Halaman

24 April 2012

Sidang Dun: Kerajaan sedia terima penarikan amanat Hadi

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersedia menerima penarikan semula amanat yang pernah dibuat bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) berhubung isu berimamkan orang Umno tidak sah sehingga mengakibatkan perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat berkata kerajaan negeri bersikap terbuka dan sedia menerima wakil Rhu Rendang untuk membetulkan perkara yang terkandung dalam amanat beliau di Banggol Peradong pada 1982 berhubung isu itu.

 “Sehingga kini, pihak kami tidak memperolehi maklumat rasmi mengenai perkara (menarik balik amanat) itu. Bagaimanapun, amat baik sekali lah jika wakil Rhu Rendang cuba membetulkan semula perkara ini kerana mengikut laporan yang diterima daripada Maidam (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu) mengenai dua sembahyang Jumaat dalam satu mukim, sebahagian besar yang ditemui (penyokong Pas) dan berbincang mengatakan mereka terikat dan terikut dengan apa yang difatwa oleh pemimpin (Abdul Hadi) mereka pada masa lalu," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-12, pada hari kedua, pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Haji Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) mengenai ada maklumat yang menyatakan pihak kerajaan sudah berbincang dengan pemimpin Pas bahawa Abdul Hadi bersetuju ke Hulu Besut bagi menarik semula amanat berkenaan.

 Usaha atasi isu dua solat-satu kariah

 “Sebenaranya sudah banyak usaha-usaha yang sudah dilaksanakan kerajaan termasuklah dengan memberi penerangan mengenai hukum mengadakan dua solat Jumaat dalam satu kariah dan fatwa sudah dikeluarkan pada 1981 mengenai satu kes yang berlaku di Terengganu.

 “Selain itu kerajaan juga melihat dan menyiasat perkembangan masjid-masjid tersebut dan apabila ada syarat-syarat yang mencukupi untuk diluluskan..ada setengah-setengah masjid sudah diberikan kelulusan untuk dibenarkan mendirikan sembahyang Jumaat walaupun dalam satu kampung apabila kampung itu besar, penduduk ramai dan sebagainya,” katanya yang juga wakil BN-Batu Rakit.

Selain itu, Haji Khazan menjelaskan Maidam menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyatuan Jumaat dalam satu mukim melibatkan panel yang dilantik dari satu pasukan khas yang bebas. Katanya, Jawatankuasa yang dilantik terdiri dari pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) bagi membuat kajian terperinci mengenai punca serta cadangan yang boleh dipertimbangkan bagi menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata, mengikut Mazhab Shafie apabila berlaku dua sembahyang Jumaat dalam satu kampung, masjid yang diberi pengiktirafan dan diperakukan oleh kerajaan itulah yang sah.

 “Bagaimanapun, secara umum, dalam keadaan tiada pengiktirafan dan sebagainya, mana-mana yang dulu itulah yang sah. Sebab itulah satu masa dulu sebelum fatwa dan penjelasan dibuat mereka berlumba untuk mengadakan sembahyang Jumaat dengan cepat, supaya mereka dapat buktikan sembahyang mereka sah kerana sembahyang dulu (pertama).

 “Yang kedua, jawatankuasa ini baru diwujudkan, sebahagian hasil perbincangan dan kajian belum sesuai untuk dibentangkan dalam sidang dewan kali ini,” katanya.

 Ketika wakil kerajaan memfokuskan kepada isu itu, Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) mengemukakan soalan tambahan yang `terkeluar’ daripada soalan yang diperbincangkan, iaitu mengenai masalah pelajar sekolah rendah dan menengah di Terengganu yang tidak tahu cara bersolat.

 “Inilah Wakil Wakaf Mempelam, dia pandai bercakap Yang Dipertua..Dia bercakap yang kita tidak fokus tetapi dalam kita bincang mengenai dua solat Jumaat dalam satu kariah, dia gi baham soal budak tidak reti sembahyang. Mana fokusnya? Ini orang panggil,` tunjuk ke orang lain,tetapi hok diri sendiri banyok saloh’ `kuman seberang laut nampak, tapi gajoh depan mata tidak nampak’. Jadi kena fokus molek.Tiada masalah bincang di dewan..pelajar-pelajar duduk memerhati (pemerhati) jadi tunjuklah cara kita yang bijaksana," katanya.

Sementara Haji Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) turut mencelah supaya Abdul Wahid lebih fokus kerana isu dua solat Jumaat itu penting dan terkandung dalam titah tuanku.

 

Industri burung walet jana hasil RM1.6 juta sebulan

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 1,700 pengusaha sarang burung walet di negeri ini mendapat sentuhan baru apabila Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) mewujudkan sebuah pusat pengumpulan sarang burung walet bagi memudahkan pengusaha memasarkan hasil tuaian mereka.

 Pengarahnya, Encik Shamsuddin Mat Rani berkata, langkah jabatan sejajar dengan perkembangan industri itu sebagai suatu perusahaan bernilai tinggi.

Katanya, usaha ini membolehkan para pengusaha menjual hasil mengikit harga pasaran semasa dan lebih telus berbanding hasil yang dijual kepada orang persaorangan.

 “Harga semasa kini mencecah RM1,800 hingga M2,300 sekilogram dan dijangka terus meningkat kerana ia mendapat permintaan yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pembukaan Pusat Pengumpulan Sarang Burung Walet di Pejabat PPNT Manir, Kuala Terengganu semalam.

Majlis Pelancaran berkenaan telah dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris.

Beliau berkata, industri burung walet pada masa ini berkembang pesat dan anggaran pengeluaran hasil sebanyak 1,000 (satu metrik tan) dengan nilai mencecah RM1.6 juta sebulan.

Katanya, sehingga akhir tahun lalu, sebanyak 480 buah premis didaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri yang dijadikan penempatan burung walet.

Daripada jumlah berkenaan katanya, 150 buah merupakan premis kedai dan 330 buah adalah premis rumah sebuah yang membabitkan 228 orang pengusaha Melayu dan 252 orang pengusaha berbangsa Cina.

Menurutnya, melalui 15 wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang telah dilantik sebagai ajen pembeli dapat memudahkan pengusaha di seluruh negeri untuk memasarkan hasil pengeluaran mereka.

Tambahnya, pusat pengumpulan hanya mengkelas sarang burung wallet kepada tiga gred sahaja iaitu gred A, gred B dan gred C iaitu yang mempunyai ciri-ciri tertentu antaranya dari segi warna, bentuk sarang, ketebalan saiz serta ketinggian sarang.

Skandal YB Pembangkang Terengganu

Oleh: Pencinta Kedamaian

Tidak ramai yang mengetahui bahawa seorang pemimpin pembangkang di Terengganu telah mengambil isteri orang untuk dijadikan isteri hingga suami kepada perempuan itu terpaksa menceraikannya.

Perkara ini telah berlaku hampir sebulan yang lalu. Pada mulanya perempuan berkenaan adalah tukang urut kepada isteri pembangkang berkenaan, tetapi isteri pemimpin berkenaan telah pun meninggal dunia.

Menurut sumber, hubungan cinta yang berputik diteruskan selepas isteri pemimpin berkenaan meninggal dunia dan menimbulkan rasa tidak senang suami wanita berkenaan pada waktu itu, tetapi tidak mampu menghalangnya.

Wanita itu sering dibawa keluar oleh pemimpin pembangkang berkenaan, sehinggalah akhirnya lelaki berkenaan mengambil langkah menceraikan isterinya itu. Kini wanita curang yang berasal di Bukit Kecil itu telah menjadi isteri yang kepada pemimpin berkenaan.


 

23 April 2012

Kerja tanah daerah baru Kuala Nerus bulan depan

Oleh FAUZI MOHD

Pembangunan daerah baru Kuala Nerus di tapak seluas 200 hektar di Gong Badak mula dilaksanakan bulan depan dengan kerja-kerja tanah yang membabitkan kos dianggarkan berjumlah RM20 juta.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, peringkat pertama di kawasan seluas 100 hektar melibatkan kerja-kerja pembinaan tapak bangunan, sistem perparitan dan kolam takungan serta jaringan jalan raya.

Menurutnya, ia bakal menjadi model pembangunan contoh yang tersusun, mesra alam dan reka bentuk bandar masa depan dengan infrastruktur terbaik seperti jalan enam lorong dan lanskap ‘bandar dalam taman’.

“Pembangunan bandar ini mengambil kira fungsinya sebelum ini sebagai kawasan paya dan tadahan banjir dengan sistem perparitan dan kolam takungan ditukar menjadi kawasan riadah dan rekreasi,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima taklimat pembangunan bandar daerah itu oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Bandar dan Desa, Mohd Anuar Maidin di Gong Badak, Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri serta Ahli Exco Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, Ahmad Razif Abd Rahman dan Khazan Che Mat.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, pembinaan pusat bandar daerah kelapan itu tidak melibatkan pengambilan balik tanah kecuali untuk pembinaan dan pembesaran tiga laluan masuk ke pusat bandar berkenaan.

“Peruntukkan untuk membina bangunan-bangunan baru seperti pejabat daerah, pejabat tanah, pejabat agama daerah dan sebagainya seperti yang ada di daerah lain akan diputuskan pada bajet tahun hadapan,” katanya.

Kuala Nerus yang terletak di kawasan Kuala Terengganu Utara membangun dengan pesat dengan kedudukannya sebagai tapak institusi pengajian tinggi dan institut kemahiran serta industri di samping wujudnya banyak projek perumahan.


MBNT kemuka pelan jangka panjang atasi jenayah

Oleh FAUZI MOHD

Cadangan pelan jangka panjang akan dikemukan oleh Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) kepada kerajaan negeri dalam usaha bersama mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Pengerusinya, Mat Yusof Mat Ali berkata, pada masa ini modul bersesuaian yang disasarkan kepada golongan belia sedang diperincikan sebelum dikemukakan akhir tahun ini.

Katanya, mereka paling mudah terjebak dalam kegiatan negatif apabila ketiadaan pekerjaan atau banyak masa terluang yang menimbulkan kebosanan.

Menurut beliau, mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) golongan terbabit banyak melakukan jenayah seperti mencuri motosikal dan pecah rumah.

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Seminar Pencegahan Jenayah Terhadap Wanita peringkat negeri di Dewan Tunku Abdul Rahman semalam.

Perasmian penutup seminar sehari anjuran MBNT dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Cawangan Terengganu itu disempurnakan oleh oleh Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Polis negeri, Supritendan Luqman Abdul Rahman.

Katanya, melalui pelan tersebut, beberapa mekanisme akan dicadangkan termasuk memberi peluang luas kepada golongan terbabit melibatkan diri dengan program kemahiran berdasarkan minat atau kebolehan.

"Pada masa ini kebanyakan golongan belia yang disabitkan kesalahan apabila keluar setelah menjalani hukuman kebanyakan mereka akan terjebak melakukan jenayah berulang.

"Ini kerana golongan berkenaan gagal mencari hala tuju disebabkan tiada bimbingan atau peluang kerjaya," ujarnya.

 

MB kesal kes dera kanak-kanak

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kesal dengan kes dera kanak-kanak berusia dua tahun dari Kampung Tualang, Manir, yang dipercayai ditampar dan dipukul teman lelaki ibunya, Sabtu lalu.



Mangsa, Muhammad Danish Aiman Abdullah yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan membuang darah beku dan pendarahan otak di kepala.

Menteri Besar yang melawat mangsa petang ini, berkata manusia normal tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu, apatah lagi ia melibatkan kanak-kanak yang memerlukan belaian manja keluarga.

“Kita boleh menilai mana yang baik atau buruk, sebelum melakukan sesuatu tindakan.

“Saya hairan mengapa ibu kanak-kanak itu lebih menyayangi teman lelaki berbanding anak sendiri,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah, petang ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan yang diperlukan mangsa sepanjang menjalani rawatan di hospital itu.

“Pihak kami meminta pihak berkuasa segera menahan suspek supaya tindakan atau hukuman setimpal dapat dikenakan.

“Jenis hukuman atau tempoh beberapa lama yang bakal dikenakan terhadap suspek, diharap dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Dato' Jamshah Mustapa, berkata pihaknya kini giat memburu suspek iaitu seorang penganggur, Azhar Jusoh, 31, yang melarikan diri selepas mengetahui ibu mangsa membuat laporan di pondok polis HSNZ.

Katanya, suspek yang sebelum ini pernah dikenakan hukuman penjara dan dibuang daerah akibat pelbagai kesalahan jenayah, termasuk kes curi, samun, rusuhan, dadah dan culik dipercayai masih berada di Terengganu.

“Kita minta kerjasama dan bantuan orang ramai yang mengenali Azhar supaya tampil membuat laporan di balai polis berdekatan untuk memudahkan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menganggap kejadian seumpama itu cukup kejam, zalim dan sangat serius.

“Suspek yang berfikiran waras tidak wajar memperlakukan tindakan sedemikian terhadap Muhammad Danish kerana kanak-kanak itu tidak mahu melawan,” katanya.


Sultan Mizan berangkat rasmi persidangan Dewan

 Sultan dan Sultanah Terengganu berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri ke-12. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh; Esah Abdullah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Kedua Belas hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Tuanku Nur Zahirah. Turut hadir Tengku Seri Temenggong Raja Tengku Baharuddin; Kerabat-kerabat Raja dan Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja.



Keberangkatan Tuanku Sultan dan Sultanah ke Sidang Dun disambut oleh Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said beserta isteri masing-masing.

Kenamaan lain yang hadir ialah Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pilis Terengganu SAC Dato’ Jamshah Mustafa serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan ketua-ketua jabatan.



 Tuanku Sultan Mizan turut berkenan memeriksa barisan kawalan kehormat daripada Unit 6, Pasukan Simpanan Persekutuan dan gabungan Brass Band Rejimen 512 (Askar Wataniah) Kem Padang Midin dan 18 RAMD.

Tuanku Sultan Mizan kemudiannya berkenan menyampaikan titah Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Kedua Belas.


 

Sultan Mizan titah wakil rakyat patuhi peraturan Dewan

 Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said mempersembahkan teks titah DiRaja Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-12, hari ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra..

Oleh: Kamarudin Mat Akib


 Sultan Mizan menitahkan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu supaya mematuhi Peraturan-Peraturan Tetap Dewan semasa bersidang agar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berjalan dengan teratur, sempurna dan penuh dengan rasa hormat, tanpa mengira ideologi politiik.



 Baginda bertitah langkah itu perlu kerana matlamat setiap Ahli Dewan Undangan Negeri adalah sama iaitu memberi perkhidmatan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan negeri.

 Pada masa yang sama titah baginda, perpaduan dan kesefahaman adalah amat penting dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

“Perpaduan dan persefahaman akan menjamin keharmonian hidup pelbagai kaum. Kita perlu mengambil pelajaran dan tauladan melalui kisah bagaimana Nabi Muhammad s.a.w telah berjaya menyatupadukan golongan Aus dan Khazraj yang begitu lama bertelagah dan berbalah di Madinah, akhirnya dipersaudarakan dengan golongan Muhajirin yang berpindah bersama Baginda dari Mekah,” titah baginda sewaktu merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-12, hari ini.

Turut berangkat Sultanah Nur Zahirah dan para pembesar negeri. Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan kerajaan.



 Sultan Mizan turut gembira dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai pelajar negeri ini dalam keputusan peperiksaan awam bagi semua peringkat dengan begitu cemerlang sekali.

 “Beta mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana Terengganu terus berjaya mengungguli dan mengekalkan kecemerlangan keputusan peperiksaan UPSR buat kali ke-11 berturut-turut pada tahun lepas, diikuti juga kejayaan dan kecemerlangan berterusan dalam PMR dan SPM bagi tahun 2011 memperolehi Gred A dalam semua mata pelajaran selaras dengan matlamat menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu,” titah baginda.

 Mengenai usaha kerajaan memajukan Tasik kenyir sebagai destinasi pelancongan, baginda yakin usaha murni itu akan menemui kejayaan dan mampu menjana ekonomi penduduk setempat, khususnya dan rakyat negeri Terengganu amnya.

 Baginda turut menyarankan agar dibina Galeri Sukan Rakyat yang turut dilengkapi dengan pusat kemudahan sukan, bagi menghargai jasa-jasa atlet yang telah mengharumkan nama negeri di bidang sukan.

 Baginda menitahkan agar gambar-gambar dan filem atlet berkenaan dipamerkan di galeri tersebut bagi membakar semangat dan bahan tatapan generai masa depan serta sebagai bahan rujukan membentuk kejayaan masa depan yang lebih cemerlang.

 

Sikap `desperado' penganjur Sukma Pahang 2012

Oleh: Aida Abd Rahman



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membidas tindakan penganjur kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Pahang 2012 yang dikatakan bersikap `desperado’ kerana mengugurkan acara kanu dalam temasya sukan ke-15 pada Julai ini selepas tercabar dengan penguasaan Terengganu menerusi acara itu, sekaligus muncul juara Sukma 2011 buat kali ketiga berturut-turut.



“Jangan kerana bimbang Terengganu menang, banyak mata ketinggalan (berbanding Terengganu) mereka (penganjur) batalkan. Ini yang dikatakan `desperado’ sukan,” katanya di sidang media sempena Majlis Penyampaian Insentif Khas Olimpian Anak Terengganu London 2012, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Haji Zainal Abidin Hussin.

Untuk rekod, Terengganu memenangi 12 emas, dua perak dan dua gangsa dalam acara kanu di Sukma Kuala Lumpur tahun lalu daripada keseluruhan kutipan 50 pingat . (30 emas, lapan perak dan 12 gangsa).

“Adakah kerana Terengganu mendominasikan sukan ini menyebabkan acara yang sepatutnya ada, tidak diadakan. Adakah kerana kita jadi juara, kita rasa kalau kita ada kanu, negeri lain tidak akan juara? Itu tidak betul..sebab itu kita perlu rasional. Contohnya, ketika kita menjadi tuan rumah (Sukma 2008), taekwando bukanlah suatu perkara yang mendatangkan pingat buat Terengganu tetapi kita terus adakan sebab ini sukan berprestasi tinggi.

“Ini satu perkara yang tidak rasional, kerana dia tahu bahawa kanu adalah sukan yang berprestasi tinggi. Di Sukan Sea ada kanu. Yang agak malang kerana peringkat negara-negara Asia..sukan Sea diadakan (kanu). Bagaimana kita hendak memilih atlet kanu kita mewakili negara, sekiranya peringkat negara kita tidak ada.. Ini suatu perkara yang tidak munasabah sama sekali,” katanya.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri pernah mengusulkan perkara itu kepada kementerian dan pihak penganjur bagaimanapun wujudnya `desperado’ ini menyebabkan sukan itu kekal untuk tidak disenaraikan dalam temasya Sukma akan datang.

Katanya, jika negeri lain mahu memastikan penguasaan mereka dalam sukan kanu umpamanya, mereka perlu berlatih bersungguh-sungguh dan bukan menggugurkan acara itu dalam Sukma akan datang.Ketika ditanya kesan pendirian tegas beliau dengan kenyataan itu yang mungkin membawa kepada tindakan pihak lain `memboikot’ pasukan Terengganu, beliau tidak bimbang dengan situasi itu kerana bertegas dengan sikap penganjur yang tidak rasional dalam membuat keputusan.

“Ini sukan beprestasi tinggi, hendak pilih atlet negara mesti melalui Sukma. Menang Sukma baru boleh mewakili negara, ini Sukma tiada (kanu) macam mana hendak pilih. Ini menyebabkan sukan di Malaysia tidak berjaya kerana terlalu banyak main politik dalam sukan. Campur tangan tidak boleh, kritik tidak boleh..payahlah kita macam ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau berkata Terengganu ketika menganjur Sukma 2008 juga menyenaraikan beberapa sukan berprestasi tinggi lain seperti renang, lawan pedang dan gimnastik walaupun mengetahui sukan berkenaan kurang popular dan bukan sandaran kutipan pingat kepada tuan rumah ketika itu.

Beliau berkata, Sukma terdahulu juga menyaksikan Terengganu memenangi sukan berprestasi tinggi yang objektif dan bukan subjektif seperti acara yang boleh dipertikaikan dari segi permarkahannya seperti sukan olahraga.

“Kita perlu berusaha..Sebagai contoh, judo bukanlah suatu sukan yang hebat di negeri ini. Benda baru. Biasanya yang menyertai sukan ini dari kalangan Cina, India, tetapi apabila kita latih anak Terengganu, kita panggil jurulatih hebat..jurulatih kebangsaan melatih kita, pada tahun lepas kita berjaya mendapat tujuh pingat emas.

“Semasa penyerahan bendera, dia (pengurus kanu) kata hendak sasarkan tujuh (pingat emas), saya tidak percaya..Saya kata betul ke tidak awak ni..Saya sendiri (pada awalnya) tidak yakin kerana judo bukanlah sukan popular di Terengganu, tetapi dengan latihan..dengan semangat yang kita ada.. jurulatih hebat kita ada kita boleh berjaya,” katanya.

Menurutnya, keputusan tidak menyenaraikan sukan kanu antara tindakan yang mencerminkan penganjur tidak berani mengambil cabaran, malah membantutkan usaha kerajaan bagi melahirkan atlet negara yang hebat dan berjaya di peringkat antarabangsa dalam acara itu.


Sultan Terengganu puji kepimpinan MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Esah Abdullah

 Sultan Mizan Zainal Abidin memuji kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab semasa ketiadaan baginda dalam negeri kerana menunaikan tanggungjawab sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

 “Beta juga berasa amat gembira dengan sokongan ikhlas dan kerjasama yang telah diberikan semua pihak dalam memacu pembangunan negeri.

 “Sepanjang tempoh lima tahun beta memerintah negara sebagai Seri Paduka Yang diPertuan Agong, beta sentiasa mengikuti perkembangan Negeri Terengganu dari semasa ke semasa.

 Beta sukacita Kerajaan Negeri telah memberi keutamaan tinggi dalam menangani masalah rakyat, terutama golongan miskin melalui slogan “Tradisi Membela Rakyat”.

“Berdasarkan statistik semasa, kadar kemiskinan negeri ini telah berjaya dikurangkan sehingga pada tahap 3.18 peratus pada Disember 2011,” titah baginda sewaktu merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-12, hari ini.

 Turut berangkat Sultanah Nur Zahirah dan para pembesar negeri. Hadir sama, Menteri Besar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

 Sultan Mizan turut menitahkan kerajaan negeri supaya memberi fokus khusus kepada kumpulan miskin tegar dengan usaha mentransformasikan minda mereka ke arah penjanaan pendapatan bagi membina kehidupan yang lebih baik.

 Baginda turut tertarik dengan komitmen kerajaan negeri melaksanaan pembinaan rumah kos rendah dan Rumah Mampu Milik bagi menyediakan kediaman mencukupi khususnya untuk golongan berpendapatan rendah.

 “Sepanjang tempoh 2008 hingga 2012 sebanyak 6,737 unit rumah telah dibina yang melibatkan semua daerah dengan perbelanjaan sebanyak RM659.73 juta.

 “Bakinya sebanyak 3,263 unit akan diteruskan pembinaan untuk mencapai matlamat 10,000 unit rumah yang disasarkan dalam tempoh Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu dalam tahun semasa,” titah baginda.

Baginda turut memuji langkah kerajaan negeri menubuhkan Tabung Dana Pinjaman Perumahan Rakyat bagi memberi peluang kepada rakyat yang ingin membina rumah di atas tanah milikan sendiri yang tidak mampu memenuhi syarat pembiayaan daripada institusi kewangan.