Halaman

17 April 2012

Kerajaan amal dasar `pendekmorasian tanah'

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri mengamalkan dasar `pendekmorasian tanah’ kepada rakyat Terengganu yang layak supaya mereka memiliki satu lot tanah pemberian kerajaan bagi setiap ketua keluarga.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peraturan itu turut menetapkan setiap rakyat Terengganu yang sudah memiliki tanah dan mampu membelinya sendiri tidak dibenarkan lagi untuk memohon tanah kerajaan bagi memberi peluang kepada rakyat yang tidak berkemampuan.

“Dulu orang yang pandai, cerdik dan ligat dapat tanah. Yang tidak tahu apa-apa langsung tiada tanah. Sekarang kita ada rekod, sebaik sahaja tekan komputer menggunakan kad pengenalan pemohon kita akan dapat mengetahui sudah berapa banyak mereka mendapat tanah pemberian kerajaan.

“Berapa banyak tanah mampu milik yang dia beli sendiri, kalau sudah ada lima enam lot tanah yang dia mampu tidak payah lagi minta tanah kerajaan. Kesian kepada yang tidak mampu, tanah pun terhad,” katanya di Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah Daerah Hulu Terengganu, di Dewan Akademi Binaan Malaysia, Wilayah Timur Jenagor, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat dan Adun Kuala Berang, Haji Zawawi Ismail.

Menteri Besar berkata, setiap suami mahupun isteri juga perlulah mengelak daripada memohon untuk kali kedua selepas pasangan masing-masing sudah memiliki tanah berkenaan.

“Jika sudah ada tanah atas nama suami, tidak perlu lagi tanah atas nama isteri. Kalu dulu kita bagi tanah atas tapak rumah, sekarang kita bagi pilihan, sama ada tanah tapak rumah atau pertanian.

“Kalau tanah pertanian seluas dua hektar, kalau tapak rumah pula berkeluasan satu lot dan ianya terpulang kepada keluasan lot berkenaan. Kadang-kadang enam kadang-kadang lapan lot dan kita tengok atas `layout’ yang kita buat, atas kesesuaian,” katanya.

Dalam majlis itu, Menteri Besar menyampaikan geran hak milik tanah kepada seramai 1,372 penduduk Hulu Terengganu yang melibatkan tanah pertanian dan juga tapak rumah.