Halaman

16 April 2012

Risda perkenal program baru untuk dekati pekebun kecil

Risda akan memperkenalkan program 'Sarapan Pagi Kasihi Pekebun Kecil' dalam usaha agensi itu mendekatkan diri dengan pekebun kecil di seluruh negara.

Pengerusi Risda, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata langkah itu bagi mengurangkan jurang perbezaan hubungan antara pekebun kecil dengan pegawai Risda serta pemimpin masyarakat yang lain.

"Sambil bersarapan pagi, mereka akan berbincang macam mana nak perbaiki lagi masalah bagaimana nak menoreh cara yang terbaik, guna teknologi baru dan lain-lain lagi yang berkaitan.

"Kita ambil peluang di situ secara informal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Kelulusan Tanam Baru Komoditi Getah (TBKG) dan Penyampaian Sumbangan Khas, di sini Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Persekutuan Kota Baharu merangkap Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Fatmi Che Salleh, Ketua Pengarah Risda, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Pengarah Risda Kelantan, Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.