Halaman

18 April 2012

Kerajaan tidak pinggir kami-penduduk

Oleh: Aida Abd Rahman

Bagi memastikan penduduk negeri ini mendapat pemilikan tanah haram secara sah, kerajaan negeri berjaya menyelesaikan kira-kira 9,000 kes tanah haram sepanjang tiga tahun sehingga Disember lalu.

Status pemilikan secara sah itu memberi makna cukup besar kepada penduduk, malah membuktikan kerajaan negeri tidak meminggirkan mereka demi merealisasikan dasar `pendekmorasian tanah’.

Seorang penerima geran hak milk tanah pertanian dari Kampung Peneh, Hulu Terengganu, Mamat Mat Zin, 40, berkata sebagai mewakili bapanya selaku penerima geran itu, dia berasa amat bersyukur dengan dasar dan keprihatinan kerajaan negeri yang tidak meminggirkan kebajikan penduduk yang kurang berkemampuan untuk memiliki tanah sendiri.

“Kalau boleh lepas ini, kami sekeluarga bercadang untuk mengusahakan tanah 0.80904 hektar yang diterima atas nama ayah, Razak Mamat ini bagi menanam kelapa sawit sebagai satu lagi sumber ekonomi keluarga pada masa depan,” katanya.

Kegembiraan itu turut dikongsi jiran sekampungnya, Gayah Rahim, 67, yang menerima geran bagi pihak suaminya, Mat Hassan Mat Amin, 69, yang meninggal dunia dua tahun lalu selepas menunggu surat hak milik itu sejak sekian lama.

“Sekurang-kurangnya usaha suami saya untuk memastikan kami sekeluarga ada tanah sendiri untuk tujuan pertanian terlaksana walaupun dia sudah tiada lagi. Kami belum tahu lagi mahu tanam pokok apa, tetapi kami akan usahakan tanah ini secepat mungkin,” katanya lagi.

Manakala Azwarishamzuri Mustapha, 31, yang berasal dari Felda Tengkawang, pula berhasrat segera membangunkan rumah atas tanah kerajaan yang dipohon sejak setahun lalu itu, memandangkan dia bersama isteri, Suhaida Ahmad, 30, dan seorang cahaya mata kini tinggal di rumah sewa di Kampung Durian Guling, Marang.

“Alhamdulillah. Syukur sebab permohonan saya untuk memiliki tanah membangunkan rumah sendiri tidak lama sebagaimana orang lain. Terbukti kerajaan negeri membela nasib rakyat yang kurang berkemampuan dan bekerja sendiri seperti saya,” katanya yang mendapat hak pemilikan tanah berkeluasan 720 meter persegi di Kampung Pengkalan Ajal, Kuala Berang.

Tiga penduduk itu adalah antara 1,372 penduduk di Hulu Terengganu yang mendapat geran hak milk di Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah Daerah Hulu Terengganu, di Dewan Akademi Binaan Malaysia, Wilayah Timur Jenagor, Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam (17 April).