Oleh FAUZI MOHD
Beria-ia puak pembangkang mempropagandakan demonstrasi mansuh PTPTN akan dihadiri oleh lebih 5,000 orang pelajar IPT seperti dilaporkan portal berita Malaysiakini.
Apa yang berlaku jauh tersasar dari realiti apabila hanya sekitar 300 orang sahaja mahasiswa yang sanggup membazirkan masa menyertai perhimpunan tersebut.
Anggaran 300 itu termasuklah pemimpin dan penyokong tegar PKR yang menjadi ‘nasi tambah’ dan tukang gamatkan keadaan.
Belum lagi diambil kira jumlah wartawan dan bloggers yang turut sama untuk merakamkan suasana semasa sebagai bahan berita.
Sebaik Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Rakyat mencanangkan isu PTPTN, ramai yang telah menyedari ia hanyalah helah Anwar untuk menyimpang perhatian rakyat daripada isu moral yang melingkari dirinya.
Pelbagai pendedahan fakta berkaitan penglibatan langsung Anwar semasa di awal penubuhan PTPTN tidak sedikit menyebabkan ramai pelajar IPT yang sebelum ini pro pembangkang berpaling arah.
Kegagalan mencapai walau hanya 1/5 daripada sasaran 5,000 peserta seperti yang digembar gemburkan sebelum ini bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada kempen propaganda anti-PTPTN yang diusahakan Anwar dan puak pembangkang.
Malah, pastinya memberi gambaran awal demonstrasi Bersih 3.0 hujung bulan ini bakal berdepan nasib yang hampir sama.
Tidak syak lagi, makin hari makin kurang penyokong pakatan pembangkang.
Masing-masing sudah menyedari segala ucap kata, janji dan isu yang keluar dari mulut Anwar dan pembangkang semuanya propaganda dan tipu daya politik semata-mata untuk mengumpan undi dan sokongan rakyat bagi kepentingan sendiri.