Halaman

17 April 2012

Kempen bersih semai sikap tanggung jawab masyarakat

Oleh; Esah Abdullah

Orang ramai yang berkunjung ke pulau-pulau di negeri ini diminta tidak membuang sampah termasuk beg plastik ke laut bagi mengelak hidupan dan khazanah laut pupus.

Perbuatan yang tidak bertanggung jawab ini dibimbangi menjejaskan ekosistem selain mengancam kehidupan laut termasuk penyu.

Penyalaras Kempen Pembersihan Pulau, Encik Mohd Zamari Abu Zih berkata, beliau terpanggil untuk mengadakan kempen ini bagi mengajak semua anggota masyarakat bersama-sama menjaga kebersihan terutama pulau kerana ia menjadi tumpuan pelancong ke negeri ini.

“Semua pihak perlu ada rasa tanggung jawab menjaga kebersihan ditempat awam, pantai dan juga pulau kerana secara tidak langsung ia mengambarkan indentiti masyarakat itu sendiri,” katanya ketika mengadakan gotong royong membersih pantai Pulau Pasir Panjang, Pulau Redang.

Beberapa jabatan turut serta dalam kempen berkenaan termasuk Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jabatan Bekalan Air Terengganu dan Pejabat Kesihatan Kuala Terengganu.

Katanya, kempen ini diadakan dua kali setahun dalam usaha memastikan kawasan sekitar pulau berada dalam keadaan bersih dan selamat didiami pelbagai jenis hidupan laut.