri .

Menurutnya, keahlian terbuka kepada semua ahli keluarga sama ada isteri, anak serta cucu ahli Mubarak dengan permulaan saham RM100 ke atas.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang telah menawarkan kawasan seluas 200 hektar kepada Mubarak untuk dibangunkan ladang kelapa sawit.




Bomba catat kerugian RM4.6 juta

Oleh: Aida Abd Rahman

Taksiran kerugian sebanyak RM4.6 juta direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu (JBPNT) membabitkan kes kebakaran, menyelamat dan tugas khas sehingga Mac tahun ini.

Dalam tempoh yang sama juga, sejumlah RM25,135 taksiran yang berjaya diselamatkan melibatkan tiga pecahan kes iaitu 191 kebakaran, 275 menyelamat dan 17 kes adalah khidmat khas.


Pengarahnya, Encik Md Salleh Sarbini, berkata jumlah perangkaan panggilan kecemasan seluruh negeri yang direkodkan tahun lalu adalah sebanyak 2,404, di mana 815 merupakan kes kebakaran, 1,548 kes menyelamat dan 41 panggilan khidmat khas.

“Manakala taksiran kerugian pula bernilai kira-kira RM25 juta dan nilai harta yang berjaya diselamatkan adalah sejumlah RM136 juta,”katanya.

“Bagi memastikan kes seumpama itu mampu dikurangkan kami akan memberi tumpuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya pencegahan awal sama ada kebakaran ataupun kemalangan,” katanya.

Katanya, peningkatan kesedaran yang ditunjukkan orang ramai terhadap bahaya kebakaran dan kesedaran mengenai langkah pencegahan mampu mengurangkan bilangan kes itu.





Bakar bendera BN, Umno kerja golongan tidak bertamadun

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kejadian terakhir membakar bendera Umno dikesan di negeri ini kira-kira empat tahun lalu di mana penyokong Pas merusuh dan merosakkan harta benda awam sekitar Taman Rekreasi Batu Buruk.



Dalam kejadian itu, penyokong Pas yang tidak puas hati dengan keputusan pihak berkuasa melarang diadakan ceramah di kawasan terbuka di Batu Buruk, bertindak liar lalu membakar bendera Umno, melemparkan batu dan pelbagai objek kepada anggota pasukan keselamatan, merosakkan harta benda awam dan menganggu ketenteraman awam.

Akibatnya pihak kerajaan khususnya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah menanggung kerugian besar bagi membaikpulih semula harta awam yang dirosakkan penyokong pembangkang di kawasan Batu Buruk.

Selepas itu, tidak lagi kedengaran kejadian ‘kurang ajar’ dilakukan penyokong parti pembangkang di negeri ini.

Bagaimanapun, perbuatan tidak bertamadun itu dilaporkan berlaku semua apabila bendera Barisan Nasional (BN) dan Umno yang dipasang di tepi parit tali air Jalan Kubang Buyong, Chabang Tiga, telah dibakar dua hari lalu.

Berikutan kejadian tersebut, Pergerakan Pemuda Cawangan Makam Lama, membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga, semalam.

Selain itu, dilaporkan juga gambar kain rentang yang memaparkan gambar pemimpin negeri ini juga dirosakkan golongan tidak bertanggungjawab yang dipercayai penyokong parti pembangkang.

Semua kejadian ini menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab dan betapa tidak tamadunnya penyokong parti pembangkang.

Mereka tidak sedar perbuatan tersebut boleh mencetuskan kemarahan orang ramai dan boleh menimbulkan pergaduhan di kalangan penduduk setempat.

Perbuatan seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana kita mahu kempen politik dilakukan secara sihat dan bebas daripada unsur-unsur provokasi yang boleh mengeruhkan perpaduan di kalangan penduduk tempatan.

Selama ini pihak berkuasa tidak pernah menghalang parti-parti politik, termasuk Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk berkempen dan mengadakan ceramah, asalkan ia tidak menganggu ketenteraman awam dan mendapat kelulusan polis.

Inilah bahana yang menimpa penduduk tempatan jika mereka terlalu taksub kepada pemimpin pembangkang yang sanggup melakukan apa saja demi kepentingan politik mereka.


Jasa Mubarak tidak ternilai-MB

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri meluluskan RM200,000 kepada Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Terengganu untuk dilaburkan dalam Koperasi Mubarak Kebangsaan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pengorbanan dan khidmat bakti bekas wakil rakyat terhadap pembangunan negeri dan rakyat tidak ternilai.

“Kita memberi sumbangan ini untuk mereka beli saham dan bila dapat keuntungan,dividen berkenaan akan dimasukkan kedalam akaun Mubarak,” katanya di majlis perasmian Mesyuarat Agung Mubarak Terengganu di Ibai Golf Resort petang semalam.



Menteri Besar juga turut menawarkan kawasan seluas 200 hektar kepada Koperasi Mubarak negeri untuk dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan pada masa hadapan.

Dato’ Seri Haji Ahmad berharap ahli Mubarak terus membantu parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Pengaruh mereka masih kuat di kalangan masyarakat dan berharap ia dapat membantu Barisan Nasional (BN) ketika menghadapi PRU nanti,” katanya.

Katanya, biar pun mereka telah bersara dari jawatan dalam parti namun masyarakat tetap ingat dan menghargai jasa bekas wakil rakyat yang banyak membantu mereka suatu waktu dahulu.

“Saya harap ahli Mubarak turut bekerja keras bagi memastikan BN terus berkuasa di negeri dan negara ini agar generasi akan datang terus mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Katanya, apa yang ada hari ini adalah hasil kegigihan dan pengorbanan pemimpin terdahulu serta menjadi tanggung jawab bersama untuk meneruskan kecemerlangan dan kejayaan itu pada masa akan datang.





Umno maju, Pas semakin dengki

Oleh: Suriati Ali

“Semakin hebat orang Umno mentabdir Terengganu makin kuat hasad dengki puak Pas.

“Apabila tengok orang Umno maju, mereka akan mencipta pelbagai helah dan fitnah supaya timbul kebencian di kalangan rakyat ,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, inilah sifat sebenar puak Pas sejak daripada azali lagi yang sememangnya gemar melihat pepecahan.

“Sepanjang pemerintahan Pas di kawasan yang ditakluki mereka, apa kebajikan atau pembangunan yang dilaksanakan untuk rakyat.

“Jelas mereka tidak berbuat apa-apa melainkan hanya Barisan Nasional (BN) sehingga kini setia berbakti kepada rakyat walaupun di kawasan kubu Pas.

Menurutnya, pihaknya boleh melaksanakan undang-undang dengan menafikan pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang tetapi kepimpinan BN tidak sampai hati untuk berbuat demikian.

“Pas hanya pandai menabur pelbagai janji, mencipta manifesto pilihan raya tetapi tidak pernah mengotakannya walaupun berpeluang mentadbir negeri selepas berjaya menambat hati raktyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10,” katanya ketika berucap di Majlis Mesra Wanita Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, kelmarin.

Hadir sama Isteri Menteri Besar, To’ Puan Hajah Norliza Mahmud, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat.

Tertamu kehormat lain, Pegawai Pembangunan Parlimen, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kuala Terengganu, Hajah Jannah Zaleha Nik
Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut memberitahu rakyat negeri ini sewajarnya lebih bijak menilai kebaikan dan kebajikan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN menerusi pelbagai program demi kesejahteraan dan faedah rakyat tanpa mengira fahaman politik .

“Pada 1999, isu hebat berlaku dalam politik yang tidak mampu dibendung menyebabkan `tsunami politik’ berlaku di Terengganu. Tetapi apabila arus kedua datang kita dapat pertahankannya.

“Kalau melihat sejarah pada 1959, negeri pertama jatuh ke tangan Pas adalah Terengganu. Pas tidak mampu bertahan lama di Terengganu kerana mereka (Pas) gagal mentadbir negeri sebagaimana Umno dan BN mentadbir. Kebaikan yang kita lakukan menyebabkan rakyat dapat membuat perbandingan dan kembali ke pangkuan BN,” katanya.



To’ Puan Seri Che Kamariah guru Bahasa Inggeris di Masjid Ulul Albab

Oleh FAUZI MOHD

Masjid Ulul Albab, Seberang Jerteh, Besut mengadakan kelas Bahasa Inggeris secara percuma kepada pelajar sebagai usaha menjadikannya sebagai masjid pusat komuniti di Besut.

Pengerusinya, Ayob Jusoh berkata, kelas yang memberi tumpuan kepada kemahiran pertuturan Bahasa Inggeris itu telah disertai 50 pelajar dengan seorang pengajar sukarela, To’ Puan Seri Che Kamariah Zakaria yang juga isteri kepada ADUN Jertih, Dato’ Seri Idris Jusoh.

"Masjid Ulul Albab yang baru dirasmikan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin bulan lepas itu kini menjadi masjid pertama mengadakan kelas Bahasa Inggeris secara percuma," katanya semalam.

Tambah Ayob, kelas yang baru bermula semalam itu terbuka kepada semua peringkat pelajar yang ingin mengasah kemahiran berkomuniksi dalam Bahasa Inggeris.

“Kelas itu merupakan satu permulaan sebelum kelas mata pelajaran lain dimulakan tidak berapa lama lagi sekiranya sambutan berterusan diterima daripada masyarakat,” katanya.

Beliau meminta mereka yang berminat untuk mengikuti kelas percuma atau menjadi tenaga pengajar supaya menghubungi pihaknya di talian 012-9652889.