Halaman

18 April 2012

Tawaran RM20,000 tangkap Arapaima gigas masih diteruskan

Oleh FAUZI MOHD

Tawaran wang tunai berjumlah RM20,000 kepada kaki pancing yang berjaya menangkap ikan naga atau nama saintifiknya, Arapaima gigas yang dipercayai hidup di Tasik Kenyir masih diteruskan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, tawaran lebih tinggi itu merupakan perhatian serius pihak Kerajaan negeri kerana kehadiran ikan itu menyebabkan spesies ikan kecil lain di Tasik Kenyir pupus.

Katanya, tawaran itu dibuat berikutan ganjaran RM10,000 sejak tahun 2009 itu gagal menarik ramai pemancing untuk menangkap ikan tersebut.

“Jika usaha menangkap dilakukan sekarang tidak berhasil, kita bercadang menaikkan ganjaran. Ini bukan usaha main-main.

“Yang penting ikan itu dapat ditangkap hidup-hidup,” katanya kepada pemberita di Wiswa Darul Iman hari ini.

Kata Dato’ Seri Ahmad, ikan jenis besar itu yang berasal dari Sungai Amazon, menjadikan ikan lain sebagai makanan tetapi ia tidak menyerang manusia.

Jelas beliau, spesies itu boleh membesar sehingga 4.5 meter panjang dan berat mampu mencecah sehingga 200 kilogram.

Tambah beliau, walaupun tawaran agak lumayan sudah dilakukan sejak tiga tahun lalu, ikan tersebut masih belum ditangkap sehingga kini meskipun ada beberapa pihak seperti Jabatan Perikanan mengerah beberapa anggotanya menjalankan beberapa siri tangkapan.

“Saya difahamkan, jabatan itu sebelum ini pernah menggunakan beberapa bot yang sedia ada di Tasik Kenyir untuk membuat pemantauan dan seterusnya menangkap ikan tersebut,” ujarnya.