Halaman

15 April 2012

Jasa Mubarak tidak ternilai-MB

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri meluluskan RM200,000 kepada Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Terengganu untuk dilaburkan dalam Koperasi Mubarak Kebangsaan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pengorbanan dan khidmat bakti bekas wakil rakyat terhadap pembangunan negeri dan rakyat tidak ternilai.

“Kita memberi sumbangan ini untuk mereka beli saham dan bila dapat keuntungan,dividen berkenaan akan dimasukkan kedalam akaun Mubarak,” katanya di majlis perasmian Mesyuarat Agung Mubarak Terengganu di Ibai Golf Resort petang semalam.



Menteri Besar juga turut menawarkan kawasan seluas 200 hektar kepada Koperasi Mubarak negeri untuk dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan pada masa hadapan.

Dato’ Seri Haji Ahmad berharap ahli Mubarak terus membantu parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Pengaruh mereka masih kuat di kalangan masyarakat dan berharap ia dapat membantu Barisan Nasional (BN) ketika menghadapi PRU nanti,” katanya.

Katanya, biar pun mereka telah bersara dari jawatan dalam parti namun masyarakat tetap ingat dan menghargai jasa bekas wakil rakyat yang banyak membantu mereka suatu waktu dahulu.

“Saya harap ahli Mubarak turut bekerja keras bagi memastikan BN terus berkuasa di negeri dan negara ini agar generasi akan datang terus mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Katanya, apa yang ada hari ini adalah hasil kegigihan dan pengorbanan pemimpin terdahulu serta menjadi tanggung jawab bersama untuk meneruskan kecemerlangan dan kejayaan itu pada masa akan datang.