Halaman

20 April 2012

Terengganu kukuh sebagai hub penerbangan umrah, haji secara terus

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terus mengukuhkan kedudukan sebagai hub penerbangan umrah dan haji di Pantai Timur apabila menjalankan kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan `Saudi Arabian Airlines’ bagi memudahkan pengurusan ibadat itu bermula tahun ini.



Usahasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Kerajaan Terengganu dengan syarikat penerbangan itu turut membantu mempromosikan industri pelancongan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penerbangan sulung yang bakal membawa 450 setiap penerbangan dijadualkan pada 25 Mei dan 19 Julai ini dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu secara terus ke Jeddah dan Madinah.

“Kerjasama dengan syarikat Saudi Arabia Airlines ini dilaksanakan berikutan syarikat itu yang kebetulan masih mempunyai hub pendaratan di Malaysia bagi membawa penumpang mengerjakan Haji memberi kesempatan kepada kerajaan negeri untuk membawa syarikat penerbangan ini ke Terengganu.

“Sebagaimana dipersetujui dua penerbangan pada 25 Mei dan 19 Julai. Insya-Allah saya akan menulis surat kepada Tabung Haji dan Menteri Agama (Jabatan Perdana Menteri) supaya pada tahun ini diberikan kepada Terengganu sebagai laluan menunaikan haji sebanyak 12 penerbangan dari Terengganu – Jeddah dan Terengganu-Madinah,” katanya ketika sidang akhbar selepas menandatangani MoU itu, di Riyaz Heritage, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, semalam (19 April).

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said; Pengurus Besar Jualan dan Hasil Pengurusan Umrah dan Haji, Sameer A Khayatt.

Menteri Besar berkata, kerjasama ini memberi kemudahan kepada jemaah dari Terengganu dan Pantai Timur amnya sekaligus meletakkan negeri ini sebagai hub umrah dan Haji Pantai Timur.

Sebelum ini, katanya Kerajaan Terengganu melaksanakan penerbangan umrah dan Haji sepanjang empat tahun dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), bagaimanapun usaha itu gagal diteruskan kemungkinan akibat daripada masalah rombakan organisasi MAS atau kekurangan pesawat.

“Oleh itu, kerajaan negeri dengan nasihat Duta Malaysia di Arab Saudi, Dato’ Syed Omar Al-Asagoff serta bantuan penasihat yang dilantik memulakan rundingan dengan penerbangan Arab Saudi sejak dua bulan lalu serta membuahkan hasil yang dimeterai secara rasmi hari ini.

“Bagi sektor pelancongan pula, penerbangan terus dari Jeddah dan Madinah ke Terengganu dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sekaligus mampu memajukan sektor pelancongan negeri yang kaya dengan pulau dan pantai menarik serta Tasik Kenyir yang sedang dibangunkan sebagai eko-pelancongan serta pulau bebas cukai," katanya.