Terengganu mencipta kelas tersendiri apabila pelbagai menu masakan negeri ini bakal dihidangkan di restoran T'Kafe yang akan dibuka oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu di Perth, Australia bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera berkata menu berkenaan termasuk nasi dagang dan kuih muih tradisional dan juga makanan kering yang dihasilkan oleh pengusaha di negeri ini seperti keropok keping serta kerepek ubi.
"Semua masakan dikendalikan oleh seorang tukang masak di Perth yang berasal dari Terengganu dan dijamin bermutu dan rasanya tidak berubah seperti masakan di Terengganu sendiri," katanya.
Dato’ Mohamed berkata YPU memperkenalkan masakan Terengganu di Perth kerana ramai rakyat Malaysia dari Terengganu yang menetap di negara itu.
"Usaha ini dijangka akan mendapat sambutan yang baik kerana mungkin mereka sudah lama tidak menikmati masakan asli Terengganu," katanya.
Beliau berkata, selain Perth YPU juga sedang meninjau beberapa buah negara lain bagi membuka T’Kafe dan keutamaannya di kawasan yang mempunyai ramai rakyat Malaysia.