Halaman

18 April 2012

Tingkat prestasi kerja supaya dapat diiktiraf lima bintang

Oleh: Suriati Ali

Penjawat awam di negeri ini di minta supaya bersama-sama mempertingkatkan prestasi kerja dan berani membuat perubahan supaya sasaran untuk mencapai pengiktirafan lima bintang terlaksana pada tahun depan..

Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato Haji Mazlan Ngah, pihaknya percaya usaha Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mencapai pengiktirafan lima bintang oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dapat dicapai.

Bagi merealisasikannya, penjawat awam perlu peka dengan keperluan pelanggan kerana tugas utama mereka sebagai pemudah cara bagi menyelesaikan pelbagai masalah atau keperluan rakyat.

“Mereka juga perlu memahami realiti semasa, berani membuat perubahan dan proses anjakan perlu dilakukan secara kreatif, berterusan dan berfikiran secara terbuka.

“Dalam konteks pentadbiran dan pembangunan negeri pula antara cabaran yang harus dirungkai antaranya termasuk meningkatkan prestasi dan kemampuan negeri ke tahap yang lebih cemerlang, memperkukuhkan daya saing dan daya tahan serta lebih berinovatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kerja di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



Seramai 15 kakitangan menerima Anugerah Perkhimatan Cemerlang (APC) bagi tiga bulan berturut-turut iaitu Januari, FebruarI dan Mac.



Pada masa sama, penyampaian hadiah kepada pemenang program `The Health Centre’ turut diadakan.

Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu, selaras dengan pendekatan ‘merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ yang dilaksanakan sekarang, segala urusan pentadbiran mesti dipermudahkan, bersifat menolong rakyat serta berorieantasikan faedah kepada rakyat.

“Dalam era globalisasi kini, tugas yang dipikul oleh penjawat awam bukan lagi sekadar memenuhi waktu pejabat semata-mata, malah dalam situasi tertentu kadangkala penjawat awam perlu berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi mengutamakan kepentingan awam,” katanya.