Halaman

16 April 2012

Tamatkan tempoh 26 tahun Batu Burok `bergelap'

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiba masanya untuk penduduk (Dewan Undangan Negeri) Batu Burok menamatkan tempoh 26 tahun `bergelap’ di bawah Pas, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said.

Beliau menegaskan demikian ketika berucap di Karnival Profesor Turun Padang, di Kampung Gong Tok Nasek, kelmarin (14 April).

Katanya, sepanjang tempoh itu kerajaan tetap menimbangkan pelbagai kemudahan dan menyediakan peruntukan yang secukupnya bagi membangunkan DUN yang dipantau Pegawai Pembangunan, Dato’ Che Mat Jusoh.

“Jika ikut `berasa hati’ dengan penduduk DUN Batu Burok (mengundi Pas), kita `lok’ sahaja tempat ini. Kita tidak buat apa yang sepatutnya, kita tinggalkan mereka dan tidak beri bantuan sebagaimana tempat lain yang dimenangi Barisan Nasional (BN).

“Bagaimanapun, demi tanggungjawab dan dasar keprihatinan kerajaan BN, kita tetap menyalurkan keperluan dan peruntukan bagi memastikan penduduk di kawasan itu tidak terpinggir dari arus pembangunan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menaruh harapan dan keyakinan penduduk di DUN itu abakal melakukan anjakan dan membuat keputusan yang tepat bagi mengembalikan kawasan itu kepada BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Malah, Menteri Besar turut mengulangi janji beliau sebelum ini, untuk membangunkan 1,000 unit rumah mampu milik di DUN itu jika BN memenangi kawasan itu nanti.