Tindakan kerajaan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan menggantikan dengan rang undang-undang yang lebih baik, menyebabkan pihak pembangkang kini ‘mati kutu’.
Hilang satu modal puak pembangkang yang selama ini menggunakan isu ISA sebagai senjata untuk memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dengan mengatakan kerajaan berlaku zalim kerana sering menahan orang tanpa sebab menggunakan ISA.
Pemimpin pembangkang sering menggunakan modal ISA yang disifatkan sebagai undang-undang lapuk dan mencemuh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam ceramah-ceramah mereka.
Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak membentangkan Rang Undang-Undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
Rang undang-undang tersebut menyediakan tujuh lindung jamin bagi mengimbangi tuntutan hak asasi serta menangani cabaran anti demoktratik pasca komunisme.
Antara lindung jamin yang disediakan melalui akta baru itu, tiada seorang pun boleh ditangkap atau ditahan semata-mata atas kepercayaan politiknya seperti yang dilakukan melalui ISA.
Apabila undang-undang baru itu berkuatkuasa, Menteri Dalam Negeri tidak boleh lagi menahan seseorang tanpa perbicaraan dan pihak polis wajib memaklumkan waris mereka yang ditangkap seberapa segera dan hak mendapatkan peguam dalam tempoh 48 jam.
Sewaktu membentangkan rang undang-undang baru menggantikan ISA itu, Perdana Menteri menjelaskan masa sudah berubah dan peranan ISA sudah tiba ke penghujungnya. Kerajaan menyedari hakikat itu dan komited memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih progresif.
Beliau menegaskan melalui pindaan, pemansuhan dan penggubalan undang-undang, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik disediakan, tetapi pada masa yang sama kebebasan mesti bersulam dengan tanggungjawab atau ‘freedom with responsibility’.
Kini pihak pembangkang hilang punca dan pasti ‘terpukul’ kerana Kerajaan Persekutuan pimpinan Dato’ Sri Najib telah mendahului mereka jauh ke depan apabila membentangkang rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat.
Rang undang-undang tersebut yang memberi keadilan kepada semua pihak, tentunya tidak akan menyenangkan pihak pembangkang.
Mereka terpaksa mencari isu lain untuk memburukkan kerajaan kerana memang tugas rutin mereka untuk berbuat demikian bagi meraih undi rakyat menggunakan taktik kotor.