Yayasan Terengganu (YT) sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan program pendidikan secara usaha sama dengan beberapa universiti luar negara di Kompleks Imtiaz Besut.
Pengarahnya, Encik Zakaria Yusof ketika memberitahu perkembangan tersebut berkata, antara negara luar yang terbabit adalah Jordan dan Mesir.
Beliau menjelaskan, pada masa sama, kompleks yang menelan belanja kira-kira RM50 juta itu mampu menempatkan 1,000 pelajar elit apabila siap dibina menjelang 2014.
"Ini bermakna, kompleks ini bukan sahaja untuk penempatan kira-kira 1,000 pelajar elit, malah, kita akan melaksanakan program pendidikan dengan universiti di Jordan dan Mesir.
"Jadi, kita minta orang ramai supaya bersabar dan mengikis persepsi negatif kononnya kompleks ini akan jadi 'gajah putih'. Sebenarnya kita sedang dalam proses perancangan untuk memastikan kompleks ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.
Encik Zakaria seterusnya menyatakan keyakinannya bahawa program pendidikan dengan universiti luar negara itu turut memberi peluang kepada pelajar menyambung pengajian di kompleks tersebut sebagai persediaan sebelum ke universiti kelak.
“Pihak kami kini memberi tumpuan menyiapkan pagar untuk keselamatan kompleks berkenaan daripada sebarang pencerobohan.
“Buat sementara waktu, kesemua 500 pelajar Kompleks Imtiaz Besut terpaksa ditempatkan di bangunan baru di Kampung Pelagat, Besut,” katanya.2