Halaman

21 April 2012

Tarik balik pinjaman jadikan pengajaran

Oleh: Aida Abd Rahman

Nasi sudah menjadi bubur. Keputusan muktamad dan tegas kerajaan negeri menarik balik pinjaman Yayasan Terengganu terhadap sembilan pelajar yang terbukti terbabit perhimpunan haram Bersih di Dataran Hayyu Asyier, Mesir, wajar menjadi panduan dan pengajaran kepada semua khususnya golongan mahasiswa dan mahasiswi yang lain.

Tuduhan pihak penentang kerajaan yang mengatakan kerajaan `zalim’ dan `mengkhianati’ anak bangsa kerana tindakan yang `sudah terang lagi bersuluh ‘terhadap pesalah ini, memang tiada asasnya.

Umum sedar, Kerajaan Terengganu membelanjakan puluhan juta setahun demi memperkasakan pendidikan anak negeri termasuk membiayai pengajian mereka ke luar negara. Manfaat itu harus digunakan dengan sebaik mungkin oleh golongan cerdik pandai agar apabila pulang ke tanah air nanti mereka menjadi insan berilmu dan berguna.

Jangan jadi `perosak’ kepada agenda kerajaan kerana terpengaruh dengan sentimen politik dan menyertai kumpulan penentang dalam program yang jelas melanggar undang-undang negara.

“Buat demonstrasi..kutip derma...kutiplah. Biar Pas pula tanggung (pengajian pelajar terlibat)..Mahu tunjuk simpati kononnya. Kutip tabung `celeng’ untuk pelajar. Lepas itu.. tiga bulan akan datang senyap, reda .

“Macam kes yang lepas-lepas lah. Kena tangkap polis, masuk dalam dalam jel sekejap, penuh penyokong Pas menunggu dan keluar sahaja dari jel mereka disambut seperti wira. Anak jugak yang kelaparan di rumah,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, apabila berdepan dengan hukuman pastinya memberi kesan kepada keluarga. Bagaimanpun, berbalik kepada fitrah alam, sesiapa sahaja yang jelas melakukan kesalahan pasti berdepan hukuman.

“Ini masalahnya, sepatutnya kita kena fikir kerajaan suruh belajar, beri `pitih’ suruh belajar, bukan suruh main politik. Siap berkhemah pula, jenis apa macam tu? Memang hendak kena lah tu (hukuman). Mereka tidak sedar, ego mentang-mentang masuk universiti.. mencampuri puak Pas, PKR. Kalau gagal siapa rugi? Masuk jel siapa rugi? Jadi, nasihat anak kita.

“Mereka (pembangkang) tidak bertanggungjawab, semata-mata hendak mendapatkan undi. Lepas itu mereka cabutlah,” katanya.

Malah, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mencabar pemimpin Pas supaya membiayai pengajian sembilan pelajar yang dikenakan tindakan penarikan balik pinjaman oleh YT.

Katanya, mereka yang bertanggung jawab menghasut pelajar-pelajar ini supaya menentang kerajaan, jadi sekarang mereka (Pas dan PKR) perlu mengambil alih membiayai pengajian pelajar berkenaan di Mesir.

“Pas dan PKR bolehlah kongsi separuh sorang tanggung mereka belajar hingga habis,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Beliau turut menasihatkan pelajar di negeri ini tidak mengadaikan masa depan mereka semata-mata terpengaruh dengan hasutan pihak pembangkang sebaliknya beri tumpuan kepada pelajaran untuk membina masa depan yang gemilang.

Natijahnya, hukuman menanti kepada golongan yang `bijaksana’ itu. Lalu, segerombolan pemimpin dan penyokong Pas `menangguk di air keruh’ kononnya menjadi `pembela’ dengan mengusahakan pelbagai kaedah termasuk berdemonstrasi sambil terpekik dan terlolong-lolong di tempat awam bagi mengaburi mata umum untuk bersimpati kepada mereka.