Barisan Nasional (BN) Marang mampu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung daripada parti Pas selain kerusi Parlimen Marang yang kini disandang Presidennya sendiri, Dato’ Seri Haji Hadi Awang.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata dalam usaha merampas semula DUN Bukit Payung dan Parlimen Marang, dua kerusi DUN iaitu DUN Pengkalan Berangan dan DUN Alor Limbat, yang kini disandang BN tidak mempunyai masalah untuk dipertahankan.
Katanya, jika BN berjaya mempertahankan Pengkalan Berangan dan Alur Limbat, merampas kembali DUN Bukit Payung, selain mengurangkan majoriti di DUN Rhu Rendang yang kini disandang Hadi Awang, tidak mustahil Parlimen Marang juga akan kembali bersama BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.
“Kita bukan syok sendiri, tetapi ianya bersandarkan kepada kesedaran rakyat sendiri terhadap sandiwara dalam pakatan pembangkang, selain mengorbankan dasar perjuangan ‘Negara Islam Pas’ kepada ‘Negara Berkebajikan’ sejak bersekongkol dengan DAP dan PKR.
“Selain itu isu pemecatan keahlian Datuk Dr Hassan Ali juga sedikit sebanyak menyedarkan hala tuju dan arah perjuangan Pas yang sebenar,” ujarnya yang juga Adun Pengkalan Berangan,” katanya.
Menurutnya, BN Terengganu sudah bersedia, kita masih mempunyai ruang yang kukuh untuk mempertahankan negeri Terengganu dalam PRU ke-13 kelak.
Secara keseluruhannya di negeri Terengganu, dengan gerak kerja yang kita atur dan sambutan dari akar umbi lebih-lebih lagi dari jentera parti secara keseluruhannya kekuatan Umno tetap terselah,” katanya.