Halaman

20 April 2012

JPJ Terengganu lancar program mendidik pemandu




Oleh: Mohammad Ishak


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu meningkatkan usaha memberi pendidikan kepada pemandu dan pemilik kenderaan negeri ini bagi mengurangkan kes kesalahan di jalan raya selain menyedarkan masyarakat.

Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, anggota penguatkuasa jabatan itu akan berada di mana sahaja seluruh negeri ini bagi mendekati masyarakat khasnya pemandu kenderaan.

Katanya, tumpuan diberikan kepada memberi kesedaran kepada pemilik kenderaan supaya tidak menggunakan cermin gelap yang melebihi peraturan ditetapkan selain kesalahan teknikal.

Menurutnya, ini berikutan sejak kebelakangan ini semakin ramai pemandu kenderaan menggunakan cermin gelap di kenderaan masing-masing sedangkan ia melanggar peraturan JPJ.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga bulan tahun ini JPJ sudah mengeluarkan notis kepada 3,514 pemilik kenderaan awam kerana memasang cermin gelap di kenderaan masing-masing.

“Pihak JPJ memberi tempoh 10 hari kepada pemilik kenderaan terbabit yang menerima notis berkenaan meminta mereka menanggalkan cermin gelap dan menunjukkan bukti kepada mana-mana cawangan JPJ,” katanya.

Bercakap kepada Media selepas menyertai “Operasi Pengarah” di Kampung Air Sejuk, Setiu, petang semalam Abdul Rahman berkata, pemandu memberi pelbagai alasan tidak munasabah kepada pihak JPJ apabila mereka ditahan kerana memasang cermin gelap.

Katanya, kerajaan boleh membenarkan pemilik kenderaan memasang cermin gelap dengan syarat membuat permohonan kepada JPJ tetapi mereka yang layak dipertimbangkan hanya untuk agensi keselamatan dan individu yang berpenyakit dan disahkan oleh doktor kerajaan.