Halaman

19 April 2012

YPU perkenal T-Mobil

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bakal memperkenalkan rangkaian perniagaan secara bergerak, T-Mobil sebagai usaha mengembangkan konsep perniagaan yang mengguna pakai jenama T (Terengganu) sekaligus meningkat pembabitan penduduk negeri ini dalam bidang keusahawanan.

Projek perintis T-Mobil yang dijangka menjual barang-barang kering dan makanan akan dilaksanakan di Ajil, Hulu Terengganu dan Chukai, Kemaman sebaik sahaja mengenal pasti dua usahawan yang berpotensi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamed Awang Tera, berkata menerusi T-Mobil, pengguna tidak perlu lagi keluar ke mana-mana pusat perniagaan dan pasar raya, sebaliknya T-Mobil akan pergi kepada pengguna.

“Kita menjangkakan kos dan modal bagi menjalankan T-Mobil tidaklah mahal, hanya sekitar RM60,000. Sebagai projek perintis, kita mahu melaksanakannya dahulu di Ajil dan Chukai.

“Kini kita sedang mengenal pasti pengusaha yang benar-benar komited serta lahir minat dari diri sendiri bagi mengusahakan perniagaan ini sehingga berdaya maju, seterusnya dapat membuka mata pengusaha yang lain supaya terlibat sama,” katanya di sidang akhbar selepas merasmikan Pentas Promo dan Bazar TTC, di T’Kafe Foof Court, Padang Hiliran, Kuala Terengganu, semalam (18 April).

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik, Timbalan Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Rosol Wahid dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Dagang.

Dato’ Mohamed berkata, pihaknya melihat potensi peniaga pasar malam yang kebanyakannya menggunakan kenderaan yang agak uzur berniaga di tapak pasar malam sebagai kumpulan sasar bagi menjalankan T-Mobil.

“Jadi untuk menggantikan kenderaan mereka itu, T-Mobil menjadi satu kaedah terbaik bagi menampilkan perniagaan yang lebih bersih, kemas serta dilengkapi `genset’,” katanya.