Akademi Latihan Badminton (ALB) bernilai RM545 juta yang akan dibina di Pulau Serindit di Tasik Kenyir, bakal menambah tarikan pelancong ke tasik tersohor itu apabila ia siap sepenuhnya kelak.
Akademi itu bakal bakal dibangunkan pertengahan tahun ini melalui pelaburan bekas jaguh badminton negara, Soo Beng Kiang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri meluluskan permohonan Beng Kiang yang berhasrat membina akademi tersebut sebagai pusat latihan badminton swasta terunggul negara ini.
"Kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju dengan cadangan untuk memajukan pulau seluas 120 ekar itu sebagai tempat untuk melatih pelapis badminton negara.
"Selain badminton, akademi itu juga akan mengendalikan latihan untuk pemain tenis dan squash, sekali gus menjadikannya sebagai tempat latihan yang canggih di Tasik Kenyir," katanya selepas majlis perjumpaan dengan kakitangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bandar Al Muktafibillah Shah, Dungun, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Haji Wan Mat Amin Wan Daud,
Akademi berkenaan dijangka siap dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun di mana ia mendapat pembiayaan pinjaman daripada SME Bank.
Beng Kiang merupakan regu terbaik negara bersama Cheah Soon Kit yang menewaskan Indonesia dalam Piala Thomas 1992 dan kini bergelar ahli perniagaan dengan memiliki syarikat pelancongan sendiri.
Apabila siap kelak, akademi itu bakal dipenuhi ramai bakat baru yang ingin menceburi sukan badminton dengan lebih serius.
Ia juga akan digunakan pemain badminton dari luar negara yang menghadapi masalah untuk berlatih, terutama ketika musim sejuk.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang komited untuk melabur di Tasik Kenyir, selaras dengan hasrat menjadikan ia lokasi zon bebas cukai terbaru di Malaysia.