Halaman

20 April 2012

Pentas Promo bantu `popularkan' perniagaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) mewujudkan Pentas Promo bagi membantu usahawan baru memperkenal produk kepada orang ramai dan memajukan perniagaan mereka, di sudut khas medan selera T’Kafe, Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata inisiatif YPU mewujudkan Pentas Promo memberi peluang usahawan baru mempromosikan perniagaan mereka dalam tempoh beberapa hari dengan kadar bayaran yang rendah kepada agensi itu.

“Ini antara usaha kita bagi memastikan usahawan dapat mengembangkan perniagaan mereka, belajar berusaha memasarkan produk secara berterusan dengan membuat sedikit bayaran kepada YPU mengikut tempoh promosi dilaksanakan.

“Program di Kuala Terengganu sebagai perintis dan jika ianya berjaya mewujudkan lebih ramai peniaga baru, kita akan mengembangkannya ke daerah lain pula,” katanya di sidang akhbar selepas merasmikan Pentas Promo dan Bazar TTC, di T’Kafe Foof Court, Padang Hiliran, Kuala Terengganu, semalam (18 April).

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik, Timbalan Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Rosol Wahid dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Dagang.

Selain Pentas Promo, YPU turut menyediakan ruang niaga kepada 13 pengusaha tempatan di Bazar TTC dengan kadar sewa yang berpatutan.

“Sekarang ruang bagi Bazar TTC tambahan ini agak terhad kerana ruang premis di bawah YPU yang sedia ada dan kekal sudahpun dipenuhi. Usaha mewujudkan Bazar TTC ini memudahkan YPU mengawal harga,” katanya.

Selain itu, menurut Dato’ Mohamed, proses mewujudkan usahawan di kawasan yang lebih sistematik dan terjamin dapat merangsang perkembangan usahawan baru dan pertumbuhan ekonomi setempat.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mengenal pasti lokasi lain yang sesuai dan berpotensi untuk dimajukan sebagai pusat perniagaan yang menempatkan bazar jualan bagi meningkatkan pembabitan penduduk negeri ini dalam bidang keusahawanan.

“Usaha mewujudkan usahawan bukan mudah dan ini antara langkah secara berterusan yang dilaksanakan kerajaan menerusi YPU untuk memberi kelangsungan kepada rakyat atas usaha mereka supaya mampu memperolehi pendapatan lebih baik,” katanya.